Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

HUSM had jumlah pelawat wad pesakit

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 711

Dr Sukari 1584248332

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat Kubang Kerian di sini, menghadkan jumlah pelawat kepada pesakit sebagai langkah pencegahan bagi mengelak penularan COVID-19.

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata dua pelawat bagi setiap pesakit hanya dibenarkan dalam satu-satu masa.

“Bagi pelawat berisiko tinggi mendapatkan jangkitan iaitu menghidap penyakit kronik selain individu yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit barah, tidak dibenarkan melawat kecuali atas sebab kecemasan yang tidak dapat dielakkan.

“Selain itu, pelawat yang mempunyai gejala influenza seperti sakit tekak, batuk, selesema, demam, muntah dan cirit-birit juga tidak dibenarkan berada di wad,” katanya.

Dr Ahmad Sukari berkata, kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.

“Pada masa sama, waktu lawatan di hospital juga dipendekkan kepada 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang pada setiap termasuk cuti am serta hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Beliau berkata, dalam situasi sekarang, perkhidmatan rawatan kepada orang awam masih menjadi keutamaan pihaknya.

“Namun pihak kami mengambil kira perkembangan semasa dengan mengadakan langkah-langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan serta kesihatan pesakit yang masih dalam rawatan serta warga kerja HUSM terjaga,” katanya.

Sementara itu, Hospital Raja Perempuan Zainab II (aHRPZII) turut mengeluarkan notis makluman memendekkan masa lawatan ke hospital berkenaan pada Selasa lalu (12 Mac) susulan penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah dan mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pesakit, pelawat dan warga kerja hospital berkenaan.

“Tempoh lawatan dipendekkan kepada jam 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 hingga 6.30 petang setiap hari bekerja termasuk cuti umum dan hujung minggu.

“Pada masa sama, pesakit yang ada mobiliti seperti penyakit asma atau berada dalam keadaan tidak sihat dinasihatkan supaya mengelakkan daripada datang berjumpa pesakit di dalam wad,” katanya.

 

SUMBER : Berita Harian

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/665502/husm-had-jumlah-pelawat-wad-pesakit

Cetak