Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Diabetis dan COVID-19: Apa Yang Perlu Anda Tahu

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 6227
Pengarang:
Azidah Abdul Kadir
Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
Pengarang Koresponden:
Profesor Dr. Azidah Abdul Kadir
Pakar Perubatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan 16150 Kubang Kerian, Kelantan

Pengenalan

COVID-19 adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh coronavirus. Virus ini dinamakan SARS-CoV-2 kerana telah menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan yang menyerupai penyakit sindrom pernafasan akut yang teruk iaitu SARS-CoV. Penyakit ini telah merebak dengan cepat ke seluruh dunia. Jangkitan penyakit ini berlaku melalui titisan hidung atau mulut. Titisan ini juga melekat pada permukaan objek sekeliling orang yang dijangkiti virus ini. Apabila seseorang yang dijangkiti bersin ia boleh menjangkiti orang yang berdekatan dengannya. Ia juga tersebar apabila seseorang itu menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Penyakit ini mempunyai gejala yang banyak seperti batuk, demam, sakit badan, masalah susah bernafas, cirit birit sehinggalah menyebabkan kegagalan buah pinggang atau pernafasan akut. Dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan kematian. Kebanyakan orang yang dijangkiti hanya mempunyai gejala yang ringan atau tiada gejala langsung.

Adakah pesakit diabetis lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Coronavirus

Tiada bukti saintifik kukuh yang menunjukkan bahawa pesakit diabetis lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 berbanding orang awam buat masa ini. Tetapi, data yang diperolehi daripada negara China menunjukkan bahawa diabetis adalah penyakit kedua tertinggi didapati dikalangan mereka yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19 selepas darah tinggi. Dalam kajian yang lain, didapati sebanyak 9.7% daripada kalangan mereka yang dijangkiti COVID-19 di China adalah pesakit diabetis. 

Adakah pesakit diabetis mempunyai lebih risiko untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan coronavirus

Secara umumnya, pesakit diabetis mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang teruk jika mereka dijangkiti virus ini. Insiden atau risiko pesakit diabetis untuk memerlukan rawatan intensif adalah sebanyak dua kali ganda berbanding pesakit COVID-19 yang tiada diabetis. Kadar kematian juga meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar kematian pesakit COVID-19 yang biasa. Selain diabetis, mereka yang mempunyai darah tinggi, sakit jantung atau masalah paru-paru juga mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang teruk akibat jangkitan ini. 

Mengapakah pesakit diabetis lebih berisiko untuk mendapat komplikasi teruk akibat jangkitan coronavirus

Ada beberapa faktor yang menyebabkan pesakit diabetis mempunyai risiko tersebut. Pertama, umum mengetahui bahawa pesakit diabetis mempunyai tahap imuniti yang rendah berbanding orang biasa. Ini termasuklah penyakit biasa bawaan bakteria seperti radang paru-paru. Kawalan diabetis yang tidak baik menyebabkan sistem imun mereka terjejas. Oleh itu, risiko untuk mendapat komplikasi yang teruk akibat jangkitan COVID-19 boleh dikurangkan jika pesakit menjaga kawalan gula dalam badan mereka. Ini juga akan mengurangkan risiko mereka untuk mendapat komplikasi akibat diabetis itu sendiri.

Jangkitan kuman atau virus itu sendiri menyebabkan kawalan diabetes menjadi lebih sukar. Ini adalah kerana jangkitan kuman boleh menyebabkan inflamasi organ badan.  Kemungkinan juga virus ini boleh merebak dengan cepat sekiranya terdapat gula yang tinggi dalam darah.

Kebanyakan pesakit diabetis mempunyai masalah kegemukan atau obesiti. Obesiti itu sendiri adalah satu faktor untuk mendapat jangkitan yang teruk. Mereka yang mempunyai masalah obesiti juga berisiko untuk mendapat masalah pernafasan. Ini meninggikan risiko untuk mendapat radang paru-paru dan kekurangan oksigen dalam darah.

