Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Makmal HUSM bantu KKM buat ujian sampel COVID-19

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 580
Oleh Hazira Ahmad Zaidi
 
IMG 20200412 224517

KOTA BHARU: Makmal Mikrobiologi dan Parasitologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) antara 10 makmal kendalian institut pengajian tinggi (IPT) yang terpilih untuk menjalankan ujian pengesanan COVID-19.

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata hingga kini makmal itu sudah menjalankan ujian terhadap 650 sampel yang diterima daripada kaunter saringan HUSM serta sampel yang dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dalam sehari makmal itu mampu melakukan ujian terhadap 200 sampel.

Katanya, makmal Mikrobiologi dan Parasitologi di HUSM dilengkapi fasiliti setanding dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menjalankan ujian sampel COVID-19.

“Buat masa ini seramai 25 kakitangan terdiri daripada Juruteknologi Makmal Perubatan, Pegawai Sains dan Pegawai Penyelidik yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan ujian pengesanan COVID-19.

“Bagi menampung keperluan semasa pihak kami akan menambah 40 lagi petugas bagi menjalankan ujian pengesanan wabak ini.

“Mereka yang mengendalikan ujian pengesanan COVID-19 ini adalah yang terlatih dan pernah mengikuti latihan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan Makmal Kesihatan Awam di Klinik Kesihatan Perol khusus untuk mengendalikan kes berkaitan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr Zakuan Zainy Deris, berkata ada dua peringkat ujian COVID-19.

Peringkat pertama membabitkan pengekstrakan asid nukleik dalam virus dengan menggunakan kaedah manual atau mesin ‘Automatic Extracter’ dan peringkat kedua pula dikenali sebagai ‘Amplification’ dengan menggunakan mesin ABI 7500.

"Sekiranya permintaan ujian saringan COVID-19 melebihi had kapasiti, kes kecemasan akan diutamakan seperti mereka yang mempunyai kontak dengan individu positif, individu yang pulang dari luar negara dan kumpulan yang menyertai perhimpunan tabligh," katanya.

Cetak