Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Deria Bau dan COVID-19: Bertemu, Bertamu Untuk Berpisah

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 159066
Pengarang:

Jeyasakthy Saniasiaya1, Irfan Mohamad2,3

1Jabatan Otorinolaringologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Jalan Universiti, 50603 Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Malaysia

2Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

3Hospital Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

Pengarang Koresponden:

Profesor Dr Irfan Mohamad,

Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala & Leher,

Pusat Pengajian Sains Perubatan,

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia,

16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

Tel: 09-7676420

Faks: 0907676424

Emel: irfankb@usm.my

Deria bau, satu anugerah

Deria bau merupakan salah satu daripada lima pancaindera manusia yang amat istimewa. Kehidupan menjadi lebih bermakna dan ceria, dengan kebolehan mengecapi pelbagai stimuli untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Bahkan bagi sesetengah organisma, deria bau merupakan keperluan untuk kemandirian spesies. Contohnya, deria bau anjing adalah 10 kali lebih sensitif daripada manusia. Hal ini menjadi reseptor untuk pengecaman ancaman, mengenal pasti punca dan sumber makanan, menghindari racun berbahaya bahkan hingga ke tahap mengesan lokasi pasangan untuk kelangsungan kehidupan untuk proses pembiakan.

Bagi manusia, deria bau amat penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan seseorang. Tanpanya, seorang isteri mungkin menghidangkan ikan goreng yang hangus, atau seorang suami mengenakan pewangi yang merimaskan pasangan. Deria bau juga dikatakan pemangkin sebuah perhubungan antara individu, baik seorang bayi kepada ibunya, dan seorang suami atau isteri kepada pasangannya kerana deria bau amat dikaitkan dengan emosi. Bagi seseorang yang ingin melaksanakan ritual ibadat juga, mengenakan wangian dalam kadar yang sesuai merupakan suatu yang digalakkan, kerana ia boleh mengundang ketenangan minda dan perasaan.

Apa Itu anosmia?

Kehilangan deria bau boleh dikategorikan sebagai anosmia iaitu kehilangan deria bau sepenuhnya dan hiposmia bermaksud kehilangan deria bau separa. Kehilangan deria bau ini boleh bersifat kekal atau sementara. Faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehilangan deria bau termasuk hidung tersumbat akibat proses inflamasi atau keradangan pada mukosa hidung yang sering terjadi dalam kes jangkitan virus seperti influenza, alahan (alergi) atau resdung (sinusitis), ketumbuhan dalam hidung, kerosakan saraf sebagai komplikasi keretakan tulang lantai otak akibat kemalangan, proses degeneratif saraf disebabkan peningkatan usia, penyakit Alzheimer dan lain-lain.

Bukan sekadar gejala ringan, malah kehilangan deria bau boleh mengakibatkan risiko seperti ketidak upayaan untuk merasa makanan, yang boleh menyebabkan seseorang makan terlalu banyak atau makan terlalu sedikit kerana hilangnya selera, kesukaran untuk menilai makanan yang rosak, yang boleh menyebabkan keracunan makanan dan juga sekiranya berlaku kebakaran seseorang yang mengalami anosmia tidak akan dapat menghidu asap atau punca gas yang bocor umpamanya. Anosmia, ataupun hiposmia, walaupun nampak seperti bukanlah suatu gejala yang serius seperti kelumpuhan atau kecederaan anggota badan, ia tetap akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang pesakit.

Bertemunya COVID-19 dan deria bau

Ramai yang tidak mengetahui bahawa anosmia merupakan salah satu daripada simptom penyakit koronavirus-19 (COVID-19). Sebenarnya ansomia boleh dikategorikan sebagai salah satu simptom utama atau boleh dianggap sebagai simptom awal COVID-19. Ini terbukti dengan peningkatan kes-kes yang melibatkan pesakit COVID-19 yang hanya mengalami kehilangan deria bau semata-mata. Kehilangan deria bau akibat COVID-19 berkait rapat dengan virus SARS-CoV-2 yang mengikat dengan reseptor COVID-19 iaitu ACE-2 yang berada di dalam hidung terutamanya di kawasan olfaktori. Oleh itu, patofisiologi atau penerangan kepada proses kehilangan deria bau dalam kalangan pesakit COVID-19 adalah berbeza dengan jangkitan virus lain contohnya influenza. Dalam kes selain COVID-19, kehilangan bau disebabkan oleh proses inflamasi, yang menimbulkan gejala selsema dan hidung tersumbat, lantaran bengkaknya struktur dalam rongga hidung termasuklah kawasan olfaktori.

Satu meta-analisis yang baru diterbitkan dalam journal perubatan berprestij dalam bidang kepakaran telinga, hidung dan tekak iaitu jurnal Laryngoscope menunjukkan bahawa kehilangan deria bau dalam kalangan masyarakat kemungkinan lebih tinggi daripada yang dilaporkan, terutamanya penyakit COVID-19 wanita (61.4%) berbanding pesakit lelaki (38.6%) (Saniasiaya et al, 2020).

Rajah 1

Rajah 1: Kaitan deria bau dengan COVID-19 (Dengan izin Facebook: Public Health Malaysia)

Bertemu lalu bertamunya COVID-19 di hidung

Sungguh data telah membuktikan bahawa apabila bertemunya COVID-19 dengan rongga hidung, maka salah satu fungsi hidung yang utama dengan kebolehannya untuk menghidu akan terpisah. Lebih menakutkan, kehilangan deria bau juga didapati sebagai gejala COVID-19 yang kurang dilaporkan di kalangan pesakit COVID-19. Ini berikutan daripada anggapan orang ramai yang tidak sedar akibat kurang hebahan tentang kaitan di antara kehilangan deria bau dan COVID-19.

