Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

10 Mitos dan Fakta Vaksin COVID-19

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 21134
Pengarang:

Wan Faiziah Wan Abdul Rahman1, Norhanani Mohd Redzwan2, Rohimah Mohamud2, Ruzilawati Abu Bakar3

1Jabatan Patologi, 2Jabatan Imunologi, 3Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan.

Pengarang Koresponden:

Wan Faiziah Wan Abdul Rahman (Profesor Madya, Dr)

Pakar Perunding Patologi, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan.

Email: wfaiziah@usm.my

Pengenalan

Penghasilan vaksin COVID-19 telah menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi masyarakat yang bimbang dengan keselamatan vaksin tersebut sehingga tercetus pelbagai mitos. Kecanggihan sistem teknologi maklumat terkini memberi peluang untuk mitos tersebar secara meluas membanjiri media sosial. Hal ini telah menyebabkan keadaan menjadi semakin huru-hara kerana mitos yang tersebar telah berjaya menakutkan masyarakat. Justeru, artikel ini bertujuan memberi pencerahan secara ringkas tentang 10 mitos yang berlegar dalam masyarakat.

 

Rajah 1: 10 Mitos vaksin COVID-19 (sumber rajah daripada penulis)

                                    

MITOS 1: Kandungan vaksin COVID-19 tidak selamat dan tidak halal

Bahan utama dalam vaksin adalah air, diikuti dengan bahan-bahan lain dengan jumlah yang terlalu sedikit iaitu bahan aktif, bahan pembantu atau penguat, penstabil dan pengawet serta bahan baki jejak

Bahan aktif yang terdapat dalam vaksin COVID-19 adalah virus yang telah dinyahaktifkan. Ianya adalah tidak bahaya atau boleh menyebabkan sebarang penyakit. Bahan aktif sebahagian vaksin pula mungkin terdiri daripada sebahagian bahan genetik sama ada DNA atau RNA. Bahan genetik ini mengandungi maklumat untuk disampaikan kepada badan manusia supaya sistem imun menghasilkan antigen protein sama sebagaimana antigen yang berada pada virus. Antigen adalah zat yang mampu menyebabkan sistem imun menghasilkan antibodi yang spesifik. Manakala sistem imun badan adalah satu proses biologi yang berlaku untuk kita penyakit.

Contoh bahan pembantu atau penguat pula adalah aluminium yang juga terdapat secara semulajadi dalam air minuman, susu ibu dan hampir kesemua makanan dan ubat-ubatan. Bahan ini bertujuan untuk membantu meningkatkan tindak balas imun badan terhadap vaksin.

Contoh bahan pengawet dan penstabil yang digunakan adalah sorbitol iaitu sejenis karbohidrat yang boleh didapati dalam buah-buahan. Bahan ini penting untuk mengekalkan kualiti vaksin bagi memastikan ia selamat untuk diangkut dan disimpan.  Bahan lain adalah bahan baki jejak seperti formaldehid yang digunakan semasa proses pembuatan untuk mematikan virus, maka ada kemungkinan ia wujud dalam bentuk amat sedikit. Ia merupakan bahan semulajadi dalam badan manusia hasil sintesis protein.

Tiada sebarang bahan yang tidak halal digunakan dan ia telah diperakui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia juga telah memutuskan bahawa pengambilan vaksin ini adalah harus. Kandungan vaksin juga telah disahkan selamat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Rajah 2: Kandungan utama dalam vaksin COVID-19. (Sumber rajah daripada penulis, diadaptasi daripada laman web British Society of Immunology)

 

MITOS 2: Vaksin mRNA teknologi baru yang tidak selamat kerana kajian yang singkat

Idea penggunaan molekul mRNA untuk rawatan telah dicetuskan sejak tahun 1989 oleh penyelidik dari Amerika Syarikat. Kemudian pada tahun 1990, kajian mendapati suntikan mRNA telah berjaya menyampaikan maklumat genetik untuk menghasilkan protein oleh sel dalam badan. Maka, vaksin mRNA bukanlah penemuan baru selepas COVID-19 ditemukan, malah ia telah dibangunkan lebih sedekad yang lalu. Vaksin mRNA ini menjadi pilihan kerana ia boleh disintesis dalam makmal dengan jumlah yang banyak dan sangat sesuai diaplikasikan semasa pandemik.

