Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Peralatan Pelindungan Diri (PPE) Semasa Wabak COVID-19

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 14950
Pengarang:
Siti Suraiya Md Noor1,2 dan Ruzilawati Abu Bakar3
1Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150  Kubang Kerian, Kelantan.
2Unit Kawalan Jangkitan Dan Epidemiologi Hospital, Hospital Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan.
3Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan.
Pengarang Koresponden:
Prof Madya Dr Siti Suraiya Md Noor
Pensyarah Perubatan, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
dan
Ketua Penyelaras, Unit Kawalan Jangkitan Dan Epidemiologi Hospital,
Hospital Universiti Sains Malaysa,
16150, Kubang Kerian, Kelantan.

Pengenalan

Jangkitan COVID-19 terjadi apabila seseorang djangkiti oleh sejenis virus yang baharu dikenal pasti iaitu virus severe acute respiratory syndrome coronavirus 2 (SARS-CoV-2). Virus ini berbentuk bulat dengan diameter dianggarkan 125 nanometer dan sudah semestinya tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Ia boleh merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui titisan cecair (“droplets”) badan mangsa yang dijangkiti. Virus tersebut akan menjangkiti mangsa baru apabila mangsa menyentuh anggota badan yang terdedah seperti mata, hidung dan mulut dengan tangan yang tercemar. Jangkitan secara tidak langsung juga boleh berlaku sekiranya seseorang menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus SARS-CoV-2.

Peralatan pelindungan diri untuk orang awam

Memandangkan SARS-CoV-2 adalah varian virus baharu, maka masih terdapat banyak kajian ilmiah yang masih berlangsung dan masih terdapat banyak fakta yang belum diketahui secara tepat.

Sehingga kini terdapat percanggahan pendapat sama ada orang awam wajar memakai topeng muka semasa keluar dari rumah, contohnya untuk membeli belah atau urusan penting yang lain.

Pihak World Health Organization (WHO) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengeluarkan garis panduan berkaitan keperluan asas bagi menghalang jangkitan virus tersebut untuk orang awam iaitu penjagaan kebersihan diri terutama cucian tangan, penjarakan sosial dan etika batuk atau bersin yang betul semasa seseorang itu terbatuk atau terbersin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menasihatkan orang awam untuk memakai topeng muka sekiranya terlibat dalam penjagaan pesakit disyakki COVID-19 ataupun sekiranya seseorang itu mengalami gejala seperti batuk atau selesema. Pihak WHO juga menegaskan bahawa pemakaian topeng muka berkesan sekiranya disertai dengan penjagaan cucian tangan yang betul sepanjang masa. Cara pemakaian dan cara pelupusan yang betul juga perlu untuk memastikan ia berkesan.

Peralatan pelindungan diri untuk pekerja kesihatan

Bagi petugas kesihatan, peralatan pelindungan diri (PPE) merupakan peralatan yang sangat penting untuk memastikan tiada jangkitan berlaku semasa rawatan diberikan kepada pesakit. PPE untuk kakitangan kesihatan adalah lebih rumit daripada yang diguna pakai oleh orang awam dan ia bergantung kepada tahap pendedahan pada pesakit COVID-19 tersebut.

rajah1

Rajah 1: Peralatan pelindungan diri untuk petugas kesihatan

Peralatan pelindungan diri yang lengkap untuk petugas kesihatan semasa merawat pesakit yang telah disahkan mendapat jangkitan COVID-19 adalah merangkumi penutup kepala (“hood”), topeng muka N95, perisai muka (“face shield”), gaun isolasi, apron plastik, 2 lapisan sarung tangan dan juga penutup kasut (Rajah 1). Set peralatan perlindungan diri ini dapat memberi perlindungan dengan membantu mencegah mikroorganisma termasuk virus daripada mencemarkan tangan, mata, rambut, pakaian dan kasut supaya tidak tersebar kepada kakitangan lain dan juga pesakit. Para petugas yang menggunakan peralatan perlindungan diri ini perlu mengikut tatacara dan teknik pemakaian (“donning”) dan membuka pakaian (“doffing”) yang betul.

Penyediaan peralatan pelindungan diri untuk kakitangan Hospital USM

Bagi memenuhi keperluan para petugas kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital USM (UKJEH) telah menubuhkan satu pasukan untuk menjahit sendiri PPE. Hal ini kerana keperluan penggunaan PPE yang tinggi  oleh para petugas  kesihatan di Hospital USM terutama di wad pernafasan akut yang teruk atau “severe acute respiratory  infections” (SARI), Jabatan Trauma dan Kecemasan serta klinik-klinik lain yang terlibat dengan saringan COVID-19. Tambahan pula harga pasaran untuk PPE terlalu tinggi sepanjang musim COVID-19 ini.  PPE yang dijahit terdiri daripada penutup kepala, gaun isolasi dan penutup kasut.

Para sukarelawan yang terdiri daripada para doktor, jururawat, pensyarah dan staf sokongan USM sama-sama berganding bahu dengan pasukan UKJEH dalam menyiapkan peralatan pelindungan diri dalam mencapai sasaran sekurang-kurangnya 100 unit sehari (Rajah 2). Selain itu, penutup muka juga telah disediakan oleh pasukan UKJEH dan para pelajar perubatan USM serta daripada sumbangan para penderma.. 

Senarai rujukan

  1. Ministry of Health Malaysia. COVID-19 Management Guidelines [internet]. Malaysia: MOH; 2020. Avaliable from: http://www.moh. gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhanguidelines. accessed 9 Mar 2020.
  2. World Health Organization (WHO). Rational use of personal protective equipment for coronavirus disease (COVID-19): Interim Guidance [internet]. Geneva: WHO; 2020. Available from https:// apps.who.int/iris/bitstream/handle/10665/331215/ WHO-2019-nCov-IPCPPE_use-2020.1-eng.pdf. accessed 9 Mar 2020.

collage

Rajah 2: Para sukarelawan sedang menyediakan peralatan perlingan diri bagi petugas kesihatan Hospital USM

 

Cetak