Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Covid-19 Dan Risiko Strok

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 4716
Pengarang:

Sabarisah Hashim1*, Rohimah Mohamud2 dan Tengku Ahmad Damitri Al-Astani Tengku Din.3

1Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan,, Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
2Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
3Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia
Pengarang Koresponden:

Dr. Sabarisah Hashim

Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

Email: risha@usm.my

Pendahuluan

Wabak penyakit COVID-19 yang mula merebak di bandar Wuhan, China pada Disember, 2019, merupakan Sindrom Pernafasan Akut yang teruk Coronavirus-2 (SARS-CoV-2). Penyakit ini mula mendapat perhatian seluruh dunia setelah mencatatkan jumlah kematian yang tinggi. Perkara yang dibimbangkan penyakit ini dilaporkan ada kaitan dengan insiden strok dalam kalangan pesakit COVID-19.

Cara rebakan COVID-19

Coronavirus SARS-CoV-2 merebak daripada individu ke individu lain melalui titisan pernafasan yang sarat dengan virus yang disebarkan ketika individu yang dijangkiti virus ini bercakap, batuk, menghembus nafas atau bersin. Titisan ini dapat dihirup oleh orang-orang di sekitarnya, atau titisan ini jatuh di atas objek dan permukaan, yang kemudian disentuh oleh individu lain. Individu yang menyentuh titisan itu kemudian menyentuh hidung, mata atau mulutnya dan akhirnya individu itu akan dijangkiti dengan coronavirus SARS-CoV-2 ini.

COVID-19 dan Gejala Neurologi dan Strok

Gejala utama COVID-19 ialah demam, keletihan, batuk kering dan pernafasan cepat dan cetek. Gejala lain adalah seperti menggigil, sakit tekak, loya, muntah dan cirit-birit. Gejala-gejala ini biasanya ringan, dan sebilangan orang yang dijangkiti tidak simptomatik dan boleh sembuh. Walau bagaimanapun daripada data yang dikumpul

tentang ciri-ciri COVID-19 ini, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa komplikasi COVID-19 tidak terhad kepada gangguan sistem pernafasan sahaja tetapi terdapat manifestasi gangguan neurologi yang dibuktikan daripada pengimejan otak menggunakan MRI dan CT scan.

Pada masa ini, data klinikal melaporkan beberapa pesakit dengan jangkitan COVID-19 menunjukan tanda-tanda dan gejala seperti jangkitan dalam otak iaitu sakit kepala, sawan, gangguan paras kesedaran diri, kehilangan deria bau dan rasa (anosmia atau dysgeusia) secara tiba-tiba, kekejangan, ensefalopati, kelumpuhan dan strok. Laporan kajian awal tentang penyakit COVID-19 melaporkan ramai pesakit COVID-19 didiagnoskan mendapat inflmmasi otak, strok, dan ada yang mendapat perdarahan dalam otak (ICH) yang teruk tanpa ada sejarah penyakit hipertensi. Perkara yang dibimbangkan, pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala neurologi tidak dijalankan pemeriksaan rapi untuk sistem neurologi yang mana boleh meningkatkan risiko strok. Kajian kes terhadap 214 pesakit dengan COVID-19 di Wuhan, China dilaporkan 36% pesakit menunjukkan tanda dan gejala penyakit strok akut dan 6% daripada itu dalam ketegori strok yang sangat teruk .

Mekanisme strok sebagai akibat virus COVID-19

Walaupun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sekitar 80% orang yang dijangkiti mudah sembuh daripada COVID-19 tanpa memerlukan rawatan khusus, tetapi sekitar 1 daripada 6 kes jangkitan COVID-19 mengalami radang paru-paru yang teruk, yang menyebabkan sindrom gangguan pernafasan akut, gangguan

fungsi jantung, strok dan kematian. Perkara ini berlaku kerana virus COVID-19 yang banyak ini menyebabkan sindrom ribut sitokin (cytokine storm syndromes) iaitu tindak balas keradangan yang kuat menentang coronavirus SARS-CoV-2 yang cuba masuk ke dalam pengaliran darah yang cuba mengancam sistem neurologi (saraf). Perkara ini menyebabkan penyakit cerebrobasilar akut contohnya strok iskemia atau perdarahan dalam otak. Pesakit COVID-19 yang mengalami radang paru-paru yang teruk ini juga menunjukkan tanda-tanda peningkatan tahap pengurangan D-dimer dan platelet yang kritikal menyebabkan pesakit berisiko untuk mendapat serangan strok akut.

