Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

COVID-19 Dan Rawatan Kesakitan

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 3956
Pengarang:
Kamaruddin Ibrahim, Shamsul Kamalrujan Hassan, Mohd Zulfakar Mazlan, Sanihah Che Omar
Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan.
Pengarang Koresponden:
Dr Kamaruddin bin Ibrahim
Pakar Anestesiologi (Bius) dan Rawatan Kesakitan
Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi,
Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan,
16150 Kubang Kerian, Kelantan.

Secara umumnya COVID-19 dikesan apabila pesakit mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas. Namun ada segelintir pesakit mengalami gejala kesakitan seperti sakit perut, sakit tekak, sakit kepala, sakit-sakit otot, sakit belakang, sakit testis dan sakit sendi. Oleh itu kakitangan perubatan yang merawat hendaklah cakna dengan kesakitan pesakit. Ini dapat dilaksanakan dengan memartabatkan kesakitan sebagai ‘Tanda Vital Ke-5’ selepas menilai 4 tanda vital yang lain iaitu tekanan darah (BP), nadi (HR), suhu (T) dan kadar pernafasan (RR). Justeru, tahap kesakitan hanya akan dapat diketahui melalui pengukuran skala kesakitan (PS) bersama 4 tanda vital yang lain.

Pengukuran tahap kesakitan pesakit COVID-19 dilakukan dengan menggunakan skala kesakitan (Rajah 1). Skala kesakitan bernombor 1-10 ini digunakan secara meluas di fasiliti kesihatan di Malaysia.

Nombor 1 mewakili kesakitan yang minimum,  manakala nombor 10 mewakili kesakitan yang maksimum. Semakin meningkat nombor, maka semakin kuat kesakitan yang dapat di fikirkan oleh pesakit.

fg1

Rajah 1: Skala Kesakitan Bernombor

Jika pesakit COVID-19 tidak dapat memahami skala kesakitan secara bernombor, skala kesakitan muka boleh digunakan. Skala muka biasanya digunakan kepada kanak-kanak yang berumur 4 tahun dan ke atas.

Skala muka hendaklah diterangkan kepada pesakit bahawa setiap muka mewakili nombor kesakitan. Pesakit harus memberitahu muka mana yang paling sesuai dengan kesakitan yang dia hadapi pada masa itu.

fg2

Rajah 2: Skala Kesakitan Muka

Bagi kanak-kanak yang berumur 4 tahun dan ke bawah, Skala FLACC (Face Leg Activity Cry Consolability) digunakan bagi membantu mendapatkan skala kesakitan. Skala ini juga digunakan kepada pesakit-pesakit dewasa yang istimewa atau menghidapi masalah kognitif seperti nyanyuk, angin ahmar dan sindrom Down.

KATEGORI

PEMARKAHAN

0

1

2

WAJAH

Tiada ekspresi tertentu di wajah atau dalam keadaan tersenyum

Kadang terlihat muka berkerut, murung, tidak bermaya atau tidak bersemangat

Rahang terkancing, dagu bergetar (pada kadar kerap hingga berterusan)

KAKI

Kedudukan biasa atau selesa

Keadaan tidak selesa, resah atau tegang

Menendang-nendang atau membengkokkan kaki

AKTIVITI

Berbaring tenang, berkedudukan biasa, bergerak dengan selesa

Berguling, berganjak depan dan belakang, tegang

Meringkuk, kaku atau mengelupur

TANGIS

Tidak menangis (tidur atau terjaga)

Merengek dan kadang-kadang mengeluh

Menangis berterusan berteriak dan teresak-esak, sering mengeluh

KEBOLEHPUJUKAN

Tenang

Masih dapat dipujuk dengan sesekali sentuhan, pelukan atau kata-kata, masih boleh dialih perhatian

Sukar dipujuk

Setiap kategori diberi markah 0 – 2 dengan jumlah keseluruhan 0 – 10

Rajah 3: Skala FLACC

Ketiga-tiga skala pengukuran kesakitan di atas mempunyai markah maksimum 10. Oleh itu secara rasminya pengambilan markah kesakitan membawa maksud per 10.

Kakitangan perubatan akan menanda di dalam carta tanda vital supaya doktor dapat melihat keseriusan kesakitan seseorang pesakit.

