Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Pandemik COVID-19: Cabaran Normal Baharu Pensyarah Perubatan Universiti Sains Malaysia

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 19772
Pengarang:
Wan Faiziah Wan Abdul Rahman1, Irfan Mohamad2, Muhamad Saiful Bahri Yusoff3, Siti Nurma Hanim Hadie4, Muhd Al-Aarifin Ismail3, Mohamad Najib Mat Pa3, Nani Draman5, Nor Azwany Yaacob6
1Jabatan Patologi, 2Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher, 3Jabatan Pendidikan Perubatan, 4Jabatan Anatomi, 5Jabatan Perubatan Keluarga, 6Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
Pengarang Koresponden:
Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman
Pensyarah Perubatan,
Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

Dekad baharu dengan virus baharu 

Sejak penemuan pertamanya di Wuhan, China, pada hari terakhir tirai 2019 dilabuhkan (31 Disember 2019), novel organisma ini tampak rakus menerjah setiap pelusuk dunia, meratah nyawa tidak berdosa dari segenap strata sosioekonomi. Tiada negara yang terkecuali, hanya dibezakan dengan titik mana ia jatuh di atas garis masa yang belum menzahirkan penghujungnya. Ekoran itu, pada 30 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkannya sebagai isu Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa.

Dua minggu kemudian, tanggal 12 Februari 2020, penyakit ini diberi nama rasmi iaitu COVID-19 yang bermaksud ‘. COVID-19 merupakan penyakit bawaan virus yang dikenali sebagai SARS-CoV-2 kerana mempunyai ciri persamaan dengan SARS-CoV (2002).  Melihat kepada peningkatan jumlah kes yang drastik, ia telah diumum sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Pandemik membawa maksud suatu wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas ke seluruh wilayah, benua atau dunia. Ia telah memberikan impak dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk pembangunan sosial dan pendidikan, yang memicu negara ke arah mengaktifkan pengurusan risiko kecemasan.

Kes COVID-19 yang pertama telah dikenal pasti di Malaysia pada 25 Januari 2020 daripada pelancong China yang memasuki Malaysia dari Singapura. Sejak detik itu, carta kes kumulatif COVID-19 Malaysia mula mencanak naik tanpa menoleh ke belakang untuk memperlahankan rentaknya. Saban hari, pengumuman oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia seakan mengesahkan kehebatan penularannya. Dengan jumlah kes positif yang meningkat, pertambahan kluster penyebaran baharu dan kes import, pengesanan penyakit dalam kalangan warga kesihatan, penggandaan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan, akhirnya membawa pada tercatatnya sejarah negara Malaysia dengan kematian pertama yang dilaporkan pada 17 Mac 2020.

Malaysia telah mengambil tindakan pencegahan melalui pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac 2020 bagi memutuskan rantaian jangkitan. Ia digerakkan dan dipantau oleh pelbagai agensi kerajaan di bawah Majlis Keselamatan Negara melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Fasa pertama telah berkuat kuasa pada 18 Mac 2020, diikuti fasa kedua, ketiga dan keempat yang diumumkan secara berperingkat setiap dua minggu.

Bermusafir keluar zon selesa

Malaysia antara negara terawal yang mengumumkan PKP di rantau Asia Tenggara. Antara strategi pelaksanaan termasuk larangan semua bentuk perhimpunan, termasuk semua aktiviti keagamaan, sosial, sukan, budaya dan pendidikan. Dalam memastikan kelangsungan proses pembelajaran, PKP sebenarnya telah meletakkan satu cabaran yang cukup hebat kepada komuniti pendidikan tinggi termasuk warga pensyarah perubatan. Bagi sesetengah orang, ia dilihat sebagai satu penghalang, namun tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai satu peluang mendapatkan sagu lumayan jika ruyung berjaya dipecahkan.