Penemuan baru hasil kajian menggariskan tiga klasifikasi tahap kesan COVID-19 pada sistem saraf pusat

i) Pada tahap permulaan, coronavirus SARS-CoV-2 merosakkan sel-sel epitelium hidung dan mulut. Tahap ini ada pengikatan antara COVID-19 dengan reseptor angiotensin convering enzyme-2 (ACE 2) pada sel-sel epitelial hidung dan mulut, tisu-tisu lembut dan arteri dalam paru-paru. Pada peringkat ini pesakit mengalami gangguan bau (anosmia) dan rasa, biasanya boleh sembuh tanpa rawatan khusus. Jika virus ini terus berada dalam sel-sel epithelial, ia akan menyebarkan RNA coronavirus SARS-CoV-2 ke dalam sitoplasma dan berkembang menjadi banyak dan membentuk protein sampul COVID-19 dengan RNA virusnya dan memasuki sistem pengaliran darah. Di Pada tahap ini COVID-19 boleh memasuki ke dalam otak melalui epitelial olfaktori atau tulang cribriform dalam kaviti hidung dan sampai ke dalam otak melalui perpindahan cara “retrograde transfer” dalam tujuh hari selepas mengalami infeksi pada salur pernafasan.

ii) Pada tahap kedua setelah ACE 2 terikat dengan virus COVID-19, ia akan berkembang dengan banyak. Reseptor ACE 2 juga ada dalam sel glial dalam otak dan neuron pada spinal yang juga akan membiak dan merosakkan tisu-tisu neuron dalam otak. Tindak balas imun yang kuat yang diaktifkan oleh virus COVID-19 ini menyebabkan keradangan pada saluran darah, peningkatan faktor hiperkoagulabiliti, yang membuat pembentukan gumpulan darah pada arteri dan vena dalam serebrum. Keadaan ini boleh menyebabkan strok kecil atau besar. Strok juga boleh terjadi sebagai akibat pembekuan darah yang terbentuk pada paru-paru yang dapat bergerak ke dalam otak. Pada peringkat ini pesakit menunjukkan tanda dan gejala keletihan, hemiplegia, kehilangan deria, gangguan penglihatan, tetraplegia, afasia atau ataksia.

iii) Tahap ketiga, ribut sitokin dalam salur darah menjadi teruk dan menyebabkan tindak balas keradangan dan melintasi penghalang darah otak. Ribut sitokin ini membawa sitokin, zarah coronavirus SARS-CoV-2, komponen darah ke dalam parenkima otak dan menyerang dan menyebabkan kematian sel neuron dan ensefalitis berlaku. Ribut sitokin boleh diperhatikan dengan melihat peningkatan paras inflamasi dalam darah. Pada peringkat ini pesakit menunjukkan ciri-ciri kekejangan atau sawan, kekeliruan, kecelaruan, hilang paras kesedaran, koma atau kematian.

Langkah-langkah pencegahan

Jadi perlu ditekankan di sini bahawa pesakit yang disahkan mendapat jangkitan COVID-19, berisiko menghidap penyakit strok akut. Selain langkah-langkah pencegahan penularan penyakit COVID-19 dengan penekanan amalan pencucian tangan, pemakaian pelitup muka dan pejarakan sosial, hasil laporan kes kajian mengesyorkan pesakit yang dirawat di hospital dengan COVID-19 dan ada ciri gangguan neurologi atau strok disarankan supaya dilakukan pemeriksaan rapi pada sistem neurological. Langkah-langkah pemeriksaan dan penyiasatan pengimejan mengunakan CT scan dan MRI secara rutin bagi sistem neurologi perlu diberi keutamaan mengikut tahap perubahan status neurologi pesakit COVID-19. Perkara ini adalah untuk mengesahkan penglibatan jangkitan virus COVID-19 dalam otak dan tindakan cepat dapat diambil bagi mencegah komplikasi. Selain itu, pesakit COVID-19 perlu diperhatikan tahap tindak balas imun badan. Hal ini demikian kerana tindak balas imun badan memainkan peranan penting dalam patofisiologi dan kejadian strok terutama dalam kalangan pesakit COVID-19. Tanda-tanda inflammasi dalam serebrum adalah risiko yang tinggi terhadap kejadian strok. Kajian membutikan bahawa inflamasi sistemik dan inflamasi biomarker ada kaitan dengan risiko strok jenis iskemia. Jadi analisis marker koagulan darah (termasuk juga darah antibodi antipospolipid) dan biomarker termasuklah CRP, pro-inflamasi sitokin (i.e, IL-1, IL-6 dan TNF-α ) dan protein dalam pengaliran darah seperti C3,C4, C5b, C6,C8 dan Bb sepatutlah diperiksa secara rutin untuk pesakit dengan COVID-19 bagi mencegah risiko strok dan rawatan segera dapat dilakukan jika ada petunjuk positif hasil penyiasatan ini.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, penyakit COVID-19 merupakan masalah kesihatan seluruh dunia. Ramai pesakit menunjukkan perubahan status kesihatan amnya dan tanda dan gejala gangguan sistem neurologi dan seterusnya menyebabkan kejadian strok. Jadi pendekatan pencegahan strok amatlah perlu dengan meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan untuk pesakit COVID-19 dan amalan pencegahan awal. Langkah-langkah pencegahan awal contohnya amalan pencucian tangan, pemakaian pelitup muka dan pejarakan sosial berjaya mengurangkan penularan infeksi yang boleh mengurangkan insiden strok. Walau bagaimanapun laporan dari Wuhan, China dan New York menunjukkan peratusan insiden strok dalam kalangan pesakit dengan COVID-19 semakin meningkat dan dilaporkan semakin tinggi dalam kalangan orang dewasa yang muda. Langkah-langkah pemeriksaan dan penyiasatan menggunakan CT scan dan MRI secara rutin adalah disarankan mengikut tahap perubahan status neurologi pesakit strok bagi mengesan penglibatan jangkitan dalam otak. Walau bagaimanapun dalam pemerhatian seluruh dunia sejak penularan penyakit COVID-19, masih belum diputuskan bukti peningkatan insiden strok dalam kalangan pesakit COVID-19.

