Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Novel Coronavirus COVID-19: Bicara Asas Tentang Dia

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 6244
Pengarang:
Nur Asyilla Che Jalil, Wan Faiziah Wan Abdul Rahman
Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
Pengarang Koresponden:
Dr Nur Asyilla Che Jalil
Pakar Patologi, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.
Tel :0179584800

Pembuka bicara: kita dan COVID-19

Saban hari kita meneruskan aktiviti normal kehidupan seperti biasa. Tiada sedikitpun terlintas di fikiran akan menjalani perintah kawalan pergerakan seperti hari ini. Sekitar Disember 2019, hangat dibicara tentang penularan sejenis virus baru di timur dunia. Ia mendapat liputan di dada akhbar, kaca televisyen dan juga pelbagai media sosial. Rasa takut pada ketika itu ada, namun tidaklah ketara, cuma gusar menyinggah di jiwa kerana penularannya daripada manusia kepada manusia yang lambat laun akan sampai juga. Dan ternyata ia sampai apabila kes pertama di Malaysia dilaporkan positif pada 25 Januari 2020.

Kita terkedu memikirkan virus sehalus itu, yang tidak terlihat oleh mata kasar, mampu melumpuhkan banyak negara, mampu menjadi wabak digeruni si miskin dan si kaya dan ditakuti rakyat marhaen dan juga penguasa. Justeru, terlintas di hati untuk melakarkan kanvas yang ada, untuk berbicara tentang dia, tentang virus yang hebat diperkata, agar dapat digambar pada semua, umpama dibawah lensa atau kanta.

Novel coronavirus dan COVID-19: menjejaki asal-usulnya

Wuhan yang sebelum ini tidak dikenali oleh ramai orang, kini menjadi tumpuan utama seluruh dunia setelah didapati virus ini asalnya dari sana. Menyusuri pautan internet; Wuhan merupakan ibu kota wilayah Hubei, terletak 800 kilometer dari barat Shanghai, 4 jam perjalanan dari Shanghai menggunakan kereta api berkelajuan tinggi. Wuhan juga terkenal dengan pusat makanan laut yang menjual pelbagai jenis haiwan eksotik, yang didakwa menjadi penyebab penyebaran virus tersebut.

Pada 31 Disember 2019, dilaporkan sekumpulan pesakit didapati mengalami gejala radang paru-paru. Berdasarkan riwayat klinikal, pesakit yang terlibat mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan pasar basah di Wuhan. Misteri terjawab apabila penyelidik berjaya mengisolasi novel coronavirus (2019-ncoV) daripada sampel pesakit pada 7 Januari 2020. Virus tersebut digelar novel kerana sesuatu yang baru dan tidak menyerupai mana-mana virus yang sedia ada. Ianya memerlukan satu kajian mendalam untuk mengenali ciri-ciri khas yang ada padanya.

Jangkitan oleh novel coronavirus ini boleh menyebabkan seseorang individu itu tidak menunjukkan apa-apa gejala. Ada sesetengahnya hanya menunjukkan gejala yang ringan seperti batuk kering, demam atau sakit tekak. Tetapi, jika sistem imun badan tidak dapat bertahan, gejala akan menjadi semakin teruk sehingga bantuan pernafasan diperlukan. Gejala ini boleh muncul dalam tempoh 14 hari, bermula daripada seseorang itu terdedah kepada novel coronavirus. Tempoh ini dinamakan tempoh inkubasi. Dalam tempoh inkubasi ini, keupayaan virus menjangkiti seorang individu kepada individu yang lain adalah amat tinggi. Pesakit yang berusia serta mempunyai sejarah penyakit kronik adalah golongan yang amat berisiko untuk mendapat jangkitan yang teruk. Mereka lebih terdedah untuk mendapat gangguan pernafasan akut sehingga terpaksa diberikan sokongan pernafasan menggunakan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan ujian serologi dan molekular yang dijalankan di makmal, didapati kandungan genetik novel coronavirus ini mempunyai kaitan dengan virus penyebab sindrom pernafasan akut SARS-CoV yang berlaku pada tahun 2003. Jawatankuasa Antarabangsa Taksonomi Virus (ICTV) telah mengenalpasti virus ini berasal daripada keluarga Coronaviridae yang tergolong dalam spesies ‘coronavirus berkait dengan sindrom pernafasan akut yang teruk’ (Severe acute respiratory syndrome-related coronavirus). Ia merupakan virus zoonotik yang berasal daripada haiwan dan dikelaskan di bawah genus beta-coronavirus, yang mana kajian mendapati 96% menyamai dengan coronavirus yang diambil dari sampel kelawar dan 92% menyamai dengan coronavirus yang diambil dari sampel tenggiling (pangolin).

