60 pelajar di Kelantan yang bermata juling bakal jalani pembedahan

ffffff

KOTA BHARU: Seramai 60 pelajar sekolah menengah di Kelantan yang dikenalpasti mengalami masalah bola mata tidak selari sehingga menjadi juling akan menjalani pembedahan pada tahun ini.

Ketua Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shatriah Ismail berkata, kesemua pelajar itu dari lima buah daerah iaitu Jeli, Tanah Merah, Tumpat, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Menurutnya, kesemua pelajar itu dijangka akan menjalani pembedahan membetulkan semula bola mata dalam masa terdekat.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, kebanyakan pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah juling disebabkan faktor semasa dilahirkan selain ada antara mereka terjejas akibat penggunaan gajet secara berterusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu.

“Daripada jumlah 60 pelajar itu, secara puratanya seramai satu hingga dua orang pelajar didapati mengalami masalah juling di setiap sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Seminar Penyakit Mata Juling di HUSM di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 orang terdiri daripada kakitangan HUSM dan pelajar hadir sesi seminar yang disampaikan oleh Dr. Shatriah dan Pensyarah Kanan, Pakar Perunding Oftalmologi PPSP, USM, Profesor Dr. Zunaina Embong mengenai Saringan Retinopati Diabetes.

 

Dr. Shatriah memberitahu, pelajar sekolah yang dikenal pasti mengalami masalah juling selepas menjalani pemeriksaan menerusi Klinik Bergerak Pakar Mata Juling, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) baru-baru ini.

Katanya, usaha turun padang oleh pihak HUSM bermula tahun lalu itu dijalankan untuk mengenal pasti golongan pelajar yang mengalami masalah juling.

“Proses sama sedang dijalankan di sekolah menengah di lima daerah lain iaitu Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, Bachok dan Gua Musang ketika ini. Pemeriksaan mata kesemua pelajar di Kelantan dijangka akan selesai dalam masa terdekat.

“Selepas itu, kita merancang untuk menjalankan pemeriksaan mata kepada murid sekolah rendah selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” ujarnya.-UTUSAN

Cetak