Masyarakat Malaysia telah terbiasa dengan budaya saling ziarah-menziarahi, berkumpul di tempat keramaian seperti kenduri kendara, apatah lagi PKP fasa pertama jatuh pada tarikh cuti sekolah yang sememangnya dipenuhi dengan pelbagai aturcara yang telah dirancang mungkin sejak tahun sebelumnya lagi. Tidak terkecuali, kelompok besar yang terkesan secara langsung ialah warga institusi pendidikan kerana sinonimnya ialah bilik-bilik darjah dan dewan-dewan kuliah yang dipenuhi oleh puluhan dan ratusan pelajar. Perkara ini adalah antara larangan utama yang terkandung dalam PKP. Justeru, pihak pentadbir institusi pengajian tinggi juga telah menyarankan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian demi kelestarian program keilmuannya.

Pensyarah perubatan, yang juga merupakan doktor pakar perubatan yang terlibat dengan servis klinikal mungkin menghadapi sedikit kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan kaedah baharu ini. Tempoh dua minggu semasa fasa pertama PKP tidak mencukupi untuk mereka menyesuaikan diri mempelajari teknik pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui talian ini juga memberi kesukaran terutama bagi program yang berkait dengan aplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam tugasan merawat pesakit.

Menjejak noktah pkp dengan perancangan rapi

Memahami epidemiologi sesuatu pandemik, tempoh PKP mustahil akan berakhir dalam masa yang singkat. Bagi masyarakat awam, setiap dua minggu mungkin terkandung harapan yang besar. Namun, bagi mereka yang berada dalam sektor kesihatan, pengumuman fasa pertama PKP hanya titik permulaan untuk bersiap siaga bagi tempoh empat hingga enam minggu. Usahkan noktahnya, bayangan jauh lagi untuk kelihatan. Sesuatu yang drastik tetapi praktikal dan tuntas perlu disegerakan demi kelestarian proses pengajaran dan pembelajaran bakal-bakal doktor dan doktor pakar ini.

Bagi kurikulum perubatan sama ada pelajar siswazah atau pascasiwazah, penerusan pengisian dalam program perubatan adalah penting bagi meneruskan latihan dalam rotasi disiplin yang telah ditetapkan untuk tempoh tertentu walau apa keadaan sekalipun. Peranan pensyarah amat penting untuk menilai kemampuan pelajar mereka terutama dalam urusan penjagaan dan keselamatan pesakit serta perkembangan profesionalisme.

Kesinambungan dalam konteks hubungan antara pensyarah-pelajar perubatan juga penting bagi membolehkan pensyarah menilai keperluan pembelajaran pelajar. Penilaian tidak terhad pada kecekapan kognitif sahaja, malah dalam menangani masalah lain yang berkait dengan penguasaan kemahiran dan nilai pembelajaran. Dengan kefahaman yang ada tentang bagaimanakah sesuatu wabak itu akan lenyap, lembar-lembar ilmu yang selama ini ditekuni dari buku teks terus diaplikasikan dalam menangani wabak pandemik COVID-19. Unjuran perancangan telah dibuat untuk terus mengadaptasi arahan PKP di peringkat universiti. Jangka masa pastinya bukan dua minggu tetapi sekurang-kurangnya dua bulan. Oleh itu, adalah penting bagi pusat pengajian untuk mengaktifkan pengurusan risiko kecemasan bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh wabak ini. Perancangan pasca PKP juga harus digerakkan.

Robohnya dinding dewan kuliah

Pengajaran dan pembelajaran dalam talian telah menjadi kaedah penyampaian yang berkembang pesat di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di kebanyakan negara termasuk Malaysia. Ramai yang mula menyedari bahawa kaedah teknologi ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan berbanding kaedah konvensional, termasuklah mampu menjimatkan kos, memberikan akses yang lebih tinggi kepada pelajar, menyediakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, serta meningkatkan peluang pendidikan. Menyedari limitasi yang wujud, potensi yang ada cuba dimaksimumkan sebaiknya. Bak kata pepatah, tiada rotan akar pun berguna.

