USM agih kupon makanan, barang runcit

IMG 20200416 084338
 
Oleh Hazira Ahmad Zaidi
 

KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian di sini, mengambil inisiatif membekalkan kupon makanan dan barangan runcit percuma kepada penuntutnya yang menginap di asrama, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

Pengarah Kampus Kesihatan, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata hal itu selaras dengan pengumuman bantuan kepada pelajar universiti terkandas di asrama seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Katanya, bagi membantu penuntut yang terkandas susulan pelaksanaan PKP, pihaknya memberikan mereka kupon RM10 sehari sepanjang PKP fasa pertama dan RM15 sehari bagi PKP fasa kedua perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Selain itu, dalam memastikan keperluan penuntut mencukupi sepanjang PKP, ada individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan wang tunai serta barangan keperluan kepada pihak universiti untuk diagihkan kepada mereka.

“Sumbangan barangan keperluan yang diberikan ini amat dihargai memandangkan penuntut kami tidak tidak dapat keluar dari kampus seperti biasa dan hanya bergantung harap kepada kafeteria dan kedai runcit di dalam kampus yang mana pilihan barangan adalah terhad,” katanya.

Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Senaman dan Sukan, Kavitha Sivapragasam, 22, kupon yang diberikan itu amat membantu dalam meringankan beban terutamanya kepada anak-anak keluarga B40.

“Bukan itu sahaja, malah ada di antara kami yang sukar mengunjungi mesin pengeluaran wang automatik

(ATM) terdekat kerana ada ketikanya mesin kehabisan wang disebabkan orang ramai sibuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Pada peringkat awal PKP dilaksanakan, situasi ini agak sukar untuk dilalui apatah lagi dengan pelbagai spekulasi yang digembar-gemburkan sehingga menimbulkan rasa panik, tetapi setelah berjaya mengharungi minggu pertama PKP, saya dan rakan-rakan lain sudah mula dapat menyesuaikan diri,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga tidak perlu bimbang mengenai keperluan asas anak-anak mereka yang terpaksa menginap di asrama sepanjang tempoh PKP kerana pihak universiti sentiasa memastikan kebajikan kesemua penuntutnya terjaga.

“Pada masa sama, pensyarah turut mengambil berat tentang kebajikan kami apabila mereka sering bertanya khabar selain turut menawarkan diri untuk membantu membeli keperluan di pasar raya luar dan menghantarnya tanpa mengenakan sebarang caj,” katanya.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Dietetik, Nur Afifah Nabilah Abu Bakar, 24, berkata sehingga kini bekalan makanan yang disalurkan kepada mereka sangat memuaskan dan lebih daripada cukup.

“Walaupun bantuan kupon makanan dan belian diberikan oleh pihak universiti kepada setiap penuntut di sini, namun penggunaan kupon ini haruslah dengan cara yang betul dan berhemah serta tidak melakukan pembaziran dengan membeli barang yang diperlukan sahaja.

“Kami ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan USM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana menyediakan menu yang sihat serta seimbang dan dilengkap dengan sumber karbohidrat, protein dan sayuran dalam setiap hidangan yang dibekalkan pada setiap hari.

“Justeru itu, tanggapan sesetengah pihak berhubung pelajar USM dibekalkan makanan tidak mengikut keperluan dan tidak sempurna seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Cetak