Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Trend menaik penyakit berkaitan perut, mangsa termuda 6 bulan

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 613
Diterbitkan:  May 25, 2023 6:45 PM
Dikemaskini: May 26, 2023 10:31 AM
 
eccca1eedf32c5b20ceac70125a898bf
 

Penyakit membabitkan perut dan usus di Malaysia menunjukkan trend peningkatan setiap tahun dengan mangsa termuda dikesan setakat ini berusia enam bulan.

Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia (MSGH) Prof Dr Lee Yeong Yeh berkata kebiasaannya pesakit di peringkat umur 50 tahun didiagnosis mengalami penyakit tersebut, namun trend mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan yang melibatkan golongan lebih muda.

"Bayi berusia enam bulan yang dikesan mengalami penyakit berkaitan perut dan usus itu didapati hilang selera makan, kekurangan zat dan kerencatan tumbesaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Makmal Fungsi Gastrousus dan Mobiliti Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), oleh Pengarahnya Prof Datuk Dr Nik Hisamuddin Nik Rahman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata seramai 2,105 pesakit berkaitan usus dan perut dikesan sejak 2013 di HUSM sahaja membabitkan pesakit rujukan dari dalam dan luar Kelantan, yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Beliau berkata antara penyebab utama penyakit berkenaan ialah gangguan motiliti iaitu fungsian saraf dan otot di usus dengan hampir 50 peratus daripada pesakit yang didiagnosis dikesan berpunca daripada perubahan gaya hidup yang tidak sihat terutama faktor pemakanan.

Menurut Dr Lee, pengesanan awal penyakit berkaitan usus sangat penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat dan cepat sekaligus mengelak komplikasi yang lebih teruk.

Sehubungan itu, katanya HUSM telah menawarkan peralatan lengkap diagnostik motiliti untuk mengenal pasti penyakit tersebut dengan lebih awal.

Beliau berkata antara ujian diagnostik yang ditawarkan di makmal tersebut termasuk ujian manometri esofagus dan anarektal, ujian 'pH impedance' dan pernafasan hidrogen.

Katanya peralatan yang disediakan di makmal tersebut adalah yang pertama di negara ini dengan 11 orang kepakaran bidang gastrousus terlatih termasuk tiga orang pakar dari luar negara.

"Terdapat dua prosedur baharu yang hanya ditawarkan di HUSM juga buat masa di Malaysia iaitu ujian 'manometri kolon' dan 'mucosal impedance," katanya.

- Bernama

Cetak