Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Diabetis, Puasa, COVID-19 dan Cabaran: Dari Tinta Para Doktor Alumni

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 3783
Pengarang:

Nani Draman1,6, Wan Faiziah Wan Abdul Rahman2,6, Norsuhana Omar3,6, Nik Aloesnisa Nik Mohd Alwi5,6, Siti Suhaila Mohd Yusoff1,6, Jafri Malin Abdullah4,6

1Jabatan Perubatan Keluarga, 2Jabatan Patologi, 3Jabatan Fisiologi, Jabatan Neurosains4,  Pusat Perubatan Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.

5Unit Sains Asas dan Biologi Oral, Pusat Pengajian Sains Pergigian,  Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.

6Persatuan Alumni Doktor USM  (PADU), Pusat Pengajian Sains Perubatan,  Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.

Pengarang Koresponden:

Profesor Madya Dr Nani Draman

Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Email : drnani@usm.my

Pengenalan: Kelainan puasa bersama COVID-19

Pada tahun ini, umat Islam di negara kita menyambut bulan Ramadan dengan suasana yang berbeza, apabila perlu menjalani ibadat puasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Suasananya berbeza dari kebiasaannya kerana tiada bazar Ramadan dan tiada aktiviti solat tarawih berjemaah di surau atau masjid. Ini merupakan antara usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, gelombang pandemik COVID-19 ternyata masih berterusan dan memberi impak kepada keseluruhan aspek kehidupan. Bagi individu muslim yang akan menyambut ramadan, pastinya puasa kali ini sesuatu yang berlainan ekoran daripada wabak yang belum pasti kesudahannya. Dalam masyarakat kita, terdapat golongan yang mempunyai penyakit kronik seperi kencing manis (diabetis) dan darah tinggi yang sangat terdedah kepada risiko penyakit lain. Kajian Kesihatan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015, mendapati 17.5 peratus penduduk berusia lebih 18 tahun adalah penghidap diabetis tahap 2. Amalan gaya hidup tidak sihat, kurang bersenam, dan pengambilan gula yang tinggi dalam makanan antara faktor penyumbang seramai 3.5 juta golongan dewasa disahkan menghidap diabetis di negara ini.

Sehingga pertengahan April 2020 ini, Malaysia mencatatkan 67.6% daripada kematian yang disebabkan COVID-19 adalah dalam kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 80.7% kes kematian adalah pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit diabetis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain. Memang terbukti yang mereka antara golongan yang paling terkesan, dan telah mencatatkan kadar kematian yang tinggi akibat penyakit COVID-19. 

Diabetis  dan COVID-19: Cara menjalani Ramadan

Menyedari pesakit kronik yang berisiko ini pihak hospital tidak menggalakkan pesakit yang mempunyai penyakit kronik keluar rumah apatah lagi ke klinik atau hospital untuk mendapat rawatan atau menyambung bekalan ubat. Kebanyakan klinik atau hospital akan menghubungi pesakit untuk menunda tarikh temujanji dan menyambung ubat secara dalam talian, dan mereka hanya perlu terus ke farmasi atau meminta pertolongan waris mereka yang sihat untuk datang ke klinik atau hospital untuk mengambil ubat tersebut. Mekanisme ini perlu untuk mengelak pesakit yang berisiko tinggi ini keluar dari rumah dan terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.

Ekoran daripada perintah kawalan pergerakan ini, terdapat beberapa isu yang perlu dikenal pasti dalam kalangan penyakit kronik khususnya penyakit diabetis. Antaranya termasuklah tahap kawalan gula pesakit yang tidak diketahui sebelum menyambung ubat dalam talian, gejala komplikasi penyakit diabetis yang tidak boleh dipantau dan risiko mengalami kemurungan atau keresahan jika mereka terlalu bimbang terkena jangkitan COVID-19 ini.

