Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Makmal HUSM bantu lakukan ujian sampel Covid-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 622

 

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

 

MAKMAL Mikrobiologi dan Parasitologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) antara 10 makmal kendalian institut pengajian tinggi (IPT) yang terpilih untuk menjalankan ujian pengesanan Covid-19.

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, sehingga kini, pihaknya sudah menjalankan ujian ke atas 650 sampel yang diterima daripada kaunter saringan HUSM serta sampel dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dalam sehari mampu melakukan ujian terhadap 200 sampel.

Katanya, makmal Mikrobiologi dan Parasitologi yang terdapat di HUSM dilengkapi fasiliti setanding dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalankan uji kaji terhadap sampel Covid-19 yang diterima.

“Buat masa ini seramai 25 kakitangan terdiri daripada Juruteknologi Makmal Perubatan, Pegawai Sains dan Pegawai Penyelidik yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan ujian pengesanan Covid-19 dan bagi menampung keperluan semasa, kami menambah 40 lagi petugas bagi menjalankan ujian pengesanan wabak ini.

“Mereka yang mengendalikan ujian pengesanan Covid-19 ini adalah yang terlatih dan pernah mengikuti latihan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan Makmal Kesihatan Awam di Klinik Kesihatan Perol khusus untuk mengendalikan kes berkaitan Covid-19.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha USM dalam membantu meringankan beban kerja KKM di samping terus menjalinkan kerjasama pada masa akan datang termasuk dalam bidang kajian dan pengurusan pesakit Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Prof Dr Zakuan Zainy Deris berkata, terdapat dua peringkat dalam ujian Covid-19 yang dijalankan iaitu peringkat pertama membabitkan pengekstrakan asid nukleik di dalam virus dengan menggunakan kaedah manual atau mesin ‘Automatic Extracter’ dan peringkat kedua pula dikenali sebagai ‘Amplification’ dengan menggunakan mesin ABI 7500.

“Kami menggunakan mesin ABI 7500 untuk menjalankan ujian ke atas 96 sampel dalam satu pusingan dan mampu membuat dua pusingan sehari manakala mesin BioRad pula akan digunakan sebagai persediaan sekiranya terdapat masalah dengan mesin ABI 7500.

“Sekiranya permintaan ujian saringan bagi Covid-19 melebihi had kapasiti, kes kecemasan akan diutamakan seperti mereka yang mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19, individu yang pulang dari luar negara dan kumpulan yang menyertai perhimpunan tabligh berbanding kes-kes lain,” katanya.

Zakuan Zainy berkata, berikutan peningkatan kes Covid-19, pihak KKM amat memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya dalam meningkatkan kapasiti ujian pengesanan virus berkenaan.

“Selain itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut bekerjasama mengenalpasti dan memilih makmal diagnostik yang mempunyai kemampuan dalam menjalankan ujian di samping makmal-makmal sedia ada di bawah seliaan KKM.

“Menerusi kaedah molekular diagnostik melalui ujian real time polymerase chain reaction (RT-PCR), keputusan uji kaji dapat diketahui dalam tempoh lima hingga enam jam bermula daripada sampel dihantar ke makmal sehinggalah ianya selesai diuji,” katanya.

Cetak