Pembangunan vaksin ini menjadi fokus utama seluruh dunia dengan sokongan dana, kepakaran dan teknologi yang telah mempercepatkan proses tersebut. Sungguhpun begitu, ketiga-tiga fasa percubaan klinikal telah dijalankan yang melibatkan puluhan ribu sukarelawan dari pelbagai negara dan telah menunjukan keberkesanan yang tinggi hampir 95%. Ini bermakna, walaupun proses agak singkat berbanding penghasilan vaksin biasa, tetapi ia menjalani proses percubaan klinikal yang ketat tanpa kompromi, mendapat kelulusan Food and Drug Administrative (FDA) Amerika dan untuk kemasukan ke Malaysia, ia telah dikaji lagi secara terpeinci oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Malaysia.

MITOS 3: Kesan sampingan vaksin (AstraZeneca) menyebabkan kejadian darah beku serta kematian 

 

Vaksin AstraZeneca telah disuntik ke atas beratus juta individu di seluruh negara dan berdasarkan data yang diambil, kejadian darah beku merupakan kes terpencil yang mekanisma kejadiannya masih belum dapat dibuktikan secara saintifik. Ia dikategorikan sebagai kesan sampingan teruk yang menjadi risiko kepada individu tertentu yang berkemungkinan ada kaitan dengan tindak balas alergi sel menyebabkan pengurangan bilangan sel pembekuan darah iaitu platelet.

Kajian yang dibuat di Australia mendapati risiko kejadian darah beku ini berlaku terhadap enam dalam sejuta orang. Ia boleh berlaku dalam tempoh 4-26 hari selepas suntikan yang didahului dengan gejala seperti sakit perut serta sakit kepala. Dalam kajian lain mendapati risiko adalah 1 dalam 100,000 hingga 250,000 individu yang divaksin.

Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini dikategorikan sebagai terpencil dan vaksin ini masih dikategorikan selamat kerana ia boleh memberi faedah jauh lebih besar daripada kemudharatan. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia berusaha meningkatkan tahap kesedaran berkenaan gejala-gejala yang memerlukan perhatian selepas suntikan vaksin yang mungkin boleh berlaku kepada golongan terpencil ini. Ini adalah penting agar mereka mendapat rawatan yang segera kerana terdapat rawatan untuk kes kejadian darah beku dan seterusnya mampu mengelakkan komplikasi kematian.

MITOS 4: Vaksin AstraZeneca mengandungi bahan daripada khinzir 

Mitos ini bermula apabila Majlis Ulamak Indonesia menyatakan penemuan berkenaan penggunaan tripsin yang berasal daripada pankreas khinzir dalam vaksin AstraZeneca COVID-19. Sebaliknya pihak AstraZeneca mengesahkan bahawa vaksin mereka tidak mengandungi bahan yang berasal daripada manusia atau binatang sama ada digunakan dalam media pertumbuhan atau makanan dalam proses pembangunan vaksin tersebut.

Tripsin merupakan reagen biasa yang selalu digunakan dalam kerja kultur sel dan penggunaan tripsin ini tidak memberi apa-apa kesan terhadap kandungan atau DNA sel yang diekstrak. Tripsin berfungsi menanggalkan titisan sel (cell line) iaitu sel T-Rex-293, sejenis sel yang melekat antara satu sama lain, bagi tujuan pemindahannya daripada piring petri yang kecil ke piring petri yang lebih besar. Dengan kata lain, tripsin hanyalah digunakan ketika proses pemindahan titisan sel sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan proses pengekstrakan DNA bagi penghasilan vaksin COVID-19. Oleh sebab itu juga, tripsin tidak dianggap sebahagian daripada bahan untuk membuat vaksin dan ianya tidak terdapat dalam senarai Bahan Ubat dan Produk Dadah.

