Hati-hati penyebar berita palsu

IMG 20200414 182816

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebar berita palsu di media sosial sehingga menjejaskan imej univesiti awam itu.

Dalam satu kenyataan, hari ini, USM memaklumkan pihaknya memandang serius penghinaan individu terbabit di media sosial apabila mendakwa makanan disediakan kepada penuntut di kampus tidak berkualiti.

“USM sedang menyiasat dan mengkaji keperluan dalam mengambil tindakan undang-undang jika terbukti ia dilakukan dengan sengaja bagi memfitnah universiti ini.

“USM turut berharap tidak ada mana-mana pihak mengeluar kenyataan sewenang-wenangnya apatah lagi menyebarkan berita palsu kerana ia bukan budaya di universiti ini,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook sejak semalam mengenai ‘penuntut’ mendakwa makanan yang disediakan USM kepada warganya yang terkandas di kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menyelerakan.

Tindakan itu mendapat maklum balas warganet terutama dalam kalangan penuntut yang menafikan perkara itu kerana USM sudah tidak menggunakan bekas polisterina sejak beberapa tahun lalu.

Malah, gambar makanan yang dimuat naik individu berkenaan juga didakwa bukanlah foto asli, sebaliknya diambil daripada carian imej di Internet.

Cetak