Dalam pendidikan perubatan, pengajaran dan pembelajaran dalam talian kekal sebagai pendekatan tambahan kerana kurikulum perubatan tetap memerlukan pengajaran secara bersemuka untuk melatih kemahiran klinikal dan perkembangan nilai profesional. Walaupun ternyata terdapat peningkatan penggunaan teknologi dalam kurikulum perubatan, namun tidak pernah ada yang terfikir untuk menggunakannya secara total bagi menggantikan kaedah konvensional pengajaran bersemuka, sehinggalah terjadinya wabak COVID-19. Pendek kata, sudah menjadi satu kemestian bagi pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan sepenuhnya di pusat-pusat pengajian perubatan semasa tempoh wabak COVID-19 ini berlaku, demi memastikan kelangsungan proses pendidikan yang berterusan.

Cabaran pembelajaran dalam talian

Penggunaan sesuatu yang di luar kebiasaan terutama yang melibatkan teknologi bukanlah tanpa halangan. Perubahan sikap dan tekad dalam kalangan pensyarah penting untuk mempelajari sesuatu yang baru. Kajian telah membuktikan sikap pengajar dan pelajar adalah penentu utama dalam keberkesanan pembelajaran dalam talian. Minat dan rasa ingin tahu dalam kalangan pensyarah dan sokongan yang kuat daripada rakan-rakan pensyarah yang celik teknologi adalah faktor pendorong utama untuk pelaksanaannya secara menyeluruh.

Cabaran utama terhadap kaedah pembelajaran dalam talian pula adalah masalah logistik dan organisasi, terutama disebabkan kekurangan akses internet dan kemahiran serta sikap pensyarah yang tidak mahu berubah selain memilih untuk kekal dengan interaksi bersemuka. Terdapat juga salah tanggapan mengenai kaedah pengajaran dalam talian, yang mengakibatkan para pensyarah tidak menunjukkan komitmen untuk melakukannya, antaranya ialah persepsi pensyarah dan pelajar tentang penglibatan dari segi masa dan ruang. Sedangkan proses pembelajaran kolaboratif ini sangat memerlukan komitmen bersama, sama ada dilakukan dalam masa nyata atau bukan masa nyata.

Konflik lain dalam kalangan pensyarah mengenai pengajaran dalam talian termasuklah kekurangan literasi digital, ‘takut’ teknologi atau ‘fobia’ komputer. Sesetengah pensyarah mempunyai kepercayaan kuat bahawa pengajaran dalam talian tidak akan dapat memenuhi pencapaian hasil pembelajaran untuk program mereka, dan menegaskan bahawa para pelajar tetap menyukai pengajaran bersemuka tanpa mempunyai bukti secara empirikal. Situasi ini sudah dijangkakan memandangkan selama ini mereka berada di zon selesa tanpa sebarang acahan untuk mencuba kaedah baharu. Hanya segelintir yang meneroka atas dasar minat dan insiatif sendiri, sehinggalah tercetusnya PKP ini mereka menjadi pusat rujukan rakan-rakan yang baru ingin berjinak-jinak.

Mengubah penghalang menjadi peluang

Sebilangan pensyarah gusar apabila diminta menukar kaedah pembelajaran  bersemuka kepada dalam talian untuk program klinikal doktor perubatan dan sarjana perubatan kerana bagi mereka ini boleh membataskan pencapaian hasil pembelajaran terutama yang berkait dengan aplikasi klinikal dan kemahiran. Kebimbangan sebegini sebenarnya bagus kerana ia menunjukkan keprihatinan pensyarah yang tinggi terhadap tahap penerimaan pelajar. Namun dalam masa yang sama, para pensyarah tidak boleh memandang rendah tentang keupayaan pelajar terutama pelajar generasi digital ini.  Besar kemungkinan cabaran tersebut akan bertukar menjadi kegemaran sekiranya para pensyarah dapat menukar sedikit persepsi terhadap pengajaran dalam talian.

Pengajaran dalam talian yang berjaya adalah hasil interaksi yang kompleks antara faktor peribadi, pedagogi, kontekstual dan organisasi dalam institusi pendidikan tinggi. Langkah ini termasuk memberikan latihan perkembangan profesional berterusan kepada pensyarah, memberikan sokongan internet yang baik dan platform berasaskan web untuk pensyarah dan mewujudkan persekitaran budaya positif terhadap pendidikan dalam talian seperti memberikan penghargaan dan pengiktirafan. Usaha ini pasti dapat memberikan motivasi kepada pensyarah untuk meneruskan pengajaran dalam talian sebagai salah satu pendekatan pengajaran rutin mereka.