 

MITOS 5: Suntikan vaksin menyebabkan tarikan medan magnetik pada kawasan suntikan

Bagi membolehkan sesuatu medan menjadi medan elektromagnet, ia mestilah mengandungi bahan-bahan logam seperti besi, nikel, kobalt, litium, aloi atau bahan-bahan mikroelektronik buatan yang lain. Namun vaksin telah disahkan tidak pernah mempunyai bahan-bahan tersebut. Bahan-bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan vaksin adalah terlalu sedikit yang kurang daripada 1 mililiter. Mempunyai kuasa magnetik yang begitu besar sudah terang-terangan sesuatu yang pelik dan mustahil. Sekalipun ia mempunyai bahan magnetik atau logam, keupayaan sebegitu sangat tidak masuk akal. Bahan-bahan kimia yang dikenal pasti terdapat dalam vaksin adalah seperti polyethylene glycol, 1,2-distearoyl-sn-glycero-3-phosphocholine, kolesterol, Sodium chloride, Monobasic potassium phosphate, Potassium chloride, Dibasic sodium phosphate dihydrate dan sukrosa.

 

MITOS 6: Vaksin boleh mengubah kandungan genetik dan DNA manusia

Vaksin samaada yang menggunakan teknologi mRNA atau viral vektor bertugas menyampaikan bahan genetik virus kepada badan agar sistem imun badan mengenali dan bersedia melindungi badan dari virus tersebut. Walau bagaimanapun, bahan genetik ini tidak akan memasuki sel nukleus, tempat di mana bahan DNA disimpan.

Ini bermakna bahan genetik yang terdapat dalam vaksin tidak boleh berinteraksi atau memberi apa-apa kesan kepada DNA badan kita. Tugas bahan genetik virus ini hanya untuk diperkenalkan kepada sistem imun badan agar badan menghasilkan bahan semulajadi bagi mencapai imuniti. Bahan genetik daripada virus ini akan dimusnahkan sebaik sahaja badan menghasilkan antibodi.

 

MITOS 7: Vaksin menyebabkan anda jatuh sakit dan positif COVID-19 

Bahan aktif dalam vaksin terdiri daripada virus yang dinyahaktifkan, dan ia bukannya virus hidup. Dengan kata lain, ia adalah virus yang telah mati yang tidak berupaya langsung memberi penyakit kepada badan. Namun begitu, individu yang disuntik menjadi sakit selepas suntikan kerana ia merupakan tindak balas imun badan dan dikenal pasti sebagai kesan sampingan vaksin.

Simptom akibat kesan sampingan seperti demam dan sakit seluruh badan adalah normal yang menunjukkan badan kita telah bertindak balas dengan antigen yang diperkenalkan dan badan telah memulakan proses membentuk imuniti. Badan akan mencapai imuniti sepenuhnya selepas dua minggu suntikan dos kedua. Dalam tempoh masa di mana imuniti badan belum tercapai sepenuhnya, seseorang itu masih berupaya dijangkiti virus COVID-19 kerana vaksin yang disuntik belum sempat menghasilkan perlindungan sepenuhnya.

MITOS 8. Vaksin COVID-19 sama sekali tidak efektif melawan varian baru

Sifat semulajadi virus adalah bermutasi sebagai satu cara untuk ia lebih mudah beradaptasi. Mutasi yang terjadi melibatkan perubahan pada protein spike di permukaan virus dan seterusnya memberi kesan terhadap cara penyebaran. Hasil mutasi menyebabkan terhasilnya beberapa varian. Lima varian utama adalah seperti dalam jadual di bawah.

