Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

'Pesakit jadi sumber inspirasi buat saya'

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 10

IMG 20220112 150330

Kota Bharu: Demi merealisasikan impian, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri pada peringkat awal bagi menerbitkan buku sendiri.

Profesor Dr Nik Hazlina Nik Hussain berkata, beliau menggunakan wang sendiri bagi menerbitkan buku secara swaterbit berjudul Kemandulan: Halatuju, Cabaran dan Seribu Pengharapan dan Infertiliti: Langkah Demi Langkah dalam Teknik Bantuan Reproduktif.

Katanya, penghasilan karyanya mula berkembang apabila beliau mendapat bimbingan secara formal daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2008 dan diamanahkan mengetuai projek penulisan DBP-USM.

"Bagi berkongsi ilmu dalam bidang perubatan, saya turut mengajak rakan termasuk pelajar saya untuk menyertai pelbagai bengkel penulisan dan ia membuahkan hasil apabila pelbagai penulisan sama ada dalam bentuk artikel, buku ilmiah, buku umum, cerpen, novel serta karya kreatif diterbitkan oleh DBP.

"Pada masa sama, saya berterima kasih kepada pesakit saya kerana mereka adalah sumber inspirasi.

"Idea untuk menulis beberapa bahagian dalam naskhah itu diambil daripada pengalaman merawat dan bertemu pesakit daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini beliau sudah menerbitkan lebih 30 buku berwasit bacaan umum, dua buku ilmiah, lima novel bertema perubatan dan kesihatan termasuk rencana di laman sesawang serta lebih 500 rencana di media massa.

Dr Nik Hazlina berkata, penulisannya mengenai artikel kesihatan dan perubatan bermula sejak kepulangannya ke tanah air selepas menjalani sub kepakaran dalam bidang infertiliti dan endokrin reproduksi di Melbourne pada 2006 bagi menyebarluaskan ilmu mengenai maklumat perubatan kepada orang ramai.

"Menyedari akan kekurangan bahan bacaan berkaitan bidang perubatan dan kesihatan dalam Bahasa Melayu, saya mula menulis dan menerbitkan buku bagi memberi kefahaman kepada masyarakat tentang sesuatu masalah.

"Penulisan adalah minat saya dan akan terus menulis serta berkongsi segala maklumat berkaitan perubatan agar masyarakat khususnya pesakit saya memahami jenis penyakit serta situasi kehidupan mereka dengan penyakit yang sedang diharungi," katanya.

Katanya, beberapa kejayaan diperolehnya sepanjang terbabit dalam bidang penulisan termasuk hadiah utama Karya Ilmiah Peringkat Kebangsaan dari Kementerian Pendidikan Malaysia; Citra Sahabat DBP serta Anugerah Penulisan Sains dan Teknologi Terbaik.

Kejayaan lain adalah Anugerah Buku Perubatan Terbaik kategori Pengajian Tinggi di Anugerah Buku Negara; Anugerah Sanggar Sanjung kategori penerbitan buku dan juga ketokohan selain dinobatkan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia serta Tokoh Pendidikan Wanita Kelantan 2019.

"Walaupun sukar mencuri masa kerana komitmen kerja, namun ia bukan halangan untuk berhenti berkongsi dengan pembaca selain memahami bahawa ramai yang menantikan naskhah berbahasa Melayu untuk rujukan mereka.

"Saya berharap kepimpinan universiti di negara ini dapat meningkatkan inisiatif dan mengiktiraf karya berbentuk popular iaitu separa ilmiah dan karya kreatif bertemakan ilmu bidang bagi memberi motivasi kepada ahli akademik.

"Justeru, saya mengharapkan ilmuan dan ahli akademik mengambil inisiatif mengetengah dan mendaulatkan Bahasa Melayu dalam penulisan bagi meningkatkan pemahaman masyarakat khususnya golongan terkebawah berkaitan bidang kesihatan dan perubatan sebagai ilmu tambah," katanya.

Disiarkan pada: Januari 11, 2022 @ 7:30am

Cetak