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan bahawa penyakit yang disebabkan oleh novel coronavirus (2019-nCoV) ini sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Antarabangsa pada 30 Januari 2020. Tidak lama selepas itu, tanggal 11 Februari 2020, WHO mengisytiharkan nama rasmi penyakit ini sebagai COVID-19 dan pihak ICTV pula memberikan nama virus penyebab penyakit ini sebagai SARS-CoV-2 (Severe Acute Respiratory Syndrome-Coronavirus 2). COVID-19 mempunyai maksud tersendiri, iaitu, CO bermaksud corona, VI merujuk kepada virus manakala D adalah mewakili ‘disease’ atau penyakit. Nombor 19 pula, merujuk kepada tahun 2019, tahun tercetusnya wabak ini. Maka COVID-19 bermaksud ‘coronavirus disease of 2019’, yang merujuk kepada penyakit disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 daripada spesies Severe acute respiratory syndrome-related coronavirus. Maka, perlu difahamkan di sini bahawa dalam sesuatu wabak penyakit bawaan virus yang baharu, terdapat tiga nama yang perlu diputuskan iaitu nama penyakit, nama virus penyebab penyakit dan juga nama spesies atau keluarga virus tersebut.

WHO seterusnya mengisytiharkan penyakit COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar luas merentasi sempadan dunia. Dalam masa yang singkat, bilangan kes positif seluruh dunia pada akhir bulan Mac adalah sebanyak 90,870 kes dan telah menyebabkan 3,000 kematian. Dunia menangis seketika sebelum bangkit semula menentang virus ini.

COVID-19 telah mendapat perhatian semua individu di seluruh dunia. Tiada yang terkecuali. Makcik pakcik berteleku di depan televisyen mendengar berita, anak cucu melayari media-media masa mencari informasi berguna. Macam-macam berita yang keluar, banyak yang palsu dari yang benar. Ada yang melukis gambaran virus ini menyerupai sejenis kumbang atau serangga yang mempunyai mata dan mulut untuk menggigit. Ramai pula yang percaya. Namun begitu, selaku ahli akademik, jari-jemari ini terus menekan papan kekunci, melayari makalah-makalah berimpak agar kita lebih mengenali susuk badan virus hebat kecil-kecil cili padi ini.

Mengenali rupa dan fungsi virus penyebab COVID-19

Secara asasnya, coronavirus adalah virus yang menggemari saluran pernafasan menyebabkan gejala seperti selesema, batuk dan sakit tekak apabila ia menyerang saluran pernafasan bahagian atas manakala jangkitan akut respiratori seperti kesukaran bernafas apabila ia menyerang salur pernafasan bawah (paru-paru). Virus ini pada asalnya bersifat zoonotik iaitu menggunakan haiwan sebagai perumah dan menjangkiti haiwan yang lain. Namun, dengan izin Tuhan, virus ini diberi keupayaan untuk beradaptasi dalam suasana baharu melalui mutasi atau pengubahsuaian  genetik pada struktur proteinnya yang membolehkan ia menyerang sel manusia. Bukan itu sahaja, jika dibandingkan dengan coronavirus yang lain, terdapat perbezaan dari segi struktur protein pada COVID-19 ini yang memberi keupayaan yang sangat tinggi untuk mereka menjangkiti sel manusia.

