Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Bayi seawal enam bulan boleh diserang penyakit fungsian perut dan usus

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 702

KOTA BHARU: Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia (MSGH) mendedahkan bayi berusia seawal enam bulan berpontensi diserang penyakit fungsian perut dan usus.

Mendedahkan perkara itu, Presidennya, Profesor Dr. Lee Yeong Yeh berkata, kembung perut, sembelit, cirit-birit, sakit perut dan muntah gelaja yang boleh dikesan jika seseorang bayi itu diserang penyakit berkenaan.

Menurutnya, situasi itu akan menyebabkan bayi berkenaan akan mengalami masalah berat badan selain tumbesaran akan menjadi terbantut.

“Sebelum ini, golongan berusia 50-an berisiko diserang penyakit itu. Namun sekarang, makin ramai golongan muda yang dikesan menghidap penyakit ini termasuk bayi seawal enam bulan.

“Masalah ini dikesan berpunca daripada faktor gaya hidup, pemakanan, sosiaekonomi serta perubahan bakteria di dalam struktur usus,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Makmal Fungsi Gastrousus dan Motiliti di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah HUSM Kubang Kerian , Profesor Datuk Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman telah merasmikan Makmal Fungsi Gastrousus dan Motiliti yang dilengkapi peralatan diagnostik motiliti pertama di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Nik Hisamuddin memberitahu, sehingga kini, sebanyak 2,105 pesakit termasuk pesakit-pesakit rujukan dari luar negeri Kelantan telah menerima manfaat daripada kemudahan tersebut sejak 2013 lalu.

Katanya, selain itu terdapat 11 orang pakar bidang gastrousus terlatih termasuk tiga dari luar negara telah ditempatkan di Hospital USM.

“Tanpa peralatan diagnostik motiliti, adalah amat sukar untuk mengenal pasti penyakit fungsian saraf dan otot usus.

“Di Malaysia,hanya beberapa buah hospital sahaja yang mempunyai peralatan tersebut dan tiada hospital yang mempunyai peralatan lengkap kecuali Hospital USM.

“Antara ujian diagnostik yang ditawarkan oleh makmal ini adalah ujian manometri esofagus dan anorektal, ujian pH-impedance, ujian pernafasan hidrogen dan lain-lain,” ujarnya.

Tambah Dr. Nik Hisamuddin, terdapat dua prosedur baharu yang hanya ditawarkan di Hospital USM buat masa ini iaitu ujian ‘manometri kolon’ dan ‘mucosal impedance’.-UTUSAN

 

Cetak