Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Tiada unit ditutup, HUSM beroperasi seperti biasa

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 623
Hazira Ahmad Zaidi
 
husm 1606792781

Kota Bharu: Tiada unit mahupun perkhidmatan yang ditutup di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian susulan kluster Hilir yang didakwa membabitkan petugas kesihatan hospital itu.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim mengesahkan perkara itu dan memaklumkan tindakan pengawalan efektif yang dilakukan sejak tiga hari lalu membolehkan penularan Covid-19 dikawal.

"Tiada kes positif baharu yang dikesan di HUSM dan hospital beroperasi seperti biasa dengan semua perkhidmatan rawatan tetap berjalan.

"Dalam perkara yang membabitkan penularan atau kes yang disahkan positif Covid-19, hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja yang boleh membuat pengumuman awal selain pengesahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan tular di media sosial mengenai dua unit di HUSM ditutup iaitu dewan bersalin di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Unit Bedah Dependensi Tinggi (SHDU) berikutan penularan wabak Covid-19 dan ada kakitangannya yang disahkan positif.

Bagaimanapun, mengambil kira situasi semasa, Ahmad Sukari berkata, pihaknya mengehadkan jumlah pesakit untuk rawatan termasuk di dewan bedah dan bersalin sebagai langkah berjaga-jaga selain memberi ruang untuk petugas, pesakit dan mereka berisiko untuk menjalani ujian saringan.

"Selain itu, pengurangan pesakit di hospital juga selepas mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 termasuk kluster di Kelantan yang menunjukkan peningkatan," katanya.

Bagi pengurangan pesakit pada November pula, katanya, ia rutin pada setiap tahun disebabkan penuntut perubatan di kampus itu yang perlu menduduki peperiksaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pengurusan hospital mengambil tindakan pencegahan dan pengawalan jangkitan dengan lebih proaktif termasuk melakukan sanitasi sekitar premis secara kerap dan mempergiatkan kempen amalan norma baharu dalam kalangan warga dan pelanggan.

"Pengurusan hospital komited dan sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM," katanya.

Cetak