Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

HUSM hadkan pelawat kekang penularan COVID-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 568

Oleh Hazira Ahmad Zaidi - November 24, 2020 @ 5:00pm

 
HUSM hadkan pelawat kekang penularan COVID 19

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian mengehadkan jumlah pelawat bagi mengelak penularan COVID-19.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata berikutan peningkatan kes COVID-19 yang agak membimbangkan, pihak pengurusan menetapkan beberapa peraturan sebagai langkah pencegahan untuk meminimumkan risiko jangkitan di dalam fasiliti perawatan.

Katanya, pelawat tidak dibenarkan masuk ke dalam wad kecuali bagi kes kecemasan, kritikal atau yang sangat memerlukan dengan kebenaran pengurusan hospital.

"Selain itu, hanya seorang peneman sahaja dibenarkan di dalam wad atau ketika temu janji klinik untuk pesakit kanak-kanak dan pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak membawa kanak-kanak dan warga emas yang bukan pesakit berkunjung ke hospital," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai urusan di Blok Hospital USM dengan kebenaran bertulis daripada Pengarah Hospital USM diminta mengisi Borang Deklarasi COVID-19 di Kaunter Khidmat Pelanggan dan Saringan.

"Pada masa sama, mereka juga dinasihatkan supaya bersikap jujur ketika menjawab setiap soalan khususnya berkaitan mana-mana kluster aktif kes positif COVID-19.

"Orang ramai diingatkan untuk terus membudayakan norma baharu termasuk amalan mencuci tangan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat atau mempunyai gejala COVID-19," katanya.

Cetak