Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Suntikan botox digunakan dalam rawatan rehabilitasi

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 45

fffff

Kota Bharu: Suntikan botulinum toxin atau botox bukan sahaja untuk kecantikan sebaliknya ia mempunyai banyak kepentingan dalam perubatan dan kesihatan terutamanya dalam bidang rehabilitasi.

Botox adalah neurotoksin yang dihasilkan oleh bakteria Clostriridium Botulinum dan terdapat tujuh jenis botox iaitu A, B, C, D, E, F dan G dan kebiasaannya ia paling banyak digunakan dalam bidang perubatan jenis A.

Pegawai Perubatan Unit Perubatan Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Mohd Adli Jihad Mohd Bustamin berkata, cara botox digunakan bergantung kepada kepakaran doktor yang merawat dan secara khususnya, Perubatan Rehabilitasi di HUSM membabitkan tiga kepakaran iaitu 'neuro-rehab', 'ortho-rehab' dan 'paediatric-rehab'.

"Kita perlu melihat kepada keadaan pesakit itu sendiri contohnya pesakit strok, lumpuh separuh badan yang akhirnya menyebabkan otot badan menjadi keras dan susah untuk bergerak.

"Suntikan botulinum toxin ini mampu mengubah otot yang keras menjadi lembut kerana isyarat daripada saraf ke otot sudah dilemahkan," katanya dalam kenyataan.

Mohd Adli berkata, dengan suntikan botox ia memudahkan pesakit mencapai fungsi keadaan seharian seperti memakai baju dan beralih kedudukan selain dapat membantu penjaga menguruskan pesakit berkenaan.

Pesakit berusia dua tahun ke atas dan tiada penyakit yang boleh memudaratkan adalah sesuai untuk mendapatkan rawatan botox.

"Kos untuk sebotol kecil botulinum toxin ini bermula dari RM1,500 sehingga RM2,000 bergantung kepada jenama dan kegunaannya. Botox dan Dysport adalah dua jenama yang selalu digunakan di HUSM.

"Pesakit yang kurang berkemampuan tidak perlu risau kerana bagi golongan B40, harga adalah serendah RM30 sahaja manakala bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) kos rawatan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Katanya, bagaimanapun rawatan suntikan botox juga mempunyai komplikasi tertentu namun pesakit tidak perlu takut.

"Berdasarkan pengalaman saya, sejak bermulanya rawatan ini di HUSM pada tahun 2015, jarang berlaku komplikasi kepada pesakit.

"Namun begitu, pesakit turut diberi penerangan sebelum menjalani rawatan berkenaan komplikasi yang berkemungkinan akan timbul.

"Sakit tetap ada sebab ia adalah suntikan jarum, sedikit pendarahan serta kemungkinan lain seperti demam dan alergik pada kulit," katanya.

Tambahnya, sekiranya berlaku komplikasi yang teruk seperti gangguan pernafasan, pesakit dinasihatkan untuk terus mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Kecemasan yang berdekatan secepat mungkin.

"Kebiasaannya pesakit yang mendapatkan rawatan botox di bahagian rehabilitasi sudah mempunyai temujanji atau yang dirujuk oleh doktor setelah menjalani pemeriksaan awal.

"Penilaian sama ada pesakit sesuai ataupun tidak untuk mendapatkan rawatan ini akan dilakukan bersama pakar dan sekiranya sesuai, pesakit hanya perlu hadir temujanji, dapatkan suntikan dan boleh terus pulang," katanya.

Mohd Adli turut menasihatkan orang ramai berfikiran terbuka dan jangan menghadkan pandangan terhadap botulinum toxin adalah untuk kecantikan sahaja sebaliknya ia juga berfungsi untuk pelbagai lagi rawatan lain.

"Jangan takut dan segan, jika anda mempunyai masalah yang memerlukan rawatan botox, anda boleh mendapatkan rawatan ini sama ada di HUSM atau di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.

Disiarkan pada: Januari 14, 2023 @ 4:56pm
Cetak