Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Penuntut USM bantu sedia PPE

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 756
IMG 20200422 110852
 
Oleh Hazira Ahmad Zaidi
 

KOTA BHARU: Enam sukarelawan Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) Kubang Kerian membantu menyiapkan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USMKK, Nur Azlina Adris, berkata sukarelawan membantu meringankan beban kakitangan HUSM dalam menyediakan PPE kepada petugas barisan hadapan.

“Bermula semalam, kami mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 50 isolation gown dalam sehari bagi menampung keperluan harian petugas di hospital ini.

“Saya difahamkan dalam sehari, petugas barisan hadapan yang menyaring pesakit COVID-19 memerlukan 200 set PPE dan berharap bantuan sukarelawan dapat menampung kekurangan PPE.

“Hati kami terusik apabila melihat ketekunan kakitangan hospital yang terpaksa mencuri masa menjahit PPE walaupun waktu kerja mereka sudah habis, namun mereka sanggup mengetepikan rasa penat untuk membantu menyediakan kelengkapan diri untuk rakan setugas yang terbabit dalam saringan COVID-19,” katanya.

Nur Azlina berkata, sebelum ini melalui projek #KAMIPRIHATIN yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani, sukarelawan menyiapkan 1,000 pelindung muka kepada kakitangan barisan hadapan di HUSM.

“Secara tidak langsung penuntut dapat membabitkan diri dalam aktiviti sukarelawan dan peluang dapat memupuk nilai murni dalam kalangan penuntut di kampus.

“Saya terharu atas sokongan penuntut yang tampil sebagai sukarelawan kerana memanfaatkan masa serta menyumbang tenaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu, jadual menjahit turut disediakan mengikut masa lapang setiap penuntut,” katanya.

Cetak