Sungguh pun begitu, wabak COVID-19 yang hadir tanpa diduga ini telah berjaya mengubah perspektif pengajaran dan pembelajaran dalam talian. Dengan penguatkuasaan sepenuhnya PKP di kebanyakan negara, pendidik di seluruh dunia tidak mempunyai pilihan kecuali melakukan pengajaran dan pembelajaran dalam talian untuk memastikan pendidikan berterusan kepada pelajar.  Hal ini merupakan pengalaman sebenar pensyarah perubatan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM dalam menjalani kehidupan normal baharu khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran dalam talian mengikut kemampuan mereka.

Kesimpulan dan seruan 

Berdasarkan pemerhatian penulis, ternyata pengajaran dalam talian pada asalnya suatu cabaran, namun kini ia bertukar menjadi kegemaran apabila semakin ramai penglibatan pensyarah untuk sebarang aktiviti secara dalam talian dan pelbagai video pengajaran telah terhasil dalam tempoh beberapa minggu awal PKP. Duhai pensyarah, tatkala virus masih menular masih tiada henti, marilah kita  ubah persepsi, pasakkan tekad di hati, cabar diri untuk terus berbakti.

3

Gambar 1: Garis Masa COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia dan Pembelajaran Dalam Talian di USM

 

Rujukan 

  1. Amir Y. Malaysia confirms first COVID-19 death, victim is pastor from Sarawak. Channel News Asia. Retrieved 14 April 2020  https://www.channelnewsasia.com/news/asia/malaysia-first-covid-19-death-kuching-sarawak-pastor-church-12547096
  2. Bolliger DU, Wasilik O. Factors influencing faculty satisfaction with online teaching and learning in higher education. Distance Education. 2009;30(1):103–16.
  3. Bunker A, Vardi I. Why Use the Online Environment with Face-to-Face Students?: Insights from Early Adopters. Citeseer; 2001.
  4. Delfino M, Manca S, Persico D, Sarti L. Online learning: Attitudes, expectations and prejudices of adult novices. In: Proceedings of the IASTED Web Based Education Conference. 2004;p.31–6. 
  5. Oliver R. Exploring strategies for online teaching and learning. Distance Education. 1999 Jan 1;20(2):240-54.
  6. Sarif SM, Yahya R. Tawhidic Approach of managing crisis with "unprecedented situation deals with unprecedented measures": The Case Movement Control Order on Coronavirus Disease 19 (COVID-19) in Malaysia. Retrieved 15 April 2020 https://www.researchgate.net/publication/340378331_Tawhidic_Approach_of_managing_crisis_with_unprecedented_situation_deals_with_unprecedented_measures_The_Case_Movement_Control_Order_on_Coronavirus_Disease_19_COVID-19_in_Malaysia
  7. Sohrabi C, Alsafi Z, O’Neill N, Khan M, Kerwan A, Al-Jabir A, Iosifidis C, Agha R. World Health Organization declares global emergency: A review of the 2019 novel coronavirus (COVID-19). International Journal of Surgery. 2020 Feb 26.
  8. Spinelli A, Pellino G. COVID-19 pandemic: perspectives on an unfolding crisis. Br J Surg. 2020 Mar 19;10.
  9. Sun PC, Tsai RJ, Finger G, Chen YY, Yeh D. What drives a successful e-Learning? An empirical investigation of the critical factors influencing learner satisfaction. Computers & Education. 2008;50(4):1183–202.
  10. Wang C, Cheng Z, Yue X-G, McAleer M. Risk management of COVID-19 by universities in China. Multidisciplinary Digital Publishing Institute; 2020.
  11. Wang M, MacArthur DA, Crosby B. A descriptive study of community college teachers’ attitudes toward online learning. TechTrends. 2003;47(5):28–31.
  12. Weston WW, Whitehead C. Why continuity matters: Ian McWhinney’s insights for 21st-century medical education. Canadian Family Physician. 2014;1;60(1):11-3.
Cetak