Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Barah pangkal rahim adalah barah kedua tertinggi di Malaysia

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 72

IMG 20221113 071131

Kota Bharu: Barah pangkal rahim atau serviks direkodkan sebagai barah kedua tertinggi di Malaysia dan ia dihidapi 7.6 per 100,000 populasi wanita berumur 15 tahun hingga 44 tahun yang dijangkiti virus 'Human Papilloma' (HPV).

Timbalan Pengarah Klinikal, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Zaidi Zakaria berkata, kematian dalam kalangan pesakit barah pangkal rahim juga masih tinggi iaitu membabitkan hampir satu pertiga atau 29 peratus daripada jumlah pesakitnya.

Katanya, dianggarkan 10 peratus daripada populasi wanita yang dijangkiti dengan virus HPV berisiko tinggi dan 89 peratus daripadanya berakhir dengan barah pangkal rahim.

"Walaupun ada vaksin bagi mencegah jangkitan virus ini, namun ia masih tidak dapat melindungi daripada barah pangkal rahim sepenuhnya kerana vaksin yang sedia ada tidak meliputi semua jenis jangkitan virus HPV berisiko tinggi iaitu sejenis virus yang berjangkit melalui aktiviti seksual.

"Bagaimanapun, pencegahan sekunder seperti pengesanan awal dan rawatan lesi pre-kanser dapat mengurangkan insiden barah pangkal rahim serta mengurangkan kadar kematian yang berkaitan dengannya," katanya pada kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Zaidi berkata, justeru, kempen kesedaran pengesanan awal penyakit barah pangkal rahim perlu disasarkan kepada golongan pendidik yang mana ia boleh menjadi perantara penyampaian pengetahuan yang berterusan kepada masyarakat.

"Maklumat daripada kempen kesedaran amat penting sebagai langkah pencegahan selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan guru, pelajar dan seterusnya masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2022 @ 12:36pm
Cetak