Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

COVID-19: HUSM beroperasi seperti biasa, tiada wad ditutup

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 1049
Muhafandi Muhamad
 
COVID-19: HUSM beroperasi seperti biasa, tiada wad ditutup
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, berlaku penularan COVID-19 dalam Kampus USM Kubang Kerian dan hospitalnya susulan terdapat kes positif direkodkan. - Astro AWANI
 
 
KUBANG KERIAN: Tiada sebarang perkhidmatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian yang ditutup susulan dakwaan berlaku penularan wabak COVID-19 dalam kawasan fasiliti berkenaan sejak beberapa hari lalu.
 
Bagaimanapun, bilangan pesakit termasuk perkhidmatan di Dewan Bedah dan bilik bersalin dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga serta memberi masa kepada kakitangan HUSM untuk disaring.
 
Dalam satu kenyataan, HUSM memaklumkan, hasil tindakan pengawalan yang efektif sejak tiga hari lalu sehingga jam 6 petang semalam, tiada kes positif COVID-19 yang baru dikesan di HUSM.
 
"Operasi hospital berjalan seperti biasa mulai semalam (29 November) dengan semua perkhidmatan berjalan seperti sedia ada," kata Pengarah HUSM dan Kampus Kesihatan, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim dalam kenyataan itu.
Katanya, sebagai langkah kawalan, HUSM proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara kerap dan menggiatkan kempen amalan norma baru terhadap warga kerja dan pengunjung.
 
Kenyataan dikeluarkan susulan pengumuman mengenai kluster baharu COVID-19, Kluster Hilir, oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 29 November lepas, yang turut melibatkan kes positif di HUSM.
 
Kata Ahmad Sukari, pengurusan HUSM juga komited mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, termasuk mengarahkan warga kerjanya menjalani saringan dan kuarantin apabila timbul keperluan.
 
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan, berlaku penularan COVID-19 dalam Kampus USM Kubang Kerian dan hospitalnya susulan terdapat kes positif direkodkan.
 
Menurut portal itu, penularan terjadi di kalangan pekerja hospital dan dua unit dalam HUSM dakwanya terpaksa ditutup sementara beberapa wad beroperasi di bawah kapasiti biasa kerana kekurangan kakitangan.
 
Ahmad Sukari berkata, hanya pihak Kementerian Kesihatan yang berautoriti mengeluarkan sebarang kenyataan atau pengesahan mengenai sesuatu kes COVID-19.
 
 
 
 
 
 
 
Cetak