Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Ciri-Ciri Jangkitan COVID-19 Dalam Kalangan Kanak-Kanak

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 104314
Pengarang:
Fahisham Taib
Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Pengarang Koresponden:
Dr Fahisham Taib
Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan
Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

Coronavirus merupakan virus yang berasal daripada haiwan yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan dan pemakanan pada manusia.

Kes jangkitan COVID-19 yang tercatat dalam kalangan kanak-kanak adalah sedikit berbanding orang dewasa. Data terbesar merupakan data dari negara China iaitu daripada 2143 kanak-kanak yang disaring, hanya 112(5.6%) didapati mempunyai penyakit pada tahap yang teruk dan 13(0.6%) memerlukan rawatan intensif kerana kegagalan pelbagai organ.  Kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik seperti asma, penyakit kanser, kelemahan daya tahan badan atau kanak-kanak kecil mempunyai risiko lebih tinggi, namun masih kekurangan data untuk menyokong kebimbangan ini. Justeru, langkah berjaga-jaga seperti mematuhi penjarakan sosial perlu bagi menangani wabak ini.

Majoriti 90% daripada kanak-kanak yang dirawat di negara China mempunyai gejala yang tidak teruk.  Didapati  seramai 38% hanya mempunyai gejala batuk dan 44-50%  mempunyai demam sahaja dan kesemua mereka tidak memerlukan alat bantuan pernafasan. Gejala lain adalah hidung berhingus, keletihan, sakit kepala, cirit birit dan di fasa akhir mereka mengalami kesukaran pernafasan, kepucatan dan kurang menyusu. Ramai juga yang mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda.  

Sebanyak 82% berisiko kerana terdapat ‘household contact’ atau kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga. Hanya 10% tidak mempunyai gejala (Jadual 1).

Jadual 1: Status kanak-kanak dengan jangkitan COVID-19 serta jenis gejala

Status kanak-kanak yang mendapat infeksi COVID-19

Gejala

Tiada gejala (10%)

-

Mempunyai gejala (90%)

Batuk (38%)

Demam (50%)

Lain-lain contohnya berhingus, keletihan, cirit birit, sakit kepala (12%)

* Hanya 5% mempunyai gejala yang teruk yang memerlukan rawatan sokongan (Dong et al. Epidemiology of COVID-19 among Children in China. Pediatrics 2020)

Terdapat beberapa hipotesis yang menerangkan kaitan kenapa jangkitan COVID-19 pada kanak-kanak tidak seteruk orang dewasa. Antaranya dipercayai kerana sistem imun kanak-kanak yang kurang kuat telah menyebabkan pengaktifan unsur keradangan ‘cytokine’ tidak berlaku, gangguan virus lain yang mengurangkan jangkitan semasa COVID-19 dan kekurangan reseptor ‘ACE-2’ yang mengurangkan kadar jangkitan yang teruk pada kanak-kanak

Kesimpulannya, kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai jangkitan COVID-19 berasal daripada kluster keluarga yang sama sebagaimana penyakit epidemik terdahulu iaitu SARS-CoV. Kanak-kanak berkemungkinan tidak mempunyai gejala atau tidak akan mendapat gejala yang teruk sebagaimana jangkitan COVID-19 pada orang dewasa.

Oleh itu, langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibubapa;

  • Memilih penjaga atau pengasuh secara teliti serta mengehadkan hubungan dengan orang yang berisiko
  • Membasuh tangan secara kerap dan menjarakkan diri dengan orang yang sakit
  • Sekiranya terdapat masalah pernafasan, wajah bertukar menjadi pucat atau kebiruan, maka hendaklah berjumpa dengan doktor
  • Elak menggunakan ubat penahan sakit seperti ibuprofen atau menggunakan nebuliser
  • Pastikan penghidratan berada pada tahap optimum dan kesakitan dirawat dengan sebaiknya

Rujukan

  1. Alyson A Kelvin, Scott Halperin. COVID-19 in children: the link in the transmission chain. Lancet Infect Dis. 2020. https://doi.org/10.1016/S1473-3099(20)30236-X
  2. Dong Y, Mo X, Hu Y, Qi X, Jiang F, Jiang Z,Tong S. Epidemiology of COVID-19 among Children in China. Pediatrics.2020;e2020-0702.doi:https://doi.org/10.1542/peds.2020-0702
  3. Sinha IP, Harwood R, Semple MG, Hawcutt DB, Thursfield R, Narayan O, Kenny SE,  Viner R, Hewer SL, Southern KW. COVID-19 in Children. The Lancet Respiratory Medicine.2020. doi: 10.1016/S2213-2600(20)30152-1
  4. Zimmermann P, Curtis N. Coronavirus Infections in Children Including COVID-19: An Overview of the Epidemiology, Clinical Features, Diagnosis, Treatment and Prevention Options in Children. The Pediatric Infectious Disease Journal. 2020; 39(5):355- 368. doi: 10.1097/INF.0000000000002660
Cetak