Faktor seterusnya adalah kerana kebanyakan pesakit diabetis mempunyai masalah komplikasi diabetis seperti kegagalan buah pinggang dan sakit jantung. Mereka juga mempunyai risiko untuk penyakit kardiovaskular lain seperti darah tinggi dan masalah kolestrol. Ini menjadikan badan mereka lebih lemah dalam menghadapi serangan COVID-19. Kajian juga menunjukkan COVID-19 boleh menyebabkan kerusakan kepada jantung dan kegagalan jantung.

Terdapat juga bukti saintifik yang mengaitkan penglibatan sejenis ubat yang banyak digunakan untuk rawatan pesakit diabetis yang mempunyai darah tinggi dengan risiko komplikasi jangkitan COVID-19. Jenis ubat darah tinggi ini adalah dikenali sebagai angiotensin-converting enzymes (ACE) inhibitors. Data menunjukkan kemungkinan mereka yang dirawat dengan ubat jenis ini mungkin mendapat komplikasi yang teruk akibat jangkitan COVID-19. Walaubagaimanapun, bukti saintifik tentang isu ini masih belum kukuh. 

Apakah tanda-tanda penyakit coronavirus yang patut pesakit diabetis tahu

Tanda-tanda penyakit COVID-19 yang kerap ditemui adalah: demam, batuk kering dan keletihan. Tanda-tanda lain termasuk sakit kepala, sakit badan, selsema, sakit tekak, hilang deria bau dan susah bernafas. Pesakit boleh mendapat simptom ini dalam jangkamasa 2-14 hari selepas terdedah kepada virus berkenaan.

Apakah yang patut dilakukan oleh pesakit diabetis sekiranya mereka mempunyai tanda-tanda di atas

Berdasarkan simptom sahaja, sukar untuk menentukan adakah ianya jangkitan COVID-19 atau masalah lain yang boleh menyebabkan gejala sama seperti berikut. Oleh itu, penilaian risiko hendaklah dilakukan bagi membantu doktor perubatan membuat keputusan.

Sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda diatas, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan. Pesakit boleh merujuk doktor KKM dengan klik Tanya Doktor Pakar KKM di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (COVID-19 Portal) untuk bertanyakan isu COVID-19 bermula dari jam 8.30 am hingga 5.00 pm. Selepas jam 5.00 pm hingga 12.00 am, pesakit boleh mengajukan pertanyaan di laman sesawang Doctor On Call pada link ini https://www.doctoroncall.com.my/tanya/

Pesakit juga juga boleh mengisi soalselidik untuk mengetahui risiko dijangkiti COVID 19 di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (COVID-19 Portal). Melalui soalselidik ini, pesakit akan dikelaskan mengikut beberapa kategori dan diberikan nasihat untuk langkah selanjutnya. 

Apakah langkah-langkah yang patut dilakukan oleh pesakit diabetis untuk mencegah daripada terkena jangkitan coronavirus

Adalah penting bagi pesakit diabetis untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah jangkitan ini. Langkah langkah kawalan yang disarankan kepada umum adalah dua kali ganda lebih penting bagi pesakit diabetis dan bagi mereka yang tinggal bersama pesakit diabetis.

Langkah-langkah pencegahan termasuk:

  • Cuci tangan sabun dan air secara berkala.
  • Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dicuci.
  • Jauhi daripada orang yang sakit terutamanya yang menunjukkan simptom jangkitan Coronavirus
  • Elakkan daripada mengunjung kawasan tumpuan ramai orang
  • Cuci atau disinfeksi objek atau permukaan yang kerap disentuh seperti tombol pintu
  • Amalkan penjarakan sosial jika perlu mengunjungi ke tempat awam. Elakkan berkunjung ke tempat awam jika boleh terutama tempat berkumpul. Elakkan pengangkutan awam.
  • Buat persediaan sekiranya anda jatuh sakit seperti nombor telefon penting yang harus di hubungi jika ada kecemasan.
  • Jaga kawalan gula anda. Pastikan ubat atau rawatan tidak terganggu.
  • Buat pemeriksaan bacaan gula di rumah secara berkala.
  • Jika anda tinggal bersendirian, pastikan ada seseorang yang mengetahui keadaan anda dan boleh dihubungi jika kecemasan.
  • Hubungi pusat kesihatan atau klinik untuk mendapatkan rawatan atau bertanyakan doktor sekiranya anda tidak sihat. 

