Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Saringan COVID-19: Berkata Benar Walaupun Pahit

  • Bacaan Umum
  • Jumlah paparan: 2283
Pengarang:
Mimi Azliha Abu Bakar, Afifah Sjamun Sjahid, Normalinda Yaacob, Mohd Faiz Mohd Shukri.
Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan
Pengarang Koresponden:
Dr Afifah Sjamun Sjahid
Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Perubatan Kecemasan,
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian, Kelantan, MALAYSIA

Pengenalan

Pada bulan Disember 2019, dunia digemparkan dengan kemunculan penyakit berjangkit baharu yang dinamakan “coronavirus disease” ataupun lebih dikenali sebagai COVID-19.  Ia bermula di daerah Wuhan, China dan kemudiannya tersebar dengan meluas ke negara-negara berdekatan dan seterusnya merebak ke seluruh dunia. Pada tanggal 11 Mac 2020, penyakit COVID-19 telah diwartakan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sehingga 28 Mei 2020, WHO telah mengesahkan lebih daripada 5.7 juta penduduk dunia dijangkiti wabak COVID-19 melibatkan 216 buah negara, dan daripada jumlah tersebut, lebih 350,000 penduduk dunia telah meninggal dunia. Di Malaysia pula, sehingga 28 Mei 2020, pesakit yang disahkan menghidapi COVID-19 melebihi 7000 orang dengan 115 kematian, iaitu lebih kurang 1.5% daripada jumlah tersebut.

Tatacara Pengurusan COVID-19

Kajian telah membuktikan bahawa COVID-19 adalah penyakit yang berjangkit melalui titisan pernafasan, menyebabkan penyakit ini mudah tersebar terutamanya apabila seseorang itu batuk atau bersin.  Bagi mengelakkan jangkitan terhadap staf kesihatan, semua pesakit dan peneman yang datang ke jabatan kecemasan atau klinik-klinik pakar perlu disaring terlebih dahulu sebelum menerima rawatan selanjutnya. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan borang saringan ringkas yang wajib digunakan di semua pintu masuk utama hospital dan klinik. Antara soalan yang ditanya kepada pesakit dan peneman adalah:

  1. Sejarah perjalanan ke luar negara
  2. Kontak terdekat dengan pesakit yang disahkan menghidapi COVID-19
  3. Mempunyai tanda gejala seperti demam atau batuk atau lelah atau sakit tekak
  4. Menghadiri majlis keramaian atau terlibat dengan perjumpaan yang mempunyai sejarah berlakunya wabak COVID-19

Demi memastikan keberkesanan proses saringan, para petugas kesihatan amat berharap agar pesakit dan peneman berlaku jujur dan bercakap benar. Malangnya, terdapat segelintir pesakit atau peneman yang tidak jujur dalam memberi maklumat. Mereka menyembunyikan fakta atau sejarah perjalanan mereka ke luar negara, terutamanya negara-negara yang terkesan dengan COVID-19. Terdapat pesakit atau peneman yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disyaki atau disahkan menghidapi COVID-19 tetapi tidak memaklumkan kepada staf hospital. Perkara ini telah acap kali ditegaskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah agar orang ramai tidak menyembunyikan maklumat sehingga menimbulkan risiko kepada nyawa dan fasiliti KKM.

Terdapat beberapa sebab mengapa pesakit atau peneman menyembunyikan maklumat mereka. Antaranya kerana takut akan stigma masyarakat terhadap mereka. Ada juga yang tidak ambil endah dan menganggap perkara ini sebagai remeh, tanpa mengetahui kesan buruk yang boleh berlaku, iaitu risiko menjangkiti penyakit ini kepada orang lain. Namun, ramai tidak menyedari bahawa kerajaan mempunyai hak untuk menangkap dan seterusnya mengenakan denda serta hukuman penjara terhadap golongan ini kerana tidak jujur dalam memberikan maklumat.

Di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, mana-mana orang yang memberi maklumat palsu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan penalti di bawah seksyen 24 akta yang sama. Mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Kesimpulan

Justeru, adalah amat penting untuk pesakit, peneman, keluarga dan orang ramai untuk berlaku jujur dan tidak menyembunyikan maklumat demi mengelakkan wabak ini daripada tersebar dengan lebih luas lagi. Jika pesakit mempunyai risiko jangkitan virus ini tetapi tidak memaklumkan kepada pihak hospital, maka kemungkinan untuk berlakunya penularan jangkitan kepada pesakit-pesakit lain dan staf kesihatan amatlah tinggi. Impak yang paling besar adalah perkhidmatan hospital terpaksa ditutup dan menyebabkan servis rawatan tergendala. Apatah lagi virus ini sangat berbahaya kepada sesetengah golongan yang mempunyai tahap imuniti rendah terutamanya kanak-kanak, warga emas dan pesakit yang menghidapi penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan kegagalan buah pinggang. Berkatalah benar walaupun pahit, kerana itulah yang sangat diperlukan pada masa ini demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Jika wabak ini tidak terkawal, impaknya akan berterusan dan seterusnya menggalakkan penularan wabak. Bak kata pepatah, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

Rujukan:

  1. Astro Awani. Jujur, jangan sorok sejarah perjalanan atau kontak rapat! - KP Kesihatan 2020. [cited 2020 May 4]. Available from: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jujur-jangan-sorok-sejarah-perjalanan-atau-kontak-rapat-kp-kesihatan-234492
  2. Malaysia KK. Case Definition PUI of COVID-19. Garis Pandu Pengur COVID-19 di Malaysia. 2020 [cited 2020 May 3];5:7. Available from:  https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan-guidelines
  3. Malaysia KK. COVID-19 (Maklumat Terkini). Portal Rasm Kementeri Kesihat Malaysia. 2020; [cited 2020 May 28]; Available from: https://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan
  4. Undang-undang Malaysia, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 22 (d) (1 Jun 2017)
  5. WHO. Novel Coronavirus – China. 2020. [cited 2020 May 28]. Available from: https://www.who.int/csr/don/12-january-2020-novel-coronavirus-china/en/
Cetak