Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

95 peratus jangkitan HIV berpunca dari aktiviti seks

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 901
IMG 20221201 203244
 
KOTA BHARU: Trend jangkitan penyakit 'Human Immunodeficiency Virus' atau HIV dilihat semakin berubah mengikut peredaran zaman.
 

Pakar Perubatan Am dan Penyakit Berjangkit, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Alwi Muhd Besari @ Hashim, berkata jika dilihat sejak 10 hingga 15 tahun dahulu, 70 hingga 80 peratus kes jangkitan HIV adalah berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.

Bagaimanapun, katanya, kini hampir 95 peratus jangkitan kes HIV adalah berpunca daripada aktiviti seks berisiko iaitu homoseksual antara lelaki dengan lelaki dan hetroseksual, lelaki dengan wanita tetapi saling bertukar pasangan.

"Berdasarkan statistik di Klinik Penyakit Berjangkit Hospital USM, paling ramai pesakit HIV yang mendapatkan rawatan adalah mereka yang berusia antara 22 hingga 35 tahun.

Dr Alwi berkata, aktiviti seperti seks berisiko, perkongsian jarum suntikan dadah berlaku seawal usia 15 hingga 20 tahun dan mereka dikesan menjadi positif setelah beberapa tahun terbabit dalam aktiviti berisiko itu.

"Golongan ini dikesan menjadi positif setelah beberapa tahun terbabit dalam aktiviti berisiko berkenaan dandalam hal ini peranan ibu bapa amat penting kerana aktiviti penularan HIV adalah bermula sejak awal remaja kerana pada masa itu mereka berada di rumah.

"Ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan selain turut memantau penggunaan gajet agar tidak disalah guna oleh anak-anak seperti melayari laman lucah, pornografi dan tidak memuat turun aplikasi yang boleh menjurus kepada berlaku aktiviti seks yang berisiko," katanya.

Beliau berkata, amat penting untuk seseorang individu meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai agama yang diharap mampu menjadi benteng daripada terjebak dengan aktiviti yang boleh membawa kepada jangkitan HIV.

"Selain itu, elak diskriminasi, menghukum dan melabel sesiapa sahaja yang dijangkiti HIV dengan stigma yang negatif seperti yang lazimnya berlaku.

"Walaupun majoriti pesakit HIV adalah mereka yang mendapat jangkitan daripada aktiviti yang tidak sihat, kita tidak berhak menilai mereka kerana ada pesakit yang mendapat jangkitan bukan disebabkan oleh kesalahan mereka sendiri seperti isteri yang dijangkiti daripada suami serta anak yang dijangkiti daripada ibu," katanya.

Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat dalam usaha menjayakan matlamat kerajaan mencapai sifar Aids dan sifar jangkitan baharu HIV pada tahun 2030.

Cetak