Jadual 1: Varian virus COVID-19 (sumber CDC)

 Varian

 Negara pertama dikenalpasti

 Bulan/Tahun

B.1.1.7 (Alpha)

United Kingdom

Disember 2020

B.1.351 (Beta)

South Africa

Disember 2020

P.1 (Gamma)

Brazil

Januari 2020

B.1.427 and B.1.429 (Epsilon)

California

Febuari 2021

B.1.617.2 (Delta)

India

Disember 2020

Dalam siri kajian yang melibatkan varian B.1.1.7 (Alpha) yang telah pun merebak ke lebih 100 negara, didapati vaksin AstraZeneca, Moderna dan Pfizer adalah efektif untuk melawan mutasi yang ditemui pada varian baru tersebut. Telah dibuktikan juga bahawa vaksin COVID-19 seperti yang dihasilkan oleh Pfizer/BioNTech dan Moderna mampu memberi arahan kepada sistem imun tubuh untuk menghasilkan versi protein spike sendiri di mana ianya berlaku sejurus selepas imunisasi.

Para saintis telah pun melihat perkara ini dengan teliti sejak awal pandemik lagi. Jika perubahan terhadap vaksin perlu dilakukan, ianya boleh dilakukan dengan cepat bagi melawan varian baru dengan mudah, sebagaimana vaksin terhadap virus influenza yang biasa dibuat pada setiap tahun. Oleh yang demikian, penting bagi semua orang untuk mengambil vaksin seawal mungkin sejurus ia ditawarkan. Justeru, walaupun virus COVID-19 sentiasa bermutasi yang menjadikannya resistan terhadap respon keimunan manusia, namun para saintis yakin vaksin yang ada ini adalah efektif untuk melawan beberapa jenis varian baru. 

MITOS 9: Vaksin COVID-19 boleh memberi kesan terhadap kesuburan wanita

Mitos ini timbul apabila munculnya laporan palsu di media sosial yang mengatakan bahawa protein spike pada koronavirus ini sama dengan protein spike syncitin-1 yang terlibat dalam pertumbuhan dan pelekatan plasenta semasa proses kehamilan. Dengan itu, vaksin COVID-19 dikatakan akan mempengaruhi kesuburan wanita. Hakikatnya, kedua-dua protein spike itu adalah sangat berbeza dan vaksin COVID-19 tidak akan mempengaruhi kesuburan wanita yang ingin hamil, termasuklah melalui kaedah persenyawaan in vitro.

Dalam kajian ke atas vaksin Pfizer dan Moderna, pemberian vaksin ini tidak memberikan kesan negatif terhadap tahap kesuburan semua sukarelawan lelaki dan wanita yang terlibat dalam kajian tersebut. Seorang saintis, Alice Lu-Culligan, dari Sekolah Perubatan Yale, Amerika Syarikat juga telah menjalankan kajian untuk menganalisis antibodi dalam sampel darah wanita yang menerima vaksin COVID-19. Hasil daripada kajian tersebut, tiada apa-apa penemuan yang membuktikan bahawa vaksin COVID-19 mempengaruhi kesuburan wanita. Kesimpulannya, tiada bukti saintifik vaksin boleh mempengaruhi kesuburan lelaki atau wanita.

MITOS 10: Pemberian vaksin sebanyak dua dos hanya untuk menambah keuntungan syarikat pengeluar

Kajian telah mengesahkan tahap imuniti badan semakin lama semakin berkurang maka dos tambahan diperlukan untuk memastikan perlindungan berterusan. Dalam konteks vaksin untuk COVID-19, kebanyakan vaksin memerlukan dos kedua. Dos pertama dianggap sebagai dos latihan kepada sistem imun badan bagi mengingati antigen yang diperkenalkan semasa suntikan vaksin dan menghasilkan antibodi dalam masa 14 hari. Perlindungan didapati lebih kurang sebanyak 60% selepas mendapat dos pertama. Manakala dos kedua pula juga dikenali sebagai dos booster untuk meningkatkan kekuatan tindak balas imun bagi menghasilkan lebih banyak antibodi. Perlindungan individu terhadap jangkitan akan meningkat sehingga lebih daripada 90%. Saranan untuk mendapatkan dos kedua ini adalah berdasarkan kajian saintifik yang telah dibuat bagi memastikan setiap individu mendapat perlindungan berterusan yang maksimum.