Berdasarkan analisis sejak rebakan penyakit COVID-19 ini terdapat beberapa bukti bahawa ada perkaitan antara COVID-19 dan strok, walau bagaimanapun sebab-sebabnya belum dapat dipastikan. Jadi kita belum boleh dibuat apa-apa polisi baru dalam pengurusan penjagaan pesakit strok di Unit Neurologi yang implementasi rawatan berkaitan penggunaan antipletelet atau antitrombotik dan statin terapi seharusnya terus dipraktikkan seperti biasa jika pasakit COVID-19 dengan diagnosis strok dirujuk.

Rujukan:

  1. Divani, A. A., et al. "Coronavirus Disease 2019 and Stroke: Clinical Manifestations and Pathophysiological Insights." Journal of Stroke and Cerebrovascular Diseases 2020; 29(8): 104941-104941.
  2. Avula, A., et al. "COVID-19 presenting as stroke." Brain, behaviour, and immunity 2020; S0889-1591(0820)30685-30681.
  3. WHO. Coronavirus (COVID-19); 2020. Available from: https://covid19.who.int/.
  4. WHO. Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV); 2020. Available from: https://www.who.int/emergencies/ mers-cov/en/.
  5. Goldberg, M. F., et al. "Cerebrovascular Disease in COVID-19." American
  6. Journal of Neuroradiology. 2020. Available from: https;//doi.org/0.3174/ajnr.A6588
  7. Rodríguez-Rey, R., et al. "Psychological Impact and Associated Factors During the Initial Stage of the Coronavirus (COVID-19) Pandemic Among the General Population in Spain." Frontiers in Psychology 2020; 11(1540).
  8. Chen, N. Epidemiological and clinical characteristics of 99 cases of 2019 novel coronavirus pneumonia in Wuhan, China: A descriptive study. Lancet 2020; 395, 507–513.
  9. Huang, C. Clinical features of patients infected with 2019 novel coronavirus in Wuhan, China. Lancet 2020; 395, 497–506.
  10. Rothe, C.Transmission of 2019-nCoV Infection from an Asymptomatic Contact in Germany. N. Engl. J. Med 2020.
  11. Ryu, S.; Chun, B.C. Korean Society of Epidemiology-nCo, an interim review of the epidemiological characteristics of 2019 novel coronavirus. Epidemiol. Health 2020; 42, e2020006.
  12. Bermejo-Martin, J. F., et al. "Lymphopenic community acquired pneumonia as signature of severe COVID-19 infection." The Journal of infection 2020; 80(5): e23-e24.
  13. Holshue, M.L. First Case of 2019 Novel Coronavirus in the United States. N. Engl. J.Med 2020.
  14. Wu, Y., et al. "Nervous system involvement after infection with COVID-19 and other coronaviruses." Brain, behavior, and immunity 2020; 87: 18-22.
  15. Giacomelli, A., et al. "Self-reported Olfactory and Taste Disorders in Patients With Severe Acute Respiratory Coronavirus 2 Infection: A Cross-sectional Study." Clinical Infectious Diseases 2020; 71(15): 889-890.
  16. Ryan W.M. There's a new symptom of coronavirus, doctors say: Sudden loss of smell or taste. Available from: https://www.usatoday.com/story/news/health/2020/ 03/24/coronavirus-symptoms-loss-smell-taste/2897385001/.
  17. Mehta P, McAuley D.F., Brown M., Sanchez E., Tattersall R.S., Manson J.J., COVID-19: consider cytokine storm syndromes and immunosuppression Lancet 2020; S0140-6736(20)30628-0. Available from: [publishedonlineahead of print, 2020 Mar 16].
  18. Ahmad, I. and F. A. Rathore. "Neurological manifestations and complications of COVID-19: A literature review."Journal of clinical neuroscience: official journal of the Neurosurgical Society of Australasia 2020; 77: 8-12.
  19. Koyuncu, Orkide O., et al. "Virus Infections in the Nervous System." Cell Host & Microbe 2013; 13(4): 379-393.
  20. Yasgur B.S. Three Stages to COVID-19 Brain Damage, New Review Suggests. Medscape Medical News © 2020. Available from: https://www.medscape.com/viewarticle/933131?src=wnl_tp10n_200807_mscpedit&u ac=326185AK&impID=2494177&faf=1#vp
Cetak