Apa yang dapat digambarkan, tentera–tentera kecil  ini  cuba menakluk sel-sel dalam badan kita secara senyap. Ia berjangkit daripada manusia kepada manusia yang lain melalui titisan dari mulut atau hidung yang tersebar apabila individu yand dijangkiti dengan virus ini batuk atau bersin. Jika titisan ini terkena permukaan sesuatu objek, orang yang menyentuhnya juga boleh mendapat jangkitan ini apabila kemudiannya menyentuh hidung atau mulut.  Akhirnya virus tersebut akan memasuki sel-sel pernafasan manusia. Ia merupakan satu ancaman kesihatan jangka masa yang panjang kerana ia adalah musuh yang menyelinap masuk untuk menjajah dan membiak dalam badan manusia. Oleh itu, sangat penting untuk kita meluangkan sedikit masa untuk mengenali musuh baru ini sambil kita merangka strategi untuk menanganinya.

Coronavirus adalah virus yang berbentuk sfera dan berukuran lebih kurang 80-120 nanometer. Ianya diselaputi dengan dua lapisan lemak yang di dalamnya tertanam 3 jenis protein iaitu (1) protein envelope (E), (2) protein membrane (M) dan (3) protein spike (S). Protein spike memperlihatkan dirinya umpama mahkota di bahagian luar badan virus. Ia berbentuk seperti kon atau duri yang memenuhi segenap ruang permukaannnya. Spike merupakan struktur penting, pembawa kod kunci untuk memasuki sel perumah.  Di dalam badan virus ini terkandung protein RNA yang mengandungi maklumat genetik.

Protein spike bertanggungjawab untuk mengesan reseptor penerima pada sel manusia terutama sel kegemaran mereka iaitu sel yang melapisi salur pernafasan. Pada sel salur pernafasan ini terdapat reseptor yang dikenali sebagai Angiotensin Converting Enzyme 2 (ACE2). Ia diibaratkan seperti pengawal yang menjaga laluan khas ini dengan pintunya yang berkunci. Kod kunci hanya diketahui oleh beberapa virus tertentu sahaja namun disebabkan pengubahsuaian atau mutasi yang telah berlaku pada struktur protein novel coronavirus ini, pengawal ACE2 dapat mengenali protein spike dan membenarkan spike bergabung dengannya lalu memasuki sel perumah. Sebaik sahaja protein spike memasuki sel perumah, maklumat genetik RNA turut disuntik masuk dan berkumpul di bahagian sitoplasma sel perumah. Virus mula menguasai sel perumah dan mengambil alih sistem pembiakan dengan mengarahkan sel manusia menyalin maklumat genetik bagi menghasilkan berjuta-juta virus seterusnya menyerang sistem pernafasan manusia.  

 

a1

Figura 1: Lakaran ringkas struktur novel coronavirus penyebab COVID-19

Novel coronavirus penyebab COVID-19 merupakan satu makhluk yang tersangat halus, berbentuk sfera, disaluti oleh lapisan gaun kuning yang diperbuat daripada lemak. Manakala di dalam lapisan ini tertanam tiga struktur protein yang menjadi aksesori kepada gaunnya. Namun hakikatnya ia adalah senjata. Virus ini mempunyai mahkota di permukaan badannya yang berceracakan umpama berlian yang bergemerlapan di atas kepala seorang raja yang gah menakluk dunia. Di dalamnya pula tersimpan khazanah yang amat berharga untuk kelangsungan hidup mereka, iaitu maklumat genetik atau baka. Maklumat itu tersimpan khas dalam badan mereka dengan sebuah matlamat; ‘Carilah perumah, maka engkau akan terus gagah!’

Nama coronavirus diilhamkan daripada bentuk unjuran spikes atau duri di permukaannya yang menyerupai mahkota jika dilihat di bawah mikroskop elektron. Corona juga bermaksud ‘crown’ dalam bahasa Latin. Ajaibnya ciptaan Tuhan, kerana mereka tidak memerlukan mata, hidung atau mulut. Mereka hanya perlu membiak menghasilkan anak didik dan hidup sebagai penjajah cilik yang menggunakan kapal angkasa kecil dan melabuhkan spike pada sel-sel manusia lalu menyuntik maklumat genetik. Umpama bumi ditakluki makhluk asing dengan menghuni, membiak, dan bermaharajalela sesuka hati.

