Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

COVID-19 dan Gejala Mata Merah

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 42251
Pengarang:
Zunaina Embong dan Azhany Yaakub
Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
Pengarang Koresponden:
Profesor Datin Dr. Zunaina Embong
Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan

Pendahuluan

Seluruh dunia digemparkan dengan ancaman COVID-19. Ia telah menyebabkan ribuan kematian terutamanya dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, kegagalan buah pinggang dan sakit jantung.

Apa itu COVID-19 dan bagaimana ia merebak?

COVID-19 adalah sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus severe acute respiratory syndrome coronavirus 2 (SARS-CoV-2). Ia pertama kali dikenal pasti pada bulan Disember tahun 2019 di Wuhan iaitu sebuah bandar di China. 

Pada awal wabak penyakit ini di Wuhan, virus tersebut dikenali sebagai ‘Wuhan coronavirus’. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan nama 2019-nCov untuk nama virus dan penyakit respiratori akut 2019-nCoV sebagai nama penyakit yang disebabkan oleh virus tersebut. Nama ini adalah  berpandukan peraturan antarabangsa 2015 untuk mengelakkan stigma sosial dalam kalangan masyarakat setempat.

Pada tanggal 11 Februari 2020, dengan rasminya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan wabak penyakit tersebut sebagai COVID-19 di mana CO untuk corona, VI untuk virus, D untuk disease (penyakit) dan 19 sempena mengambilkira pertama kali wabak itu dikenalpasti iaitu pada Disember 2019.

Kahak dan air liur pesakit yang menghidap COVID-19 mengandungi bilangan virus yang banyak. Oleh itu, perbuatan atau aktiviti seperti batuk, bersin dan bercakap dengan kuat boleh menyebarkan virus ini melalui titisan cecair di udara. Seseorang itu akan dijangkiti COVID-19 apabila beliau bernafas dan menyedut udara yang mengandungi virus tersebut.

Walau bagaimanapun, apabila pesakit COVID-19 bersin atau batuk, virus hanya mampu terapung di udara dalam jarak 1 hingga 3 meter. Memandangkan virus ini berat di udara, ia akan jatuh ke tanah atau lantai atau permukaan yang terdedah seperti pintu, kerusi dan meja. Apabila seseorang menyentuh permukaan yang mengandungi virus, ia masih boleh dijangkiti virus COVID-19 sekiranya tidak membasuh tangan terlebih dahulu sebelum menyentuh mata, hidung atau mulut.  

Selain daripada kahak dan air liur, virus juga boleh didapati dalam air mata. China telah melaporkan terdapat pesakit COVID-19 yang positif virus COVID-19 dalam air mata dan pesakit tersebut mengalami gejala mata merah. 

Adakah COVID-19 boleh menyebabkan gejala mata merah?

Gejala mata merah merupakan gejala utama penyakit konjunktivitis. Konjunktivitis boleh disebabkan oleh bakteria atau virus. Sebelum era wabak COVID-19, adenovirus merupakan penyebab utama viral konjunktivitis. Tanda-tanda konjunktivitis yang disebabkan oleh virus ini merangkumi fotofobia (silau), mata berair, gatal mata, mata merah dan rasa berpasir. Viral konjunktivitis ini kebiasaannya sembuh dengan sendiri.

Berdasarkan laporan dari China, terdapat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala mata merah. Sebahagian daripada mereka didapati positif virus COVID-19 dalam air mata dan sebahagian lagi negatif.  

Hal ini menunjukkan bahawa COVID-19 boleh menyebabkan gejala mata merah. Sejak penyakit COVID-19 tersebar, Klinik Mata dan Klinik Pesakit Luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima beberapa pesakit yang mengadu gejala mata merah walaupun mereka tidak disahkan mengidap COVID-19. Besar kemungkinan virus COVID-19 boleh menyebabkan gejala mata merah. Ini dikuatkan lagi apabila terdapat pesakit yang telah didapati positif COVID-19 sedangkan beliau hanya mengalami simptom konjunktivitis. Walau bagaimanapun, gejala mata merah akibat konjunktivitis ini bukan hanya disebabkan oleh jangkitan virus COVID-19 sahaja. Virus lain seperti adenovirus, senteroviruses atau herpes simplex virus adalah antara penyebab konjunktivitis yang biasa ditemui.

Apakah tanda-tanda gejala mata merah akibat COVID-19?

Tanda-tanda konjunktivitis yang disebabkan oleh adenovirus adalah seperti terdapatnya papila atau folikel pada lapisan konjunktiva, hiperemia pada konjunktiva (konjunktiva berwarna merah) dan mata berair. Keadaan yang lebih teruk akan menyebabkan penghasilan pseudomembran pada konjunktiva. Sesetengah viral konjunktivitis ini mendapat tambahan jangkitan bakteria dan ia akan menyebabkan gejala mata bertahi.

Sekiranya konjunktivitis berlaku disebabkan oleh virus COVID-19, ia akan menunjukkan tanda-tanda yang sama seperti yang disebabkan oleh adenovirus. Kes konjunktivitis dari China yang disebabkan oleh virus COVID-19 menunjukkan tanda follikular konjunktivitis, hiperemia konjunktiva dan kemosis (bengkak konjunktiva).  Tanda yang sama terdapat pada pesakit yang mendapat rawatan di Klinik Mata, Hospital USM. Mereka mempunyai tanda-tanda follikular konjunktivitis, hiperemia konjunktiva dan mata berair. 

Bolehkah ujian COVID-19 dilakukan sekiranya mendapat gejala mata merah?

