Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Covid-19: HUSM hadkan jumlah pelawat

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 621
Hazira Ahmad Zaidi
 

Kota Bharu: Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, mengehadkan jumlah pelawat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara ini yang membimbangkan, pihak pengurusan USM menetapkan beberapa peraturan sebagai langkah pencegahan untuk meminimumkan risiko jangkitan di dalam fasiliti perawatan.

 Covid19 HUSM hadkan jumlah pelawat

Beliau berkata, tidak ada pelawat dibenarkan masuk ke dalam wad kecuali bagi kes kecemasan, kritikal atau sangat memerlukan dengan kebenaran pengurusan hospital.

"Selain itu, hanya seorang peneman sahaja dibenarkan di dalam wad atau semasa temu janji klinik untuk pesakit kanak-kanak dan pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan sahaja.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membawa kanak-kanak dan warga emas yang bukan pesakit berkunjung ke hospital," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai urusan di Blok Hospital USM dengan kebenaran bertulis daripada Pengarah Hospital USM diminta mengisi Borang Deklarasi Covid-19 di Kaunter Khidmat Pelanggan dan Saringan.

Menurutnya, pada masa sama, mereka dinasihatkan supaya bersikap jujur ketika menjawab setiap soalan khususnya berkaitan mana-mana kluster aktif dan kes positif Covid-19.

Katanya, orang ramai diingatkan untuk terus membudayakan norma baharu termasuk amalan kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat atau mempunyai gejala Covid-19.

 
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 5:07 PM
Cetak