Mengikut kajian, 88% pesakit yang dijangkiti virus ini tidak menunjukkan apa-apa gejala. Faktor ini antara penyebab kejayaan virus menjangkiti manusia di seluruh dunia dengan strategi senyap dan serang. Faktor ini juga menyebabkan penularannya sukar dikawal. Individu yang dijangkiti tidak sedar bahawa mereka adalah pembawa virus. Oleh itu, mereka bekerja seperti biasa, bergaul dengan rakan sekerja, ke pasar raya, menziarahi sahabat handai serta saudara-mara, tanpa menyedari bersama mereka ada virus yang bersorakan menunggu perumah baharu.

Inilah rantaian yang perlu kita putuskan. Inilah juga sebab utama perintah kawalan pergerakan terpaksa diadakan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Akta Polis 1967 kini sudah sampai ke fasa ketiga (ketika artikel ini ditulis). Jika penjarakan sosial dan amalan kebersihan diambil serius oleh masyarakat, pasti kita mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi krisis ini.

Penulis mengakhiri coretan dengan sebuah nukilan sajak tentang Sang Corona COVID-19 untuk sama-sama dihayati.   

Sang Corona COVID-19
 
Wahai sang corona, kecil-kecilmu cili padi
Datangmu dengan senyap, seranganmu penuh berstrategi
Tua muda kecil besar tiada ehsan kau tunjukkan
Asal dapat menakluk manusia, kau gah bersorakan
 
Engkau kecil tidak terzahir pada pandangan mata
Engkau bulat berbentuk sfera
Engkau punya perisai diselaputi lipid dan protein
Engkau punya mahkota berceracakan dipermukaan
Engkau jadikan manusia perumah barumu
Engkau salurkan khazanah genetik RNA untuk kelangsunganmu
Engkau biakkan tentera-tentera kecilmu
Engkau bagaikan raja segala penjajah menyerang tanpa amaran 
 
Kami takut pada mulanya, kami gusar pada awalnya
Namun, lagi dekat engkau kami kenali
Lagi banyak tentang kamu kami pelajari
Rupanya-rupanya lemah dirimu wahai sang corona
Hanya dengan basuhan air sabun engkau tak berdaya
Hanya dengan penjarakan sosial engkau mula menjarak
Hanya dengan kami duduk di rumah  engkau hampir punah
 
Wahai sang corona strategimu kami pelajari
Langkahmu kami amati
Sekarang kami kuat tegar berdiri
Dirimu pasti kami perangi
Letih panas askar dan polis, penat lelah barisan hadapan
Menjadi bukti pengorbanan, melakar sejarah sebuah perjuangan
Cita-cita kami hanya satu, harapan kami hanya satu
Untuk melihat lagi cahaya pelangi, agar sang corona COVID-19 terkubur kaku.
 

Rujukan:

  1. Cascella M, Rajnik M, Cuomo A, Dulebohn SC & Di Napoli R. Features, evaluation and treatment coronavirus (COVID-19). In StatPearls [Internet]. StatPearls Publishing. April 6, 2020. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK554776/
  2. International Committee on Taxonomy of Viruses ICTV (retrieved 8 May 2020) https://talk.ictvonline.org/
  3. Liu Y, Gayle AA, Wilder-Smith A & Rocklöv J. The reproductive number of COVID-19 is higher compared to SARS coronavirus. Journal of Travel Medicine. 2020
  4. Report of the WHO-China joint mission on coronavirus disease 2019 (COVID-19). (16-24 February 2020). https://www.who.int/docs/default-source/coronaviruse/who-china-joint-mission-on-covid-19-final-report.pdf
  5. Sohrabi C, Alsafi Z, O’Neill N, Khan M, Kerwan A, Al-Jabir A & Agha R. World Health Organization declares global emergency: A review of the 2019 novel coronavirus (COVID-19). International Journal of Surgery. 2020 Feb 26
  6. World Health Organization. Naming the coronavirus disease (COVID-19) and the virus that causes it (Retrieved 8 May 2020) https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/technical-guidance/naming-the-coronavirus-disease-(covid-2019)-and-the-virus-that-causes-it
  7. Zhang et al. Probable pangolin origin of SARS-CoV-2 associated with the COVID-19 outbreak. Current Biology (6 April 2020) 30,1346-1361
  8. Zhou F, Yu T, Du R, Fan G, Liu Y, Liu Z & Guan L. Clinical course, and risk factors for mortality of adult inpatients with COVID-19 in Wuhan, China: a retrospective cohort study.  The Lancet. 2020
Cetak