COVID-19: Berganding bahu sediakan PPE untuk rakan setugas

IMG 20200414 121143

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU: Kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bekerjasama menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi memenuhi keperluan serta kegunaan petugas barisan hadapan hospital berkenaan.

Pegawai Perubatan, Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) HUSM, Dr Fauziah Ismail, berkata idea untuk menjahit PPE tercetus apabila melihat keperluan mendesak petugas perubatan di HUSM yang bertanggungjawab melakukan saringan serta pemeriksaan ke atas pesakit COVID-19.

Beliau berkata, ini kerana bekalan sedia ada tidak dapat menampung berikutan syarikat pembekal tidak dapat membekalkannya sebagaimana biasa.

Katanya, buat pertama kalinya pada 15 Mac lalu, pasukan sukarelawan UKJEH menjahit pelindung kepala atau ‘hood cover’ sebanyak 150 helai menggunakan material bahan kalis air seperti kertas serta plastik selain menjahit ‘isolation gown’.

“Selain itu, sebanyak 200 set PPE juga disumbangkan kepada petugas kesihatan HUSM untuk kegunaan sehari antaranya di wad ‘severe acute respirotary infections’ (SARI), Jabatan Trauma dan Kecemasan serta klinik-klinik lain yang terbabit dengan saringan serta perawatan pesakit COVID-19.

“Setiap petugas yang merawat pesakit COVID-19 hanya boleh memakai PPE ini bagi tujuan merawat seorang pesakit sahaja dalam satu masa dan kemudiannya ia perlu ditukar dengan sut lengkap yang baharu sekiranya mahu merawat pesakit yang lain.

“Justeru itu, PPE menjadi keperluan utama di semua hospital seluruh negara,” katanya.

Fauziah berkata, satu set lengkap PPE yang disediakan itu terdiri daripada pelindung badan, pernafasan, tangan, kaki, mata, kepala dan pendengaran.

“Pakaian khas yang dipakai ini dapat memberi perlindungan dengan membantu mencegah mikroorganisma daripada mencemarkan tangan, mata, rambut, pakaian dan kasut supaya tidak tersebar kepada pesakit dan anggota kesihatan lain,” katanya.

Beliau berkata, harga satu set lengkap PPE bernilai RM250, namun apabila dijahit sendiri ianya menjimatkan kos apatah lagi UKJEH turut menerima sumbangan dari pelbagai pihak antaranya berbentuk kewangan, peralatan.

Cetak