Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Kes Covid-19 di Kelantan meningkat selepas sekolah dibuka

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 571
IMG 20210422 210037

Kota Bharu: Kes Covid-19 di Kelantan didapati meningkat selepas sesi persekolahan dibuka.

Pakar Kesihatan Awam Jabatan Perubatan Masyarakat Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata, sebagai langkah kawalan, beberapa sekolah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata, kajian menunjukkan secara umumnya daripada keseluruhan kes Covid-19, jangkitan dalam kalangan pelajar adalah 8.5 peratus iaitu dalam kategori sederhana.

"Berdasarkan petikan dalam satu journal, tidak dinafikan berlakunya peningkatan kes Covid-19 selepas sekolah dibuka seperti berlaku di negara luar.

"Sebagai contoh, di Perancis sebelum sekolah dibuka terdapat 6,663 kes dengan 148 kematian di satu lokaliti dan selepas sekolah dibuka, ia meningkat kepada 286,007 kes dengan jumlah kematian sebanyak 30,661.

"Manakala di Ireland pula, sebelum sebelum sekolah dibuka hanya ada 70 kes dan satu kematian, sebaliknya berlaku apabila sekolah dibuka dengan bilangan kes meningkat kepada 28,811 dan merekodkan 1,772 kematian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika webinar secara langsung melalui Facebook USM dengan tajuk Covid-19 di Kelate: Gapo Hok Kena Tahu yang dipengerusikan Calon Doktor Kesihatan Awam, Jabatan PPSP Dr Tengku Muhammad Fakharuddin Tengku Md Fauzi.

Mengulas lanjut, Dr Nik Rosmawati berkata, sebelum sekolah dibuka, penularan Covid-19 berjaya dikawal, namun selepas sekolah semua sekolah rendah dan menengah dibuka sejak awal Mac lalu, sehingga kini terdapat tujuh kluster pendidikan direkodkan di Kelantan.

"Apabila pelajar masuk ke sekolah dan berada dalam satu bilik tertutup terutama pelajar di asrama penuh atau di asrama, mereka perlu lebih berhati-hati.

"Kadar jangkitan kepada rakan sebilik boleh meningkat kepada 50 peratus.

"Justeru itu, enam langkah pencegahan perlu diambil pihak pengurusan ketika pelajar berada di asrama iaitu menjaga kebersihan tangan, etika batuk, melaksanakan penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka, menjaga kebersihan persekitaran sekolah dan ventilasi bilik yang baik, dan kaedah mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala," katanya.

Beliau berkata, bilik isolasi di asrama memerlukan bilik mempunyai pengudaraan membolehkan udara keluar masuk dan pencahayaan matahari baik, selain katil perlu dijarakkan dua meter.

Menurutnya, pada masa sama, setiap bilik kuarantin perlu dibekalkan dengan termometer untuk memudahkan pelajar memantau suhu badan.

"Bagi mereka yang mencatat bacaan suhu melebihi 37.5 darjah Selsius hendaklah segera memaklumkan kepada guru atau warden asrama dan membuat calitan sekiranya perlu.

"Selain itu, sediakan laluan khas kepada pelajar dan perlu disanitasi setiap hari di permukaan yang berisiko termasuklah di dinding bilik asrama atau menyediakan cecair semburan kepada setiap pelajar sebagai kaedah kendiri untuk melindungi diri masing-masing," katanya.

Cetak