Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Love Scam makin berleluasa, kerugian RM58.33 juta pada 2020

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 603

IMG 20221130 150719

Kota Bharu: Fenomena penipuan cinta atau 'love scam' dilaporkan semakin berleluasa berdasarkan bilangan kes yang dilaporkan di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia sebanyak 1,535 kes penipuan cinta atau 'love scam' dilaporkan pada 2020 membabitkan kerugian berjumlah RM58.33 juta dan walaupun pelbagai kempen, iklan, pengumuman, seminar dan usaha dilakukan kerajaan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, namun ia tetap berlaku di negara kita.

Pensyarah Kanan Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, penipuan cinta ialah helah yang membabitkan niat romantis palsu terhadap mangsa, mendapatkan kasih sayang daripada mangsa dan kemudian menggunakan ikatan emosi atau kepercayaan untuk melakukan penipuan serta mendapatkan ganjaran.

Menurutnya, antara ganjaran yang biasanya ditawarkan adalah dalam dua kategori iaitu ketara seperti wang, telefon bimbit, seks dan harta, manakala yang tidak ketara pula adalah tawaran dari segi pekerjaan, melancong, kenaikan pangkat, akses kepada organisasi, kumpulan, atau sistem.

Berdasarkan kajian, terdapat sekurang-kurangnya enam tipologi atau jenis golongan mangsa seperti tahap pengetahuan, faktor rentan, personaliti bakal mangsa, memberi kerjasama, jenis dan jumlah kerugian dan kemungkinan mangsa membuat laporan polis.

"Bagaimanapun, penipuan cinta adalah jenayah jangka panjang yang memerlukan beberapa hari, minggu atau bulan untuk mendapatkan hasil dan jenayah ini membabitkan 'props' (alat peraga), pelaburan peribadi si penipu, skrip serta jaringan tipu daya.

"Tidak seperti penipuan lain, penipuan cinta adalah sangat peribadi kerana mangsa dipengaruhi oleh ciri percintaan dalam penipuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Geshina Ayu berkata, tidak ada taktik khusus yang digunakan dalam kes sebegini, pelbagai kaedah dan taktik digunakan untuk memaksimakan ganjaran yang bakal diperoleh daripada mangsa dan memperdaya mangsa sehingga mangsa merasakan bahawa penipuan ini bukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

"Justeru itu, bagi mengatasi masalah penipuan 'love scam' ini, masyarakat perlu lebih berilmu agar tidak menjadi sasaran yang mudah. Contohnya, mengambil tahu tips pencegahan, apakah faktor-faktor rentan dan sebagainya.

"Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak mudah terpesona dengan gambar profil cantik atau tampan yang digunakan di media sosial serta tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh rakan yang baru dikenali.

"Selain itu, kita juga perlu berhati-hati memilih rakan melalui media sosial atau alam maya serta tidak sesekali mendedahkan nombor akaun bank, identiti diri dan keluarga kepada mana-mana individu tidak dikenali atau baharu dikenali di Internet," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu dulu di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Semak Mule CCID' sebelum membuat sebarang transaksi.


Disiarkan pada: November 30, 2022 @ 2:29pm
Cetak