Konsep yang sama juga diguna pakai dalam konteks individu yang telah mendapat jangkitan COVID-19. Walaupun didapati telah terdapat imuniti semulajadi selepas jangkitan, namun tetap disarankan untuk mendapatkan vaksinasi kerana imuniti semulajadi tersebut semakin berkurang selepas tempoh tertentu. Pengambilan vaksin telah berjaya meningkatkan jumlah antibodi dalam badan, sekaligus meningkatkan imuniti. Justeru, pemberian dos kedua adalah satu keperluan untuk meningkatkan imuniti tubuh dan tiada kaitan dengan mencari keuntungan perniagaan.

Rajah 3: Keperluan vaksin walaupun individu telah dijangkiti COVID-19 kerana imuniti akan merosot dari semasa ke semasa. Rajah menunjukkan peningkatan antibodi dalam badan selepas suntikan vaksin.

 

PENUTUP

Memandangkan vaksin adalah kaedah yang telah terbukti berkesan bagi mengawal pandemik, maka seluruh masyarakat dan ahli komuniti perlu berperanan untuk memastikan sasaran imunisasi kelompok tercapai. Segala mitos yang disebarkan bertujuan menakutkan orang ramai perlu diperjelas dengan fakta. Sekiranya semua pihak berganding bahu memberi kefahaman dan kesedaran, pasti hasrat negara untuk kembali kepada kehidupan norma biasa akan menjadi kenyataan.

 

Rujukan

British Society of Immunology (2020), https://www.immunology.org/news/whats-in-vaccine. Capaian 27/6/2021

Centers for Disease Control and Prevention, CDC Real-World Study Confirms Protective Benefits of mRNA COVID-19 Vaccines, https://www.cdc.gov/media/releases/2021/p0329-COVID-19-Vaccines.html (Capaian 26/6/2021)

Centers for Disease Control and Preventions. About Variants of the Virus that Causes COVID-19​​,  (updated June 24, 2021)

Coronavirus disease (COVID-19): Vaccine safety (who.int), 19 February 2021 (https://www.who.int/news-room/q-a-detail/coronavirus-disease-(covid-19)-vaccines-safety) Capaian 15/6/2021

Heidi Ledford, How ‘killer’ T cells could boost COVID immunity in face of new variants. Nature news, 12 Feb 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (2020) Covid-19.moh.gov.my/semasa-kkm/2021/01/vaksin-covid19-menurut-perspektif-islam, capaian 26/6/2021 (capaian 27.6.2021)

Kementerian Kesihatan Malaysia (2015). Soalan Lazim mengenai vaksin dan Imunisasi

Mitkus et al. 2011 Updated aluminum pharmacokinetics following infant exposures through diet and vaccination. Vaccine 28 9538–43 ​ 

New York Times, 20 April 2021 (https://www.nytimes.com/2021/04/20/opinion/coronavirus-vaccines-menstruation-periods.html). Capaian 20/6/2021

Thanh Le, T.,  Andreadakis Z., Kumar A., Roman RG., Tollefsen S., Saville M., Mayhew S (2020). The COVID-19 vaccine development Landscape. Nature Reviews Drug Discovery. https://www.nature.com/articles/d41573-020-00073-5

The Scientist Magazine®, 27 April, 2021. No Proof COVID-19 Vaccine Affects Menstruation or Fertility.

The Sun Daily. AstraZeneca Covid-19 vaccine contains no animal driven product,  26 March 2021 (https://www.thesundaily.my/local/astrazeneca-covid-19-vaccine-contains-no-animal-driven-product-dr-adham-BE7464289). Capaian 10/6/2021

University of Oxford, Vaccine Knowledge Project Vaccine ingredients (updated Aug. 2019)

Verbeke R, Lentacker I, De Smedt SC, Dewitte H (October 2019). "Three decades of messenger RNA vaccine development"Nano Today28: 100766. doi:10.1016/j.nantod.2019.100766.

World Health Organisation Squalene-based adjuvants in vaccines (updated Dec. 2008)

 

 

Cetak