Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Pengenalan

  • Info
  • Jumlah paparan: 5141

PENGENALAN

Dunia kini sedang dilanda wabak penyakit yang membimbangkan, disebabkan oleh novel coronavirus yang dikenali sebagai COVID-19. Memandangkan ia penyakit baharu, maklumat berkaitan dengannya agak terhad, berubah-ubah sehingga kadang-kala mengelirukan. Lazimnya, ilmu perubatan terbina berdasarkan penyelidikan yang mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi serta disokong dengan bukti-bukti yang meyakinkan. Namun demikian, hal ini tidak mungkin tercapai dengan penyakit baharu yang maklumat berkaitan dengannya sangat terhad.

Maklumat yang samar ini boleh menimbulkan masalah kepada pelbagai pihak terutamanya apabila terdapat perbezaan capaian maklumat dan tahap pemahaman terhadap penyakit COVID-19. Hal ini mengakibatkan berlakunya kesulitan kepada para doktor, pentadbir hospital malahan memberi kesan kepada kepada orang awam.

Garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah yang terbaik dalam pengurusan COVID-19 dan sangat penting untuk diamalkan oleh semua hospital. Namun demikian, garis panduan ini mungkin tidak difahami secara mendalam oleh warga hospital menyebabkan ia gagal dipatuhi sepenuhnya. Justeru, inisiatif penubuhan pusat sumber maklumat seumpama ini diharap dapat mengumpul maklumat perubatan yang tepat disamping memperincikan garis panduan sedia ada melalui bukti-bukti kajian agar dapat dijadikan rujukan pelbagai pihak termasuk golongan profesional perubatan dan masyarakat umum.

 

JUSTIFIKASI

Idea penubuhan pusat sumber ini telah dicetuskan oleh Dr. Muhamad Hamzah, Pengarah Perubatan Hospital KPJ Perdana dan telah menyuarakan aspirasi beliau kepada Pengarah Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim agar dapat bekerjasama dengan pihak USM. Memandangkan pusat sumber ini adalah kerjasama antara USM dan KPJ, maka nama yang telah dipersetujui adalah SUMBER INFORMASI PERUBATAN COVID-19 USM-KPJ (COVID-19 MEDICAL INFORMATION RESOURCE USM-KPJ). Ringkasan bagi pusat sumber ini ialah SIPC USM-KPJ. Sumber ini perlu akur kepada polisi KKM atau pihak berautoriti yang lain.

Sumber informasi perubatan ini bertujuan untuk menyelaras maklumat kesihatan daripada segenap aspek dan menyalurkannya untuk orang awam dan juga petugas kesihatan. Kebanyakan informasi mengenai penyakit ini ditulis dalam Bahasa Ingggeris dan ini mungkin menyukarkan sebahagian golongan awam di Malaysia terutama yang berpendidikan rendah. Oleh itu, SIPC USM-KPJ mengambil inisiatif menyalurkan maklumat untuk golongan awam menggunakan bahasa Kebangsaan yang akan mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat.

Bagi memastikan maklumat yang disalurkan adalah tepat dan mencapai golongan sasaran dengan cepat maka semua artikel yang ditulis akan dinilai oleh sekurang-kurangnya dua orang penilai pakar bidang sebelum ia diterbitkan. Penubuhan sumber informasi ini menunjukkan terdapatnya jaringan kerjasama yang kukuh di antara pihak swasta dan institusi pendidikan tinggi di negara ini. Kerjasama sebegini boleh dikembangkan dengan lebih produktif dalam bidang lain contohnya penyelidikan bersama. Penubuhan sumber informasi perubatan ini juga akan digunakan sebagai salah satu wadah untuk pensyarah USM menyalurkan kepakaran masing-masing dalam bentuk penulisan seterusnya menggalakkan penerbitan demi meningkatkan prestasi universiti.

Cetak