Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

9 Mitos COVID-19

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 8363
Pengarang:

Lim Jo Anne dan Alwi Muhd Besari

Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Hospital USM, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan

Pengarang Koresponden:

Dr. Lim Jo Anne

Pensyarah & Pakar Perubatan

Jabatan Perubatan Penyakit Dalam,

Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia,

Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan.

Email: limjoanne@usm.my

Artikel:

Penularan wabak COVID-19 yang berleluasa di dunia telah mencetuskan penyebaran maklumat yang pelbagai tentang koronavirus ini di media sosial. Malangnya, pembanjiran maklumat ini menyebabkan semakin sukar untuk kita memisahkan antara fakta sebenar dengan mitos. Bagi mengatasi kekeliruan ini, berikut adalah beberapa fakta penting dan mitos yang kita harus sedar, mengikut rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Mitos 1: Suplemen vitamin dapat menyembuhkan COVID-19

Mitos01Mikronutrien seperti vitamin dan mineral adalah sangat penting untuk membantu sistem ketahanan tubuh supaya berfungsi dengan baik. Namun begitu, masih tiada bukti kukuh tentang penggunaan suplemen mikronutrien sebagai rawatan COVID-19.1

 

Mitos 2: Mereka yang pulih dari COVID-19 akan mendapat kekebalan terhadap jangkitan semula

Mitos02Kini, masih tiada lagi kajian yang dapat membuktikan bahawa pesakit yang pulih dari COVID-19 mendapat kekebalan terhadap jangkitan semula pada masa hadapan. Malah terdapat beberapa kes yang mendapat jangkitan semula selepas sembuh dari COVID-19. Selain itu, terdapat juga kes jangkitan COVID-19 pada golongan yang telah mendapat vaksinasi.2,3 Untuk sesetengah penyakit, antibodi dapat mencegah jangkitan semula. Untuk penyakit lain, jangkitan semula boleh berlaku, tetapi gejalanya mungkin lebih ringan. Dalam sesetengah kes, antibodi langsung tidak memberi sebarang perlindungan terhadap jangkitan semula. Oleh itu, kita masih perlu terus melaksanakan penjarakan diri, elakkan kawasan sesak dan memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah walaupun pernah sembuh daripada penyakit ini ataupun selepas mendapat vaksinasi COVID-19.

 Mitos 3: Hanya orang tua mudah dijangkiti koronavirus

Mitos03Orang muda masih boleh dijangkiti virus ini, walaupun risiko kematian adalah lebih rendah. Nisbah orang tua yang nazak selepas dijangkiti adalah lebih tinggi disebabkan sistem imun mereka yang lemah dan pelbagai penyakit yang sudah dihadapinya. Namun begitu, sesiapa yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, penyakit darah tinggi, obesiti, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan paru-paru juga lebih berisiko untuk mendapat jangkitan dan kematian daripada koronavirus.

  

Mitos 4: Hidroksiklorokuin mampu merawat COVID-19

Mitos04Kajian perubatan sudah menunjukkan bahawa hidroksiklorokuin tidak mempunyai faedah klinikal dalam merawat COVID-19. Ubat ini pada asalnya diguna untuk rawatan penyakit malaria dan autoimun. Kajian terkini telah menunjukkan bahawa ubat ini tidak dapat mengurangkan kadar kematian mahupun mempercepatkan penyembuhan penyakit COVID-19.4

  

Mitos 5: Penggunaan pelitup muka boleh menyebabkan keracunan karbon dioksida atau kekurangan oksigen

Mitos05Penggunaan pelitup muka yang berpanjangan boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada pemakai. Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka tidak akan menyebabkan keracunan karbon dioksida atau kekurangan oksigen. Semasa memakai pelitup muka, pastikan ia dipakai mengikut ukuran dan cara yang betul untuk membolehkan anda bernafas secara normal. Jika pelitup muka jenis pakai buang digunakan, tukarkanlah ia sebaik sahaja ia menjadi lembap. 

