Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Mata juling berlaku sepanjang masa atau sekejap

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 845

hhhhh

KOTA BHARU: Kadar kelaziman masalah mata juling yang dilaporkan adalah di antara 1.7 hingga 5.0 peratus berdasarkan populasi kedudukan geografi dunia.

Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Prof Dr Shatriah Ismail berkata, masalah mata juling berlaku disebabkan ketidakseimbangan antara otot mata yang mengawal pergerakan bola mata.

Juling boleh berlaku tanpa mengira jantina dan usia termasuk kanak-kanak berusia kurang setahun hingga dewasa.

"Mata rabun, sejarah keluarga yang ada mata juling dan kelahiran pramatang antara faktor berkait rapat masalah mata juling.

"Mata juling perlu dikenal pasti dan dirawat awal sebelum usia lima tahun disebabkan perkembangan mata atau visual perlu selari dengan perkembangan pembesaran otak kanak-kanak," katanya dalam kenyataannya.

Antara jenis rawatan diperlukan ialah memakai cermin mata, rawatan menampal, iaitu bagi mengalami masalah mata malas dan pembedahan mata juling.

"Sebanyak 80 peratus pesakit mengalami masalah mata juling perlu dirawat menggunakan kaedah pembedahan serta pembedahan mata juling diyakini selamat dan perlu dilakukan pakar mata dalam bidang itu," katanya.

Strabismus atau masalah juling adalah kedudukan posisi bola mata yang tidak memandang lurus ke hadapan dan keadaan ini dikenali sebagai juling keluar (exotropia), juling masuk (esotropia), juling atas (hypertropia) dan juling bawah (hypotropia).

"Juling keluar (exotropia) atau masuk (esotropia) adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan antara otot medial rectus dan otot lateral rectus manakala juling atas (hypertropia) dan juling bawah (hypotropia) pula disebabkan ketidakseimbangan otot pergerakan mata seperti inferior rectus, superior rectus, inferior oblique dan superior oblique.

"Masalah mata juling boleh berlaku sepanjang masa atau sekejap-sekejap dan ada secara konsisten pada satu mata serta ada yang berlaku secara silih berganti antara mata kanan dan mata kiri.

"Masalah juling horizontal iaitu exotropia dan esotropia dilaporkan lebih kerap berlaku berbanding juling vertikal, iaitu hypertropia dan hypotropia," katanya.

Beliau juga Pakar Perunding Oftalmologi berkata, kajian diterbitkan penyelidik USM, kadar kejayaan pembedahan mata juling untuk kali pertama ialah 81.6 peratus dan kadar peratusan ini setanding dengan data diterbitkan oleh negara Asia seperti Thailand, Hong Kong, Korea Selatan dan China.

"Bagi pesakit mempunyai sudut juling yang besar iaitu melebihi 50 prism diopter kebiasaannya perlu menjalani pembedahan mata juling sebanyak dua kali dan perancangan akan dibuat doktor pakar bersama pesakit sebelum pembedahan dilakukan iaitu semasa sesi konsultasi pra-pembedahan.

"Berdasarkan kajian diterbitkan USM pada 2020, pesakit sudah menjalani pembedahan mata juling mempunyai kualiti hidup lebih baik berbanding situasi sebelum menjalani pembedahan," katanya.

Cetak