Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Jangkitan COVID-19 Dan Penyakit Darah Tinggi

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 13916
Pengarang:
Aminuddin Saim1 dan Hadi Jaafar2
1Universiti Kolej KPJ, Lot PT 17010 Persiaran Seriemas, Kota Sieremas , 71800, Nilai Negeri Sembilan
2Kuliyyah Perubatan, Jabatan Kardiologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Bandar Indera Mahkota , Jalan Sulatan Ahmad Shah, 25200 Kuantan Pahang.
Pengarang Koresponden:
Prof. (K) Dr. Aminuddin Saim
Pakar Bedah Telinga Hidung Tekak, Hospital Pakar Ampang Puteri, 
Jalan Mamanda 9, Ampang Jaya, 68000 Ampang Selangor

Pengenalan

Kebanyakan kematian akibat virus COVID-19 ini berkait rapat dengan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan rasmi setakat ini menyatakan seramai 105 kematian (sehingga 4hb Mei 2020) dengan kadar kurang dari 2%, yang jauh lebih rendah berbanding negara lain dalam kalangan pesakit COVID-19. Walau bagaimanapun lebih kurang 80% mangsa juga menghidap penyakit lain (comorbid) iaitu darah tinggi dan kencing manis. Kadar ini adalah lebih tinggi berbanding negara China yang hanya 22-30%. Persoalan mengapa kadar kematian di Malaysia dalam kalangan pesakit yang mempunyai comorbid seperti darah tinggi ini jauh lebih tinggi di Malaysia masih menjadi tanda tanya.

Adakah rawatan penyakit darah tinggi boleh meningkatkan jangkitan COVID-19?

Salah satu kemungkinan adalah faktor usia, di mana hampir 90% kematian di Malaysia melibatkan pesakit berumur 60 tahun ke atas.  Maka, dengan peratusan penyakit darah tinggi yang tinggi di Malaysia (lebih 30%) yang semakin tinggi peratusannya di usia lanjut (74.1% umur 65-75), menjadikan comorbid penyakit darah tinggi ini mempunyai peratusan kematian yang tinggi dalam kalangan mangsa COVID-19.

Salah satu kajian di China juga menyebut terdapat kaitan antara pesakit darah tinggi dan ubatan yang diterima khususnya yang menerima ubat jenis ‘angiotensin-converting enzymes inhibitors’ (ACEi) dan ‘angiotensin receptors blockers’ (ARBs).  Ubat ACEi di gunakan untuk merendahkan tekanan darah dengan cara menghalang enzim badan angiotensin I untuk berubah kepada angiotensin II.  Angiotensin II inilah yang akan menyebabkan saluran darah mengecut serta mengecil seterusnya meningkatkan tekanan di dalam salur darah, menyebabkan penyakit darah tinggi. ARBs juga berkait dengan enzim angiotensin tetapi ianya menghalang reseptor untuk angiotensin II melekat di saluran darah, seterusnya menyebabkan relaksasi pada saluran darah dan merendahkan tekanan darah.

Kaitan Virus COVID-19 and ubat ACE pula berkait rapat dengan virus ini yang gemar  melekat pada reseptor ACEII yang banyak terdapat di sel salur darah, paru-paru, saluran pemakanan dan ginjal.

Pada pesakit darah tinggi yang mengunakan ubatan ACEi atau ARBs, didapati secara langsung atau tidak, mempunyai reseptor ACEII yang lebih tinggi. Oleh itu pesakit yang mempunyai penyakit darah tinggi dan mengunakan ubatan ACEi atau ARBs dihipotesiskan mempunyai risiko jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi.  Walau bagaimanapun kajian ini masih di peringkat awal dan data yang diterima masih sedikit untuk memberikan kesimpulan yang kuat. Ini kerana ubat ACEi juga boleh mengurangkan radang dan digunakan untuk menyembuhkan penyakit radang paru-paru semasa jangkitan COVID-19.  Terdapat juga kajian menunjukkan kebarangkalian kaitan ACEII dan COVID-19 berkait rapat dengan genetik pesakit yang dipanggil polimorfisme, iaitu keadaan variasi gen yang mempunyai pelbagai rupa. Justeru, ada kemungkinan keduanya mempunyai hubungan rapat dengan jangkitan COVID-19 yang menyebabkan kematian. 