Mitos 6: Pengimbas suhu/terma boleh mengesan COVID-19

Mitos06Pengimbas suhu atau terma hanya dapat mengesan orang yang demam. Ia tidak dapat mengesan orang yang dijangkiti COVID-19.1 Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu demam. Sila hubungi perkhidmatan kesihatan terdekat jika anda memerlukan bantuan kesihatan. Sekiranya anda tinggal di kawasan malaria, leptospirosis atau denggi, penyakit-penyakit ini juga merupakan penyakit bahaya yang boleh menyebabkan demam. 

Mitos 7: Peluntur dapat melindungi anda daripada COVID-19

Mitos07Penyemburan atau pengambilan bahan peluntur dan pembasmi kuman lain ke dalam badan anda tidak akan melindungi anda daripada COVID-19.1  Sebaliknya, bahan kimia peluntur boleh membahayakan diri anda. Jika terdedah, bahan kimia ini mampu menyebabkan keradangan dan kerosakan kepada kulit dan mata anda. Jika tertelan, bahan-bahan ini sangat beracun dan boleh membawa maut. Peluntur dan pembasmi kuman harus digunakan secara berhati-hati untuk membasmi kuman pada permukaan objek yang tidak bernyawa sahaja.

Mitos 8: Pengambilan alkohol dapat membunuh COVID-19

Mitos08Alkohol (pada kepekatan sekurang-kurangnya 60% ke atas) hanya berfungsi sebagai pembasmi kuman pada permukaan kulit anda sahaja. Pengambilan alkohol secara minuman tidak akan memusnahkan virus, malah akan meningkatkan risiko kesihatan kita sekiranya kita dijangkiti penyakit virus tersebut.1

Mitos 9: Penyakit koronavirus mudah dijangkiti dalam kolam renang

Mitos09Berenang di kolam renang berklorin yang terawat dengan baik adalah selamat. Tetapi jika kolam renang sesak, anda masih boleh dijangkiti penyakit ini sekiranya berada berdekatan dengan orang yang bersin atau batuk di dalam atau di sekitar kawasan kolam tersebut.1  Oleh itu, anda masih disarankan untuk menjarakkan diri sekurang-kurangnya dua meter di kawasan kolam renang yang sesak.

Ketika dunia sedang memerangi Koronavirus, maklumat yang salah atau kurang tepat sama bahayanya dengan COVID-19 itu sendiri. Maklumat yang salah hanya mendorong seseorang untuk meremehkan keparahan penyakit ini dan mengabaikan nasihat kesihatan awam untuk mendapat rawatan yang tidak berasas. Marilah kita sama-sama mainkan peranan masing-masing dalam membendung penyebaran maklumat yang tidak berasas ini.

Rujukan:

  1. Sahoo S, Padhy SK, Ipsita J, Mehra A, Grover S. Demystifying the myths about COVID-19 infection and its societal importance. Asian journal of psychiatry. 2020 Dec 1.
  2. Stokel-Walker C. What we know about covid-19 reinfection so far. bmj. 2021 Jan 19;372.
  3. Amit S, Beni SA, Biber A, Grinberg A, Leshem E, Regev-Yochay G. Postvaccination COVID-19 among Healthcare Workers, Israel. Emerging Infectious Diseases. 2021 Apr;27(4):1220.
  4. Axfors C, Schmitt AM, Janiaud P, van’t Hooft J, Abd-Elsalam S, Abdo EF, Abella BS, Akram J, Amaravadi RK, Angus DC, Arabi YM. Mortality outcomes with hydroxychloroquine and chloroquine in COVID-19 from an international collaborative meta-analysis of randomized trials. Nature communications. 2021 Apr 15;12(1):1-3.

*Semua gambar yang digunakan dalam artikel ini adalah gambar berlisensi Creative Commons yang dimuat turun dari laman web www.pixabay.com

Cetak