Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Tabur jasa walau sudah bersara

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 522

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my

 IMG 20200411 111844

BIARPUN sudah bersara, namun wanita ini tetap menyumbang baktinya dengan membantu menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan barisan hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Zaini Mohd Nor, 59, berkata, dia menghubungi urusetia projek inovasi PPE, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) HUSM untuk menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk menjahit dan menghasilkan bagi membantu rakan setugas.

Dia yang juga mantan Ketua Unit, Unit Rekod Perubatan HUSM berkata, meskipun sudah bersara secara pilihan pada 1 Oktober 2018, ia tidak bermakna menutup peluang untuknya terus menyumbang bakti apatah lagi ketika HUSM membuka pintu kepada sesiapa yang berminat sebagai sukarelawan untuk menyediakan PPE.

“Hati saya terusik dan sedih melihat keadaan petugas barisan hadapan negara dalam memerangi wabak Covid-19 kerana ada di antara mereka yang mempunyai kemahiran menjahit terpaksa mencuri masa untuk menjahit PPE walaupun ketika itu mereka sepatutnya habis berkerja.

“Saya terharu melihat kesungguhan semua pihak yang turun padang membantu, mengorbankan masa serta tenaga bersama-sama menghadapi krisis Covid-19 ini dan saya terpanggil untuk turut serta biarpun hanya di belakang tabir.

“Ia cukup bermakna kepada saya apatah lagi dengan kesungguhan kakitangan serta penuntut USM yang begitu komited melakukan kerja masing-masing untuk menyiapkan set PPE bagi menampung keperluan di HUSM,” katanya.

Katanya, dengan kebolehan menjahit yang dimiliki, dia puas apabila dapat menyediakan PPE untuk kegunaan petugas perubatan mahupun petugas di makmal USM.

“Dalam menangani penularan wabak Covid-19, pelbagai pihak membantu menyalurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk.

“Banyak pihak sama ada kerajaan, swasta, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan yang mengambil inisiatif menjahit PPE untuk disumbangkan agar keselamatan pasukan petugas perubatan terjamin,” katanya.

Zaini berkata, ketika masih bertugas di HUSM, dia pernah beberapa kali terbabit dengan krisis kesihatan serta penyakit yang melanda seperti Mers-CoV dan SARS, namun ia hanya di tahap epidemik.

“Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 yang dikategorikan sebagai pandemik ini agak berbeza.

“Jika hendak diikutkan rasa takut, semua orang takut dengan musuh yang kita tidak nampak ini, namun dia sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya dirinya dan semua umat manusia dilindungi daripada wabak ini,” katanya.

Cetak