Walaupun begitu seseorang doktor yang merawat hendaklah membezakan terlebih dahulu di antara sakit akut dan sakit kronik. Sakit akut adalah kesakitan yang berlaku dalam tempoh yang singkat atau kurang dari 3 bulan atau mempunyai luka yang belum sembuh. Manakala sakit kronik pula adalah sakit yang berpanjangan melebihi 3 bulan atau mempunyai luka yang sudah sembuh sepenuhnya. Sakit Kronik hendaklah dirujuk kepada doktor pakar yang mahir merawat sakit kronik.

Rawatan sakit akut di jalankan secara ubatan dan bukan ubatan. Contoh teknik bukan ubatan adalah teknik pernafasan, tuaman dengan ais atau air suam, urutan, rehat, alih perhatian dan lain-lain. Penggunaan ubat tahan sakit sudah lama di amalkan di fasiliti kesihatan. Preskripsi ubat tahan sakit oleh doktor adalah berpandukan kepada WHO Analgesic Ladder seperti dibawah (6).

fg4

Rajah 4: WHO Analgesic Ladder

Kesakitan telah diklasifikasikan kepada kesakitan sedikit (mild), kesakitan sederhana (moderate) dan kesakitan teruk (severe). Kumpulan kesakitan mild (PS 1-3) boleh dirawat menggunakan paracetamol (PCM) atau NSAIDs (Non-steroidal anti-inflammatory drugs) atau boleh digabungkan kedua-duanya. Setakat ini tiada bukti saintifik menunjukkan penggunaan NSAIDs boleh memberi kesan buruk kepada pesakit yang menghidap COVID-19. Contoh ubat NSAIDs ialah mefenemic acid (ponstan), diclofenec sodium (voltaren), Ibuprufen (brufen), celecoxib (celebrex) and etoricoxib (ancoxia).

Bagi kumpulan kesakitan moderate (PS 4-6), ubat tramadol atau dihydrocodeine atau digabungkan bersama-sama dengan PCM dan NSAIDs. Jika kesakitan adalah kesakitan yang amat sakit, maka doktor boleh menggunakan ubat opiod yang kuat seperti morfin. Jikalau doktor sangsi atau ragu untuk memberi preskripsi ubat morfin kepada pesakit, doktor tersebut bolehlah merujuk ke bahagian perkhidmatan kesakitan akut (Acute Pain Service).

Matlamat dalam merawat kesakitan adalah supaya kesakitan berada pada tahap yang selesa atau pada skala 3 dan ke bawah. Setakat ini tiada pihak melaporkan kesakitan pesakit COVID-19 pada tahap kesakitan yang amat sakit dan di luar kawalan. Justeru, doktor yang merawat hendaklah membiasakan diri memberi rawatan dengan menggunakan teknik ubatan tahan sakit kepada pesakit COVID-19.

Senarai rujukan:

  1. Joob B, Wiwanitkit V. Arthralgia as an initial presentation of COVID-19: observation. Rheumatol Int. 2020 May;40(5):823.
  2. Kakodkar P, Kaka N, Baig MN. Comprehensive Literature Review on the Clinical Presentation, and Management of the Pandemic Coronavirus Disease 2019 (COVID-19). Cureus. 2020 Apr 6;12(4): e7560.
  3. Kim J, Thomsen T, Sell N, Goldsmith AJ. Abdominal and testicular pain: An atypical presentation of COVID-19. Am J Emerg Med. 2020 Mar 31. pii: S0735-6757(20)30194-7.
  4. National Pain Free Programme Committee. Pain as the 5th Vital Sign Guideline: 3rd Edition: Ministry of Health Malaysia; 2018
  5. Siegel A, Chang PJ, Jarou ZJ, Paushter DM, Harmath CB, Arevalo JB, Dachman A. Lung Base Findings of Coronavirus Disease (COVID-19) on Abdominal CT in Patients with Predominant Gastrointestinal Symptoms. AJR Am J Roentgenol. 2020 Apr 17:1-3.
  6. Tan YP, Tan BY, Pan J, Wu J, Zeng SZ, Wei HY. Epidemiologic and clinical characteristics of 10 children with coronavirus disease 2019 in Changsha, China. J Clin Virol. 2020 Apr 10; 127:104353.
  7. Zhu J, Ji P, Pang J, Zhong Z, Li H, He C, Zhang J, Zhao C. Clinical characteristics of 3,062 COVID-19 patients: a meta-analysis. J Med Virol. 2020 Apr 15.
Cetak