Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Individu ke Tanah Suci perlu divaksin untuk cegah penyakit berjangkit

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 9

IMG 20220112 150933

KOTA BHARU: Keadaan semasa musim haji memerlukan setiap jemaah mendapat perlindungan mencukupi khususnya untuk mengelak penyakit berbahaya yang mudah berjangkit.

Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Zakuan Zainy Deris, berkata dalam konteks penularan wabak COVID-19, kesihatan jemaah haji dan kepentingan vaksin adalah satu kaitan yang sangat rapat iaitu antara ibadat seseorang Muslim dengan penemuan sains.
 
"Dalam ibadat haji, terdapat satu keperluan khusus yang perlu ada iaitu 'istita'ah - kemampuan', di mana setiap Muslim yang berhajat mengerjakan ibadat haji, disyaratkan mempunyai 'kemampuan' dari sudut kewangan, kesihatan sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji selain kemampuan kota suci Makkah menampung bilangan jemaah haji.
 
"Selain itu, cabaran kesihatan jemaah haji juga bukan sahaja dalam bentuk kesihatan individu, malah dalam bentuk kesihatan keseluruhan jemaah kerana percampuran antara jemaah haji yang ramai dari serata pelusuk dunia boleh menjadikan tanah suci sebagai tempat penyebaran penyakit berjangkit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Dr Zakuan berkata, dalam musim haji di era moden ini, kita dapati ada penyakit yang boleh menular khususnya melalui titisan pernafasan. Penyakit meningokokus sebagai contohnya, merebak semasa musim haji pada tahun 1987, 2000 dan 2001.
 
"Hal ini secara tidak langsung membawa kepada program vaksinasi besar-besaran penduduk Jeddah dan Makkah bermula tahun 1992 dan pengenalan vaksin wajib oleh pihak berkuasa tanah suci bagi pemohon visa haji dan umrah bermula pada tahun 2001.
 
"Tiada bantahan daripada umat Islam kerana mereka sedia maklum akan kepentingan vaksin dalam mencegah perebakan penyakit meningokokus ini.
 
"Selain vaksin meningokokus, terdapat beberapa vaksin lain yang digalakkan untuk jemaah haji dan umrah atau mana-mana individu yang hadir perhimpunan besar iaitu vaksin influenza dan vaksin pneumokokus," katanya.
 
Satu perkara yang perlu disedari, vaksin bukan ubat tetapi ia bertindak sebagai penebat kepada keterukan gejala terutama bagi anggota jemaah haji yang lanjut usia atau mempunyai penyakit sampingan, mengurangkan kadar kematian jika dijangkiti pada tahap yang lebih teruk serta mencegah jangkitan dalam komuniti dan golongan yang belum ada imuniti.
 
"Dalam masa sama, jemaah haji dan umrah juga hendaklah memastikan mereka mengambil vaksin-vaksin lain yang sudah diperkenalkan dalam program vaksinasi atau imunisasi kebangsaan negara masing-masing secara lengkap.
 
"Sebagai tambahan kepada program vaksinasi, kaedah pencegahan lain terus dijalankan bagi mengawal penyakit berjangkit khususnya bagi penyakit yang tiada vaksin atau penyakit yang baharu menular dalam kitaran manusia," katanya.
 
Katanya, masyarakat perlu menyokong penyelidikan untuk kebaikan bersama dan memberi kepercayaan sesuatu bidang kepada mereka yang membuat kajian agar penyampaian maklumat adalah tepat dan bukannya percaya kepada maklumat palsu yang ditularkan.
 
Sebagai contohnya wabak penyakit MERS CoV pada awal 2010 dapat dikawal dengan amalan pencegahan jangkitan iaitu memakai topeng muka, amalan etika batuk, cuci tangan dan mengelak berhubung dengan orang tidak sihat secara berdepan serta terdapat juga larangan lawatan ke ladang unta yang mungkin menjadi punca penularan penyakit itu.
 
"Dengan program vaksinasi yang menyeluruh serta penyertaan masyarakat dalam program vaksinasi dan program pencegahan ini, diharapkan ibadat haji khususnya dan umrah amnya akan terus berlangsung dengan selamat dan kita mendapat pulangan dengan amalan yang sempurna," katanya.
 
Cetak