Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Tadika Al Kauthar, USM meterai MoU tingkat perkembangan kanak-kanak

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 575

oleh ASWANY OMAR01 Februari 2023 05:07pm

klklklkl

RANGKAIAN Tadika Al Kauthar menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi melatih lebih ramai kanak-kanak untuk meningkatkan psikologi, pertuturan dan perkembangan sosial.

Kerjasama juga membolehkan kira-kira 600 guru tadika itu mendapat manfaat daripada pertukaran pengetahuan, latihan berorientasikan perkhidmatan serta forum awam.

Ketua Pegawai Operasi Tadika Al Kauthar, Datin Nor Fadilah Alias berkata, kepakaran USM juga penting bagi meningkatkan kualiti dan kredibiliti keseluruhan tadika.

Menurut beliau, HUSM antara hospital yang mempunyai pakar kanak-kanak terbaik terutama melibatkan kanak-kanak istimewa.

"Kepakaran inilah yang kami tuntut bagi membantu perkembangan kira-kira 10,000 kanak-kanak di 198 cawangan kami di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan Al Kauthar Eduqids Sdn Bhd (AKE) di sini pada Rabu.

Dr Nor Fadilah memberitahu, tadika itu juga turut mendidik lebih 2,000 kanak-kanak istimewa termasuk autism, disleksia dan sindrom down.

jkljkl

"Kita mempunyai sasaran dan akan konsisten kanak-kanak ini boleh mengurus diri dalam tempoh kurang setahun tetapi bergantung kepad keadaan mereka," katanya.

Nor Fadilah turut berkongsi pengalaman bahawa ramai kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan dalam konteks percakapan dan pergerakan.

Jelasnya, perkara itu berlaku mungkin disebabkan tiada pergaulan sosial sepanjang pandemik selain ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu.

"Berdasarkan pemerhatian kami, hampir 80 peratus kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan pertuturan tidak dirujuk kepada pakar," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin berkata, universiti itu sedia berkongsi kepakaran dengan Tadika Al Kauthar bagi membantu menangani masalah perkembangan kanak-kanak.

Menurut beliau, mereka menyediakan satu modul khas melibatkan beberapa fasa bergantung kepada tahap perkembangan mereka.

"Antara intipati utama MoU ialah pertukaran pengetahuan, latihan berorientasikan perkhidmatan dan forum melibatkan guru bersama pakar universiti ini," katanya.

Tambah beliau, sebagai universiti ketiga tertua di negara ini dan satu-satunya universiti APEX, USM berbangga kerana dapat berkhidmat kepada kanak-kanak istimewa.

Dr Shaharum sebelum itu mewakili USM dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Kauthar Eduqids Sdn Bhd (AKE) Datuk Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim dari pusat asuhan kanak-kanak menandatangani MoU.

Selain itu, Dr Shaharum memaklumkan kelewatan pertuturan turut menjadi perhatian utama dalam MoU itu dan sepuluh pakar terapi pertuturan di Kampus Kesihatan USM akan bekerjasama dengan guru-guru di AKE.

"Antara yang terlibat ialah pakar pediatrik dan psikologi kanak-kanak," katanya.

Beliau turut berharap ibu bapa memberi kerjasama dan kepercayaan kepada dua institusi itu bagi memastikan tahap perkembangan kanak-kanak yang sempurna.

 

 

Cetak