Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

HUSM Kubang Kerian hasilkan Covid-TT

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 1126
 
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

 

PETUGAS Dewan Bedah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian mencipta inovasi baharu iaitu Covid-TT atau ‘Covid Transport-Tool’ bagi memudahkan pemindahan pesakit Covid-19.

Pengarah HUSM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, inovasi berkenaan adalah cetusan idea Ketua Jabatan Anestesiologi, Profesor Madya Dr Wan Mohd Nazaruddin Wan Hassan dan Penyelaras Dewan Bedah, Profesor Madya Dr Rhendra Hardy Mohamad Zaini.

“Covid-TT adalah untuk pemindahan pesakit dalam kategori ‘Patient Under Investigation’ (PUI) dan pesakit mempunyai gejala ‘Severe Acute Respiratory Infections’ (SARI) yang menjalani pembedahan di Dewan Bedah Trauma dan dipindahkan ke wad-wad SARI, Unit Dependensi Tinggi (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk proses perawatan dan pemulihan di mana penggunaannya dapat mengelakkan kontaminasi rebakan kepada persekitaran disebabkan penularan Covid-19.

“Peralatan yang dihasilkan ini berfungsi dengan mengekalkan persekitaran ‘negative pressure’ yang selamat semasa pemindahan pesakit,” katanya.

Beliau berkata, bahan yang digunakan untuk menghasilkan Covid-TT adalah seperti paip pvc, plastik jernih yang tebal, sarung tangan getah, pita pelekat, gam, hepafilter, vacum pum dan alat yang dikitar semula iaitu ‘valve trocar laparoscopic disc’ dan ‘tubing circuit’ dengan keseluruhan kos berjumlah RM300

IMG 20200413 141646

“Dengan penjimatan kos dan penggunaan bahan yang dikitar semula ini diharap dapat memberi impak yang tinggi kepada USM dan masyarakat amnya.

“Walaupun alat ini ringkas dan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan patient isolation and transportation’ (ISOPOD) yang berharga antara RM30,000 hingga RM40,000, namun Covid-TT dapat menjaga keselamatan petugas yang menguruskan pesakit PUI dan SARI di samping memastikan staf serta pengunjung HUSM tidak terdedah kepada persekitaran yang membahayakan mereka.

“Istimewanya Covid-TT ini adalah reka bentuknya direka mereka yang dekat dengan perawatan pesakit terdiri daripada Penyelia Jururawat, Ketua Jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan selain turut mendapat kerjasama dari Pegawai Khidmat Pelanggan Unit Perubatan Transfusi, Penolong Pegawai Perubatan ICU serta Bahagian Biomedik HUSM.

“Kami bercadang menghasilkan dua set Covid-TT dan alat ini akan diuji keberkesanannya terlebih dahulu sebelum digunakan sepenuhnya,” katanya.

Ahmad Sukari berkata, masalah kekurangan peralatan di hospital adalah isu global di mana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak Covid-19 termasuklah penggunaan peralatan perubatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan serta ISOPOD yang meningkat secara mendadak.

“HUSM juga tidak terkecuali dalam menghadapi permasalahan sama seperti hospital-hospital lain di seluruh negara. Biarpun belum ditetapkan sebagai hospital untuk menempatkan pesakit Covid-19, namun kesiapsiagaan kami dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani isu penularan wabak Covid-19 menjadi keutamaan,” katanya.

Cetak