Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Pesakit diabetes, mandul antara berisiko tinggi hidap kanser rahim

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 467

IMG 20230324 173834

KOTA BHARU: Pesakit diabetes, polisistik ovarian sindrom, golongan obesiti, mandul selain yang tanpa sedar mengambil hormon estrogen daripada produk tidak diketahui kandungan berisiko tinggi menghidap kanser rahim.

Berdasarkan statistik 'Malaysian National Cancer Registry Report 2019', kanser rahim menduduki tempat keenam daripada 10 kanser paling kerap dikesan dalam kalangan wanita di Malaysia.

Pakar patologi, Jabatan Patologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Noorul Balqis Che Ibrahim, berkata antara tanda awal kanser rahim adalah pendarahan haid yang tidak normal, banyak dan berpanjangan serta pendarahan selepas menopaus.

Beliau berkata, tanda lain termasuk gejala disebabkan kurangnya hemoglobin seperti cepat letih dan mengah.

Katanya, jika lewat mendapatkan rawatan, pesakit mungkin datang dengan gejala bahagian abdomen atau pelvik yang membesar.

"Pesakit yang mengalami tanda-tanda berkenaan akan diperiksa dan imbasan rahim akan dilakukan untuk melihat keadaan rahim dan mengukur ketebalan lapisan dalam dinding rahim.

"Sekiranya ia tebal, doktor akan mengesyorkan pesakit untuk menjalani biopsi bagi menentukan sama ada tisu itu normal atau tidak," katanya.

Beliau berkata, kanser rahim berlaku disebabkan sel-sel pada lapisan dalam dinding rahim atau endometrium membiak tanpa kawalan dan menyebabkan lapisan ini menjadi tebal.

"Ketebalan normal lapisan dalam dinding rahim adalah kurang daripada 10 milimeter (mm) dan ia berbeza mengikut kitaran haid, tetapi bagi mereka yang menghidap kanser rahim, ia akan menebal lebih daripada 10mm.

"Kajian menunjukkan hormon estrogen adalah punca utama menyebabkan kanser rahim. Walaupun hormon ini adalah hormon biasa terdapat pada wanita, namun pendedahan kepadanya secara berpanjangan boleh menyebabkan sel-sel pada lapisan dalam dinding rahim membahagi tanpa kawalan dan akhirnya boleh menjadi kanser," katanya.

Dr Noorul Balqis menasihatkan wanita menjalani gaya hidup sihat, makan secara sihat dan kekal aktif kerana hal ini dapat membantu mengelak daripada obesiti yang menjadi antara penyumbang kepada risiko mendapat kanser rahim.

"Jadilah pengguna yang bijak dengan mengambil tahu kandungan sesuatu produk sebelum menggunakannya.

"Kita mungkin tidak pasti sama ada terdapat kandungan estrogen sehingga kita terdedah kepada paras estrogen yang tinggi," katanya.

Katanya, pada tahap awal kanser rahim, pesakit boleh dirawat melalui rawatan hormon.

"Namun sekiranya dikesan pada tahap lebih teruk, terdapat pilihan rawatan seperti rawatan radioterapi, kimoterapi dan pembedahan," katanya.

Cetak