Pendek kata, menghadapi Ramadan dan COVID-19 bagi pesakit diabetes bukanlah sesuatu yang mudah. Jika sebelum ni pesakit akan berjumpa dengan pegawai kesihatan untuk mendapat maklumat persediaan sebelum ramadhan tetapi kali ini, pesakit tidak lagi boleh melakukan perkara yang sama. Pesakit diabetis memerlukan penjagaan rawatan optimum dengan memastikan tahap gula dalam darah sentiasa stabil melalui pengambilan pelbagai jenis ubatan. Persoalannya: Bolehkah mereka berpuasa?

Ibadah puasa merupakan rukun Islam ketiga yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam. Sekiranya tidak dapat dilakukan kerana sakit, puasa perlu diganti pada hari yang lain. Jika tidak berdaya pula bolehlah membayar fidyah.

Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 184, “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin...”

Kebaikan berpuasa dalam bulan Ramadan bagi pesakit diabetis termasuklah dapat menurunkan berat badan, mengawal paras kholestrol, ujian hemoglobin A 1c (HbA1c), dan tekanan darah. Dengan berpuasa juga boleh meningkatkan imun sistem serta merendahkan paras risiko kardiovaskular.

Walau bagaimanapun, pesakit diabetis juga cenderung untuk mengalami kesan risiko negatif semasa berpuasa seperti hypoglisemia (keadaan gula dalam darah terlalu rendah) terutama bagi pesakit yang berusia lebih daripada 60 tahun dan bagi mereka yang mengalami masalah buah pinggang. Secara amnya, pesakit diabetis mempunyai risiko 1.6 kali untuk mendapat hypoglisemia berbanding pesakit bukan diabetis. Mereka juga mudah mendapat hyperglisemia terutama bagi pesakit yang mempunyai paras gula yang tinggi sebelum bulan ramadhan lagi, paras gula yang tinggi ini boleh menyebabkan  komplikasi yang dinamakan ketoasidosis. Selain daripada itu, mereka juga mudah terdedah kepada masalah kekurangan air dalam badan (dehidrasi) yang menyebabkan darah menjadi pekat seterusnya mengakibatkan strok atau trombosis.

Pesakit diabetis boleh berpuasa namun mereka perlu akur dengan segala nasihat dan peka dengan tanda-tanda AMARAN yang menunjukkan pesakit perlu berbuka puasa seperti :

  • bacaan gula dalam darah kurang daripada 3.3mmol/L pada bila-bila masa di siang hari puasa
  • bacaan gula dalam darah kurang daripada 3.9mmol/L pada awal beberapa jam puasa (terutama bagi pesakit yang mengambil insulin atau ubat diabetis).
  • Bacaan gula dalam darah lebih 16.7 mmol/L
  • mengalami tanda-tanda hipoglisemia seperti berpeluh, menggeletar dan denyutan jantung menjadi laju
  • mengalami tanda-tanda dehidrasi atau kekurangan air seperti lemah lesu, kekeliruan

Pesakit diabetis dibenarkan untuk mengambil buah kurma tetapi dengan jumlah yang terhad semasa berbuka puasa. Mereka perlu kurang mengambil makanan bergoreng dan berlemak serta kurangkan pengambilan makan yang terlalu tinggi kandungan garam dan gula  semasa berbuka puasa. Semua ini boleh menyebabkan bacaan paras gula berada pada paras yang tidak sihat.

Antara nasihat yang berguna kepada pesakit diabetis dan darah tinggi semasa berpuasa adalah:

  • tidak meninggalkan sahur
  • tidak menangguhkan berbuka puasa
  • tidak makan nasi atau sumber karbohidrat lain (roti, biskut, kuih muih) secara berlebihan terutamanya yang makanan yang manis semasa berbuka atau sahur
  • digalakkan mengambil makanan ringan/moreh selepas tarawih sebagai pengganti makan ringan sebelum tidur
  • dinasihatkan memakan banyak sayur d­an satu potong buah semasa sahur dan berbuka puasa
  • kurangkan makanan bergoreng, berlemak dan bergaram
  • bersenam: bersenam bukan sahaja boleh mengawal berat badan, ia juga boleh mengawal paras gula dalam darah. Ia amat digalakkan kepada semua pesakit diabetis yang mampu.
  • tarawih adalah alternatif baik sebagai senaman ringan di bulan puasa.
  • tidak melakukan senaman berat semasa berpuasa.