Kajian saintifik yang baru diterbitkan pada penghujung tahun 2020 telah menganalisa 83 dapatan pemerhatian pengkaji yang yang melibatkan sejumlah 27,492 pesakit. Secara keseluruhan, kadar kehilangan deria bau dalam kalangan pesakit COVID-19 adalah 47.85%. Selain itu, meta-analisis berkenaan juga mendapati kadar kehilangan deria bau yang tinggi di kalangan pesakit di Eropah iaitu 54.40%, dan diikuti sebanyak 51.11% di Amerika Utara, 31.30% di Asia dan 10.71% melibatkan pesakit Australia (Sanisiaya et al, 2020).

Terpisahnya hidung-bau akibat COVID-19

Laluan utama bagi virus penyebab COVID-19 iaitu SARS-CoV 2 ini untuk masuk ke dalam badan seseorang ialah melalui hidung, terutamanya bahagian atap atau siling rongga dalam hidung (Rajah 2). Pada bahagian ini terletaknya lapisan sel epitelium yang mengesan rangsangan bau. Kawasan ini dipanggil kawasan olfaktori.

Rajah 2: Kawasan atap atau siling rongga hidung yang merupakan kawasan deria bau (olfaktori)

Apabila seseorang menarik nafas, udara akan masuk ke dalam rongga hidung. Seterusnya, udara akan naik ke kawasan olfaktori justeru kita akan dapat membau dengan baik kerana partikel-partikel rangsangan yang mempunyai kod bau yang terlarut dalam udara yang disedut mengaktifkan hujung sel olfaktori tersebut.

Apabila seseorang berinteraksi seperti bercakap dengan seseorang yang positif COVID-19 walaupun yang tidak bergejala, dia akan terdedah kepada jangkitan virus ini, terutamanya jika dia atau pesakit tersebut tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup separuh muka dengan betul. Udara yang disedut yang mengandungi virus SARS-CoV 2 akan memasuki saluran pernafasannya, akan menerjah ke kawasan olfaktori, merosakkan hujung-hujung sarafnya lantas mengganggu proses pengesanan dan penghantaran maklumat berkenaan bau. Menifestasi proses ini ialah pesakit COVID-19 akan mengalami gangguan deria bau, walaupun dari kaca mata orang ramai mereka nampak seperti sihat dan tidak bergejala (Axel et al, 1995).

Yang patah tumbuh, bergantikah yang hilang?

Apa yang unik berkenaan dengan sel olfaktori ini adalah keupayaan untuk membaik pulih atau regenerasi. Keupayaan unik ini membolehkan pesakit COVID-19 yang kehilangan deria bau untuk mendapatkan semula fungsi bau (Lin et al, 2008). Tetapi persoalan yang timbul kini apakah kadar pemulihan semula fungsi deria bau itu? Mungkinkah ia kembali pulih sepenuhnya, dan adakah ia berlaku dalam kalangan semua pesakit?

Satu kajian retrospektif yang melibatkan pesakit di salah sebuah hospital di Malaysia mendapati deria bau mampu pulih dalam jangkamasa yang pendek. Proses ini sepenuhnya dicapai dalam dalam masa 7 hari dari permulaan gejala, oleh 70.5% pesakit (Ramasamy et al, 2020). Namun demikian, bagi pesakit COVID-19 yang masih bergejala anosmia ini, terapi Latihan Semula Bau (Olfactory Retraining therapy) akan diberikan, yang melibatkan penggunaan rangsangan aroma yang berbeza, contohnya aroma kayu putih, lemon, mawar, lavender, kopi dan thyme. Laporan penyelidikan yang baru diterbitkan menunjukkan hasil positif berkaitan penggunaan latihan bau dalam kalangan pesakit COVID-19 dengan gangguan bau.

Kesimpulan

COVID-19 yang bertamu di dalam badan pesakit akan bertemu dengan kawasan olfaktori yang bertanggungjawab terhadap deria bau apabila udara disedut. Apabila mereka bertemu, hidung dan deria bau akan berpisah. Anosmia akan menjadi gejala awal, akan hilang dan deria bau akan kembali pulih selepas sel saraf mengalami pemulihan atau regenerasi. Kiranya gejala anosmia tidak hilang, terapi khas akan dimulakan. Apa yang penting, kita harus teguh menjaga hidung kita, dengan cara memakai pelitup muka yang betul dan dengan cara yang betul, di samping mengekalkan jarak fizikal yang selamat semasa berkomunikasi kerana jika kita teguh, kita pasti menang.

Rujukan

Axel R. The molecular logic of smell. Sci Am 1995;273:154–159.

Lin W, Ezekwe EA, Zhao Z, et al. TRMPM5-expressing microvillous cells in the main olfactory epithelium. BMC Neurosci. 2008; 9:1-13.

Ramasamy K, Saniasiaya J, Abdul Gani N. Olfactory and Gustatory Dysfunctions as a Clinical Manifestation of Coronavirus Disease 2019 in a Malaysian Tertiary Center. Ann Otol Rhinol Laryngol. 2020 Oct 7:3489420963165. doi: 10.1177/0003489420963165. 

Saniasiaya J, Islam MA, Abdullah B. Prevalence of Olfactory Dysfunction in Coronavirus Disease 2019 (COVID-19): A Meta-analysis of 27,492 patients. Laryngoscope. 2020 Nov 20:10.1002/lary.29286. doi: 10.1002/lary.29286.

Cetak