Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Perokok, penghisap vape berisiko tinggi dijangkiti Covid-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 957

IMG 20210422 205222

Kota Bharu: Tabiat merokok dan menghisap vape antara risiko seseorang itu mudah dijangkiti wabak Covid-19 kerana terjadi melalui sentuhan tangan ke mulut, berkongsi rokok atau peranti vape dan kerap kali membuka pelitup muka untuk merokok atau menghisap vape.

Pakar Perubatan Keluarga Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Suhaila Idris berkata, apabila seseorang itu merokok atau menghisap vape, mereka amat mudah dijangkiti Covid-19 dan berisiko teruk disebabkan kesan merokok atau menghisap vape yang mengganggu bahagian organ dalaman iaitu paru-paru.

Katanya, sekiranya mereka masih lagi mengamalkan tabiat merokok, ia secara tidak langsung akan membahayakan nyawa mereka sendiri.

"Justeru itu, saya menyeru kepada perokok atau penghisap vape supaya mengambil peluang di bulan Ramadan ini untuk berhenti kerana dengan kebolehjangkitan Covid-19 yang semakin tinggi menyebabkan mereka lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti.

"Dalam masa sama, antara gejala lain menunjukkan seseorang dijangkiti wabak Covid-19 adalah mengalami demam, sakit kepala, batuk, sesak nafas, cirit-birit, muntah, loya, sakit tekak, hidung tersumbat, selesema, hilang deria rasa dan deria bau secara akut.

"Sekiranya ada gejala itu, segeralah mendapatkan konsultasi dengan doktor atau mana-mana pakar perubatan bagi mengelakkan risiko jangkitan kepada orang di sekeliling kerana dalam pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, situasi itu tidak boleh dianggap perkara biasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika webinar secara langsung melalui Facebook USM dengan tajuk Covid-19 di Kelate: Gapo Hok Kena Tahu yang dipengerusikan Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Masyarakat Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Dr Tengku Muhammad Fakharuddin Tengku Md Fauzi.

Dr Nur Suhaila yang juga Penyelaras Klinik Saringan Infeksi (SRI) Hospital USM berkata, dia menasihati kepada mana-mana pihak supaya memberhentikan penularan berita tidak sahih mengenai kematian individu disebabkan selepas mereka menerima suntikan vaksin.

"Sekiranya perkara seperti ini ditularkan, ia akan menimbulkan kekeliruan dan perasaan was-was dalam kalangan masyarakat yang bakal menerima suntikan vaksin.

"Sedangkan maklumat sahih hanya akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sejak pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama, lebih 400,000 rakyat yang sudah menerima dua dos vaksin sebagaimana dimaklumkan Menteri Kesihatan Malaysia.

"Namun, selepas menerima suntikan vaksin, jangan anggap diri kita kebal kerana pada masa sama masih perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) iaitu sentiasa memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan juga menjaga penjarakan fizikal," katanya

Cetak