Pesakit diabetis juga dinasihatkan supaya elak mengambil minuman berkafein seperti kopi, teh, soda. Kafein akan menyebabkan pesakit berasa lapar dan kerap kencing yang mengakibatkan pesakit berasa haus dan lesu sepanjang hari. Air yang paling sesuai adalah air kosong ataupun susu.

Elakkan juga mengambil makanan yang tidak berkhasiat seperti mi segera atau makanan pedas kerana perut yang kosong semasa berpuasa mempunyai tahap keasidan yang tinggi yang boleh menyebabkan pesakit mudah diserang gastrik.

Sentiasalah memeriksa bacaan gula anda, dan waktu yang ideal mengambil bacaan gula adalah seperti berikut:-

  • sebelum sahur
  • 2-4 jam selepas sahur
  • pertengahan atau lewat tengahari
  • sebelum berbuka puasa
  • 2-4 jam selepas berbuka puasa
  • jika memgalami tanda hipoglisemia
  • pesakit berasa kurang sihat. 

Amalan saranan elak jangkitan

Selagi negara kita belum bebas sepenuhnya daripada COVID-19, amalan-amalan kebersihan yang disarankan untuk mengelak jangkitan COVID-19 perlu diamalkan oleh semua pesakit yang mempunyai penyakit kronik. Langkah penjagaan perlulah diamal dengan betul kerana pesakit diabetis tergolong dalam pesakit berisiko tinggi.

Pesakit diabetis perlu meneruskan amalan seperti:

  • menjaga jarak antara satu sama lain termasuk ahli keluarga terutama ahli keluarga yang mempunyai demam, batuk atau selesema.
  • mementingkan kebersihan diri dengan sentiasa mandi dan mencuci tangan dengan sabun.
  • tidak turut serta bersesak dengan orang ramai di tempat-tempat membeli belah
  • mengamalkan pemakanan yang berkhasiat yang kaya dengan vitamin c kerana ia dapat bantu meningkatkan daya imun badan, seterusnya membantu mengelakkan penyakit seperti demam dan selsema
  • sentiasa membuka segala tingkap rumah pada waktu siang hari untuk memastikan pengudaraan yang bagus.

Harapan kami semoga dangan nasihat yang diberikan dapat menjadi panduan kepada pesakit-pesakit diabetis dalam menjalani ibadah puasa dengan selamat terutama semasa krisis COVID-19 yang masih belum berakhir ini.

Tarikh artikel ditulis: 15 April 2020 (Sebelum Ramadan)

Rujukan

  1. Bahan terbitan Hassan II Foundation for Scientific and Medical Research on Ramadhan
  2. Bersama atasi kencing manis 2019, Bahan terbitan Metro.
  3. International Journal of Ramadhan Fasting Research.
  4. Loke SC, Rahim KF, Kanesvaran R, et al. A prospective cohort study on the effect of various risk factors on hypoglycaemia in diabetics who fast during Ramadan. Med J Malaysia. 2010; 65(1): 3-6.
  5. Mafauzy M, Mohammed WB, Anum MY, et al. A study of the fasting diabetic patients during the month of Ramadan. Med J Malaysia. 1990; 45(1): 14-17.
  6. Ministry of Health Malaysia. Practical guide to Insulin Therapy in Type 2 Diabetes Mellitus. 2010.
  7. Salti I, Bénard E, Detournay B, et al. A population-based study of diabetes and its characteristics during the fasting month of Ramadan in 13 countries: results of the epidemiology of diabetes and Ramadan 1422/2001 (EPIDIAR) study. Diabetes Care. 2004; 27(10): 2306-2311.
  8. Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia, Kenyataan Akhbar 16 April 2020
Cetak