Apakah kesan pandemik coronavirus ke atas pesakit diabetis

Dalam pandemik COVID-19 ini terdapat beberapa kesan yang mungkin terjadi kepada pesakit diabetes. Terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kawalan diabetis terganggu:

  • Stress atau kemurungan. Ini mungkin menyebabkan berlaku perubahan hormon badan serta tingkahlaku normal.
  • Perubahan masa tidur seperti kurang tidur atau terlebih tidur. Perubahan masa tidur juga menjejaskan hormon kortisol dan boleh menyebabkan kawalan diabetis terganggu.
  • Kurang aktiviti fizikal semasa perintah kawalan pergerakan atau kurang aktiviti fizikal akibat kuarantin.
  • Perubahan tingkahlaku pemakanan- terlebih makan atau kurang makan. Kesukaran untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat.
  • Perubahan kepada regimen rawatan. Ini mungkin terjadi jika terdapat gangguan terhadap bekalan ubat-ubatan.
  • Komplians atau kepatuhan kepada rawatan diabetis mungkin terjejas kerana kurang konsultasi bersemuka dengan doktor perubatan atau kesukaran mendapatkan rawatan.
  • Perubahan temujanji doktor- ramai pesakit hanya mendapat konsultasi melalui telefon atau tidak mengikuti temujanji yang diberikan kerana beberapa faktor di musim pandemik ini.
  • Lambat mendapatkan rawatan kecemasan untuk komplikasi akut. Perasaan takut kepada risiko jangkitan menyebabkan pesakit lambat mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Kesimpulannya, pesakit diabetis adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi akibat jangkitan COVID-19. Pesakit ini memerlukan perhatian yang lebih khusus dan rawatan intensif sekiranya dijangkiti virus ini. Oleh itu, diharapkan, pesakit diabetis boleh mematuhi segala langkah pencegahan yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk mengekang daripada terkena jangkitan ini.

Senarai rujukan:

Hussain, A., Bhowmik, B., & do Vale Moreira, N. C. (2020). COVID-19 and diabetes: Knowledge in progress. Diabetes research and clinical practice, 162, 108142. Advance online publication. (cited 29 April 2020) Available from: https://doi.org/10.1016/j.diabres.2020.108142

Laman web CDC. Symptoms of Coronovirus. (cited 28 April 2020) Available from:  https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/symptoms-testing/symptoms.html

Laman web Kementerian Kesihatan Malaysia. COVID-19. (cited 25 April 2020) Available from: http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

Li B, Yang J, Zhao F, et al. Prevalence and impact of cardiovascular metabolic diseases on COVID-19 in China. Clin Res Cardiol. 2020; doi: 10.1007/s00392-020-01626-9.

Li B, Yang J, Zhao F, Zhi L, Wang X, Liu L, et al. Prevalence and impact of cardiovascular metabolic diseases on COVID-19 in China. Clinical Research in Cardiology. 2020;109(5):531-8.

Ranganath Muniyappa and Sriram Gubbi. COVID-19 pandemic, coronaviruses, and diabetes mellitus. Am J Physiol Endocrinol Metab 318: E736–E741, 2020. First published March 31, 2020; doi:10.1152/ajpendo.00124.2020.

Yang J, Zheng Y, Gou X, et al. Prevalence of comorbidities in the novel Wuhan coronavirus (COVID-19) infection: a systematic review and meta-analysis. Int J Infect Dis. 2020; pii: S1201-9712(20)30136-3. doi: 10.1016/j.ijid.2020.03.017.

Cetak