Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Kesan Jangka Panjang COVID-19 ke atas Kanak-kanak

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 407
Pengarang:

Fahisham Taib1, Wan Nor Maniza Wan Hasan2

1) Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
2) Sekolah Menengah Sultan Ismail, Jalan Telipot, 15150 Kota Bharu, Kelantan

Pengarang Koresponden:

Dr. Fahisham Taib

Pensyarah,
Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
fahisham@usm.my

Pengenalan

Jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah dalam kategori ringan seperti batuk, selsema, sakit tubuh badan dan demam, sama seperti virus respiratori yang lain. Data terkini di Malaysia menunjukkan 20.5% daripada kes COVID-19 adalah di kalangan kanak-kanak yang berumur kurang dari 18 tahun (1). Namun begitu, kanak-kanak merupakan kumpulan yang kecil (0.52%) daripada jumlah kematian di Malaysia (2). Kanak-kanak lebih terdedah kepada kesan tidak langsung wabak ini yang menyebabkan pelbagai kesan jangka panjang dari sudut sosial, perubatan, mental dan kehidupan.

Kesan kesihatan

Kesan jangka panjang dari sudut perubatan merupakan keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala-gejala walaupun selepas jangkitan COVID-19. Ini biasanya berlaku selepas jangkitan COVID-19 sama ada dalam tempoh 4 minggu sehingga 12 minggu atau berterusan melepasi 12 minggu di mana ianya tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain (Post COVID-19 Syndrome atau long COVID). Gejala paling kerap dilaporkan adalah kelesuan (71.8%), kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti (61.9%), batuk (13.6%), kesakitan (13.2%), dan kesukaran tidur nyenyak (11%) (2). Lebih daripada separuh kanak kanak berumur 6 hingga 16 tahun akan mempunyai sekurang-kurangnya lebih daripada satu gejala yang berakhir selama 120 hari, dan 43% mengalami gangguan aktiviti akibat dari gejala tersebut (4). Kanak-kanak akan lebih terdedah kepada kesan ini akibat vaksin tidak diutamakan kepada golongan ini semasa pandemik, menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan COVID-19 walaupun tanpa gejala. Kanak-kanak boleh mengalami masalah Multisystem Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C), di mana mereka akan mengalami gejala seperti penyakit Kawasaki dan kehilangan fungsi organ di dalam badan (5). ‘Long COVID’ di takrifkan sebagai gejala yang berpanjangan selepas COVID-19, banyak berlaku kepada orang dewasa yang menyebabkan masalah pada sistem sensori, saraf, kardiorespiratori dan mental. Ia dikaitkan dengan gejala yang tidak spesifik seperti keletihan, insomnia, kesukaran untuk mentelaah, kehilangan selera makan dan kesakitan pada otot atau sendi.

Kesan psikososial

Pandemik ini dijangka memberi kesan kepada psikososial, tingkah laku, sosioekonomi dan kesihatan kanak-kanak, lebih-lebih lagi kepada kumpulan kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada sistem kesihatan. Ketaksamaan dari aspek ekonomi dan kesihatan ini juga membantutkan akses kepada pembelajaran semasa. Penutupan sekolah menyebabkan kanak-kanak terpaksa melalui fasa ‘lockdown’ yang menyukarkan pengajian mereka. Ibubapa mungkin akan kehilangan pekerjaan, sekaligus tidak dapat menyediakan persekitaran terbaik untuk pembelajaran yang berkesan. Ini ditambah lagi dengan keadaan pandemik yang semakin teruk yang menyukarkan untuk mengetahui keperluan jangka masa pendek atau panjang. Selain itu, kanak-kanak juga tidak dapat lari daripada masalah obesiti dan masalah berat badan (6). Ini adalah akibat implementasi penjarakan sosial yang memaksa ketiadaan aktiviti luar rumah.

Semasa di rumah, kanak-kanak juga akan lebih terdedah kepada masalah yang boleh berlaku di rumah seperti kemalangan di rumah. Mereka tidak aktif dan kurang terdedah pada aktiviti lasak menyebabkan mereka kurang mendapat ransangan pembelajaran serta kurang terdedah kepada cahaya matahari. Faktor ini boleh mengakibatkan masalah kerapuhan tulang (ricket) dan kegatalan (atopic) kerana terlalu lama berada di dalam rumah.

Kanak-kanak yang tidak bernasib baik juga akan lebih terdedah kepada keganasan rumah tangga. Ini mungkin akibat tekanan hidup, kekurangan pendapatan seisi rumah dan kenaikan kos hidup setelah penamatan perkerjaan ibubapa. Stres dan masalah keadaan rumah yang kurang selesa boleh menyebabkan konflik dalam kehidupan harian (7). Talian Kasih telah merekodkan kenaikan panggilan akibat penderaan dan konflik keluarga di dalam komuniti mencapai lebih dari 3000 panggilan sehari (7). Ini lebih ketara pada masyarakat orang asli, B40 dan pelarian.

Walaupun makanan dan pendapatan menjadi salah satu agenda survival yang dihadapi oleh keluarga di Malaysia namun impak kepada kestabilan mental tidak dapat dinafikan. Masalah mental di kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan tekanan, depressi dan keresahan diri. Ini mungkin akibat ketidaktentuan pandemik, kematian ahli keluarga dan ketakutan jangkitan kepada kaum keluarga. Jika satu ahli keluarga mempunyai jangkitan COVID-19, seluruh ahli keluarga akan mempunyai ‘stigma’ oleh penduduk setempat. Bayi boleh mengalami masalah kesukaran untuk mengambil makanan atau susu jika dijangkiti COVID-19. Perubahan ini boleh menyebabkan kanak-kanak memanifestasi perubahan tingkah laku seperti cepat marah, kegelisahan dan kekecewaan emosi.