Adakah pesakit darah tinggi perlu menukar ubatan mereka?

Kajian di atas walaupun menunjukkan ada persamaan dan kecenderungan tetapi ianya masih di peringkat awal. Untuk mengubah rawatan penyakit darah tinggi kepada ubatan yang lain amat sukar dan memerlukan waktu yang panjang.  ‘American Heart Association’ (AHA) menyarankan agar tidak mengubah ubatan pesakit darah tinggi yang sedia ada terutama yang telah menjalankan rawatan sekian lama dan telah bersesuaian dengan mereka. Ubat-Ubatan yang digunakan untuk  penyakit darah tinggi ini penting untuk mencegah peningkatan tekanan darah secara tidak terkawal yang boleh mengakibatkan komplikasi strok atau angin ahmar. 

Kesimpulan

Dapatkan rawatan doktor pakar dan ikut nasihat mereka dalam pengambilan ubat-ubatan penyakit darah tinggi. Pesakit tidak perlu mengubah ubat rawatan darah tinggi yang telah di ambil sebelum ini kecuali disarankan oleh doktor.  Dalam waktu pandemik ini, penjagaan kesihatan adalah paling penting dalam menentukan ketahanan tubuh pada jangkitan virus dan penyembuhan. Pastikan tekanan darah di tahap normal, dan pastikan penyakit lain seperti kencing manis juga terkawal dan kesihatan ginjal yang sihat. Ikuti nasihat yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan agar duduk di rumah dan elakkan daripada terkena jangkitan COVID-19.

Senarai rujukan

  1. Ab Majid NL, Omar MA, Khoo YY, Mahadir NB, Ling MYJ, Rodzlan HWS et al. Prevalence, awareness treatment and control of hypertension in Malaysia population: findings from national health and morbidity survey 2006-2015. J Hum Hypertens. 2018 Sep;32(8-9):617-624. doi: 10.1038/s41371-018-0082-x. Epub 2018 Jun 13.
  2. Fabian S-G, Carl JL, Carme P-Q, Brandon MH, Giuseppe L. Evidence suggests that ACE inhibitors and angiotensin receptor blockers may improve prognosis in COVID-19 hypertensive patients. Mayo Clinic Proceedings. 95(6) (June 2020).
  3. Fang L, Karakiulakis G, Roth M. Are patients with hypertension and diabetes mellitus at increased risk of COVID-19 infection? Lancet Respir Med 2020 Apr; 8(4): e21. doi: 10.1016/S2213-2600(20)30116-8. Epub 2020 Mar 11.
  4. Naing C, Yeoh PN, Wai VN, Win NN, Kuan LP, Aung K. Hypertension in Malaysia, an analysis of trends from national survey 1996-2011. Medicine (Baltimore). 2016 Jan;95(2):e2417. doi: 10.1097/MD.0000000000002417.
  5. Yang X, Yu Y, Xu J, Shu H, Xia J, Liu H et al. Clinical course and outcomes of critically ill patients with SARS-CoV-2 pneumonia in Wuhan, China: a single centre, retrospective, observational study. Lancet Respir Med. 2020 May;8(5):475-481. doi: 10.1016/S2213-2600(20)30079-5. Epub 2020 Feb 24.
  6. https://newsroom.heart.org/news/patients-taking-ace-i-and-arbs-who-contract-covid-19-should-continue-treatment-unless-otherwise-advised-by-their-physician.
  7. www.moh.gov.my
Cetak