Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Jangan takut buat saringan kesihatan! - Pengarah HUSM

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 707

SITI FATIHAH AWANG | | 23 Mac 2020

drahmadsukari

KOTA BHARU – Orang ramai tidak perlu takut untuk membuat saringan kesihatan jika mempunyai gejala atau simptom yang berkait rapat dengan koronavirus (Covid-19) bagi memastikan wabak itu dapat dikawal sebaik mungkin.

Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, langkah awal membuat saringan kesihatan adalah satu tindakan yang dapat membantu mengekang penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata, namun masih ada dalam kalangan masyarakat yang takut untuk ke hospital dan sanggup berdiam diri di rumah selain hanya mendapatkan rawatan di klinik dan membeli ubat di farmasi.

“Mereka tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri. Bukan hanya diri sendiri, keluarga, anak, orang sekeliling, semuanya terlibat sama. Hal ini akan memudaratkan dan menyebabkan penyakit ini sangat mudah untuk dijangkiti terutamanya bagi mereka yang kurang antibodi.

“Nasihat saya, jika anda salah seorang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung atau mempunyai kontak dengan mereka yang dijangkiti, segeralah ke hospital. Dapatkan saringan kesihatan bagi memastikan anda betul-betul tidak dijangkiti.

“Sanggup ke kita hadapi kematian dalam keadaan seperti itu. Anak-anak dan keluarga tidak boleh masuk dekat, ini yang kita kena fikir, jangan hanya fikirkan diri kita sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dr Ahmad Sukari berkata, terdapat juga pesakit yang menghadapi simptom Covid-19 menipu kakitangan kesihatan bahawa mereka tidak mempunyai kontak dengan mana-mana penghidap wabak itu.

Beliau berkata, namun semuanya terbongkar apabila saringan demi saringan dilakukan sehinggalah mereka mengaku mereka datang ke hospital disebabkan oleh perkara tersebut.

“Masa ke kaunter depan, mereka cuma beritahu datang hospital untuk cek demam sahaja. Kita pun beri masuk seperti biasa dan jumpa doktor.

“Tapi bila sampai sahaja depan doktor, baru mereka mengaku yang mereka datang untuk saringan Covid-19 sebab ada kontak terdekat yang dah dijangkiti dan itu merupakan tindakan yang tidak baik," jelasnya.

Tambah Sukari, sedarkah kita bahawa setiap langkah menuju ke bilik doktor tersebut sudah berlaku penyebaran virus kepada orang sekeliling termasuklah kakitangan hospital yang berada di kaunter hadapan.

“Disebabkan tindakan itu, semua tempat perlu dibersihkan dan kemungkinan kakitangan juga berdepan risiko jangkitan.

"Kasihanilah mereka kerana mereka bertarung nyawa untuk anda. Saya harap perkara ini diberikan perhatian semua pihak, jangan menipu, berterus terang sahaja bila tiba di hospital, jangan takut atau malu,” katanya lagi.

Sukari berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membuat langkah awal dengan mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang aktiviti sosial di negara ini.

Cetak