Semasa pandemik, kanak-kanak tidak dapat mengikuti jadual persekolahan atau beraktiviti secara normal. Penjarakan sosial telah menyebabkan mereka terpaksa akur dengan norma baharu yang ditetapkan oleh kerajaan. Remaja pula tidak dapat mengikuti aktiviti sosial seperti aktiviti sukan, gaming dan pembelajaran bersama. Kebanyakan mereka akan menghabiskan masa berdepan dengan kaca televisyen, komputer atau telefon pintar menyebabkan terbantutnya aspek bersosial dengan kanak-kanak seumur dengan mereka.

Kesan pembelajaran

Perubahan pembelajaran kepada kanak-kanak dan remaja menjadi suatu cabaran baharu. Guru-guru terpaksa mempelajari ilmu baru berkaitan cara mengadakan pertemuan di alam maya, pembelajaran secara online dan komunikasi melalui media sosial. Guru perlu menjadi kreatif dan inovatif dalam menjalankan aktiviti di platform e-learning, penggunaan video, serta penilaian kefahaman atas talian. Ibubapa terpaksa menyediakan kemudahan akses seperti komputer, telefon pintar dan juga keperluan berkelajuan internet tinggi untuk memastikan pembelajaran berterusan untuk anak-anak mereka. Begitu juga, mereka kanak-kanak perlu mempunyai kebolehan dan kemahiran untuk menggunakan alatan tersebut untuk kebaikan diri.

Selain daripada itu, kanak kanak mungkin akan mengalami masalah pembelajaran seperti teknik membaca dengan betul walaupun kerajaan memperhebatkan proses membantu dengan pembelajaran atas talian. Ini juga berkait rapat dengan akses kepada internet, kebolehan ibubapa memantau aktiviti anak-anak mereka serta memastikan pembelajaran berlaku secara berterusan (7)

Kesan kualiti kehidupan

Kualiti kehidupan semasa pandemik meliputi kualiti pemakanan, persekitaran rumah, kesejahteraan keseluruhan, mood harian, dan sikap mereka terhadap pandemik. Walaupun kesan daripada penjarakan sosial seperti tinggal di rumah boleh memanfaatkan dan menyelamatkan nyawa kanak kanak, tetapi ada pelbagai impak yang tidak dapat dilihat yang perlu di ketengahkan. Kematian di Malaysia pada masa kini adalah lebih daripada 12000 orang dewasa. Jika seorang dewasa di Malaysia mempunyai seorang anak, kita sekarang sudah mempunyai lebih daripada 12000 anak yatim. Dalam laporan terkini suratkhabar, 4600 anak yatim telah dikenalpasti di Malaysia (8). Dalam satu kajian, dijangkakan 1.13 juta kanak-kanak telah kehilangan seorang penjaga atau kedua duanya sekali di seluruh dunia (9). Kehilangan sama ada ibu atau bapa boleh memberi kesan pada kehidupan kanak-kanak tersebut kerana mereka kehilangan tunjuk ajar dan kasih sayang daripada salah seorang penjaga mereka.

Kanak-kanak daripada kalangan masyarakat minoriti biasanya juga akan mengalami masalah diskriminasi dari pelbagai aspek. Jika mereka dimasukkan ke hospital, adalah penting kanak-kanak dari golongan ini diberikan hak yang sesuai seperti yang termaktub di dalam ‘Child rights Convention’ – bahawa mereka perlu diberi kesamaan dalam perawatan COVID-19. Kanak-kanak diajar dengan pelbagai amalan baik seperti menyantuni orang dewasa, berbuat baik, empati dan sebagainya. Semasa pandemik, menjadi kesukaran untuk seseorang melakukan perkara sebegini seperti menolong seseorang, akibat takut dijangkiti wabak COVID-19.

Kanak-kanak dinasihati supaya berhati-hati dan lebih mementingkan keselamatan diri semasa pandemik ini. Konsep dan adat mungkin bertukar kepada norma baharu seperti bersalam dengan meletakkan tangan di dada, dan mungkin tidak terlibat dalam aktiviti kumpulan atau tidak dapat membantu kanak-kanak lain akibat sebab-sebab di atas. Ini menjadi satu cabaran moral pada kita dan kebarangkalian bahawa amalan serta budaya yang kita telah biasakan akan di tukarkan kepada norma baharu.

Kesimpulan

Secara amnya, kesan COVID-19 bukan termaktub pada masalah kesihatan sahaja, malah ia mencakupi permasalahan sosial, kewangan, kualiti kehidupan, pembelajaran dan sebagainya. Pelbagai langkah pencegahan seperti vaksinasi untuk menyelamatkan nyawa serta kehidupan kanak-kanak di Malaysia telah dimulakan. Walaupun begitu kesan pandemik yang berlaku untuk julung kalinya dialami dunia moden ini, akan memberi kesan jangka masa panjang kepada kanak kanak dalam pelbagai aspek kehidupan mereka dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengenal pasti masalah dan mencari jalan keluarnya.

Rujukan

Cetak