Buat masa sekarang, ujian COVID-19 hanya dilakukan pada pesakit yang berisiko sahaja seperti mereka yang terdedah kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19 (kontak rapat),  pesakit yang demam atau mempunyai gejala jangkitan pernafasan akut seperti batuk dan sesak nafas, serta mereka yang baru pulang dari luar negara dalam masa 14 hari.

Memandangkan ujian virus COVID-19 ini mahal, pesakit yang hanya mempunyai gejala mata merah tanpa risiko COVID-19 tidak akan disaring uji.  Lagipun, ujian COVID-19 hanya dilakukan menggunakan swab atau kapas kesat pada hidung (nasofaring) dan kerongkong sahaja. Sampel ujian yang dilakukan di China pada pesakit yang disahkan COVID-19 yang pada masa yang sama mempunyai gejala mata merah adalah menggunakan swab pada konjunktiva. Namun, masih belum ada ujian COVID-19 menggunakan swab konjunktiva sebagai sampel kajian di negara kita. 

Apakah rawatan gejala mata merah semasa wabak COVID-19?

Rawatan gejala mata merah adalah bergantung kepada punca penyakit yang menyebabkan gejala mata merah. Ubat titis mata antivirus digunakan untuk merawat konjunktivitis yang disebabkan oleh adenovirus atau virus lain. Selain daripada itu, ubat titis mata artificial tear juga disarankan bertujuan untuk membersihkan mata dari virus atau kotoran pada mata.

Bagi mereka yang mendapat tambahan jangkitan bakteria, ubat titis mata antibiotik iaitu antibakteria akan dibekalkan bersama ubat titis mata antivirus. Sekiranya konjunktivitis ini diikuti dengan penghasilan pseudomembran, ia akan dibersihkan setiap hari oleh doktor mata untuk mengelak dari komplikasi pada kelopak mata. 

Apakah punca lain penyebab gejala mata merah?

Terdapat beberapa penyakit mata lain yang mempunyai gejala mata merah. Gejala mata merah kerap berlaku pada penyakit alahan mata (konjunktivitis alergi). Ia agak berbeza sedikit dari viral konjunktivitis di mana selain mata menjadi merah, pesakit juga mengalami kegatalan pada kelopak dan bola mata itu sendiri.

Jangkitan kuman kepada kornea boleh menyebabkan ulser kornea. Ulser kornea bukan sahaja menyebabkan mata menjadi merah, malah pesakit juga akan merasa sakit dan mengalami kabur penglihatan.

Gejala mata merah, penglihatan kabur dan sakit di dalam rongga mata juga sinonim dengan penyakit mata lain seperti glaukoma akut, radang mata akut (uveitis) dan jangkitan kuman dalam bola mata (endoftalmitis).

Orang ramai yang mengalami gejala mata merah perlulah ke klinik untuk membuat pemeriksaan mata. Hasil pemeriksaan, doktor boleh membezakan jangkitan konjunktivitis dengan penyakit-penyakit mata yang lain.

Langkah pencegahan gejala mata merah semasa wabak COVID-19

Mengamalkan cara hidup sihat dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu menjarakkan diri, tidak berkunjung ke tempat awam kecuali perlu dan sentiasa mencuci tangan sebelum menyentuh mata. Penggunaan penutup mulut dan hidung amat digalakkan semasa berada di tempat awam sebagai langkah pencegahan agar virus COVID-19 tidak merebak dan tidak menjangkiti diri sendiri.

Bagi petugas kesihatan pula, walaupun tiada kepastian yang jelas sama ada mata merah disebabkan oleh virus COVID-19, petugas kesihatan terutamanya doktor mata dinasihatkan menggunakan kelengkapan yang sepatutnya semasa memeriksa pesakit yang mempunyai gejala mata merah seperti memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan. Sekiranya prosedur lanjut seperti membuang lapisan pseudomembran pada kelopak mata perlu dilakukan, kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) perlu dipakai dan prosedur tersebut perlu dilakukan di bilik khas.

Kesimpulan

Justeru, dengan amalan kebersihan dan cara hidup sihat, di samping sentiasa berdoa agar seluruh insan di dunia ini terhindar daripada jangkitan virus COVID-19, mudah-mudahan mampu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan pelbagai penyakit mata. Sayangilah mata anda sebagaimana anda menyayangi diri anda.

Senarai rujukan

  1. Cascella M, Rajnik M, Cuomo A, et al. Features, Evaluation and Treatment Coronavirus (COVID-19). StatPearls [Internet]. StatPearls. (March 2020). PMID 32150360 . Bookshelf ID: NBK554776.
  2. Chen L, Liu M, Zhang Z, et al. Ocular manifestations of a hospitalised patient with confirmed 2019 novel coronavirus disease. Br J Ophthalmol. 2020; 0:1-4. doi:10.1136/bjophthalmol-2020-316304.
  3. Dhama K, Sharun K, Tiwari R, et al. COVID-19, an emerging coronavirus infection: advances and prospects in designing and developing vaccines, immunotherapeutics, and therapeutics. Hum Vaccin and Immunother. 2020; 1-7. doi:10.1080/21645515.2020.1735227.
  4. Wu P, Duan F, Luo C, et al. Characteristic of ocular findings of patients with coronavirus disease 2019 (COVID-19) in Hubei Province, China. JAMA Ophthalmol. 2020. doi:10.1001/jamaopahthalmol.2020.1291.
  5. Ying NY, Idris NS, Muhamad R, et al. Coronavirus disease 2019 presenting as conjunctivitis. Korean J Fam Med. 2020. doi:10.4082/kjfm.20.0090 (epub ahead of print).
  6. Zhang L, Liu Y. Potential interventions for novel coronavirus in China: A systematic review. J Med Virol. 2020; 92(5): 479-90. doi:10.1002/jmv.25707.
Cetak