Sediakan PPE untuk rakan setugas

IMG 20200414 121706

KAKITANGAN Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian berganding bahu menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi memenuhi keperluan serta kegunaan petugas barisan hadapan hospital berkenaan.

Pegawai Perubatan, Unit Kawalan Jangkitan Dan Epidemiologi Hospital (UKJEH) HUSM, Dr Fauziah Ismail berkata, idea untuk menjahit PPE tercetus apabila melihat keperluan mendesak oleh petugas perubatan di HUSM yang bertanggungjawab melakukan saringan serta pemeriksaan ke atas pesakit Covid-19 memandangkan bekalan sedia ada tidak dapat menampung apabila syarikat pembekal tidak dapat membekalkannya sebagaimana biasa.

Katanya, buat pertama kalinya pada 15 Mac lalu, pasukan sukarelawan UKJEH menjahit 150 pelindung kepala atau ‘hood cover’ menggunakan bahan sama digunakan petugas hospital dan diteruskan dengan menjahit ‘isolation gown.’

“Selain itu, 200 set PPE juga akan disumbangkan kepada petugas kesihatan HUSM untuk kegunaan sehari antaranya di wad ‘severe acute respirotary infections’ atau Jangkitan Pernafasan Akut yang Teruk (SARI), Jabatan Trauma dan Kecemasan serta klinik lain yang terbabit dengan saringan serta perawatan pesakit Covid-19.

“Setiap petugas yang merawat pesakit Covid-19 hanya boleh memakai PPE ini bagi tujuan merawat seorang pesakit sahaja dalam satu masa dan kemudiannya ia perlu ditukar dengan sut lengkap yang baharu sekiranya mahu merawat pesakit yang lain.

“Justeru itu,PPE menjadi keperluan utama di semua hospital seluruh negara, bukan sahaja HUSM dalam menangani pesakit Covid-19,” katanya.

Fauziah berkata, satu set lengkap PPE yang disediakan itu terdiri daripada pelindung badan, pernafasan, tangan, kaki, mata, kepala dan pendengaran.

Beliau berkata, harga satu set lengkap PPE bernilai RM250, namun apabila dijahit sendiri ianya menjimatkan kos apatah lagi UKJEH turut menerima sumbangan daripada pelbagai pihak antaranya berbentuk kewangan, peralatan malahan ramai dalam kalangan kakitangan, pelajar serta pesara USM sendiri yang turun padang bersama-sama dalam menyediakan PPE ini.

“Penggunaan PPE adalah pendekatan yang paling biasa dipraktikkan di tempat kerja, namun dalam situasi sekarang pemakaian PPE diklasifikasikan sebagai langkah terakhir kawalan untuk mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan apabila mereka berhadapan dengan pesakit yang mempunyai gejala Covid-19.

“PPE yang masih belum digunakan perlu disimpan di dalam almari atau kotak simpanan selain memastikan kesemua peralatan berada dalam keadaan bersih serta baik sebelum digunakan. Pada masa sama, jadual penyelenggaran atau penggantian PPE juga perlu disediakan untuk mengelakkan kerosakan,” katanya.

Cetak