Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

Bayi pramatang berisiko hidap Cerebral Palsy

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 230

IMG 20221018 204803

KOTA BHARU: Sebanyak 10 hingga 15 peratus penyakit Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak terjadi akibat cedera sewaktu kelahiran dan juga disebabkan kekurangan aliran darah ke otak sebelum, semasa dan selepas bayi dilahirkan.

Pakar Perubatan Pemulihan, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Mohd Aiman Wan Ab Rahman, berkata berdasarkan kajian, CP terjadi kepada satu hingga dua daripada 1,000 orang bayi, namun insidennya lebih 10 kali boleh berlaku membabitkan bayi pramatang serta bayi yang kurang berat badan sewaktu lahir.

Katanya, bayi pramatang berisiko tinggi mendapat CP disebabkan saluran darah ke otak masih belum berkembang secara sempurna dan mudah mengalami perdarahan atau kerana tidak dapat mengalirkan oksigen yang mencukupi ke otak.

"Kecederaan pada otak juga boleh disebabkan oleh kadar bilirubin yang tinggi di dalam darah yang sering ditemui pada bayi baru lahir yang boleh menyebabkan 'kernikterus' di bahagian otak.

"Penyakit serius akan berlaku pada tahun pertama kehidupan bayi antaranya jangkitan pada tisu otak seperti 'Ensefalitis', 'Meningitis', jangkitan darah yang teruk, trauma dan dehidrasi yang teruk boleh mengakibatkan kecederaan pada otak bayi," katanya dalam kenyataan.

Dr Wan Mohd Aiman berkata, kebiasaannya penyakit CP disebabkan oleh kecederaan otak yang terjadi sewaktu bayi masih dalam kandungan atau ketika proses bersalin malah ada juga yang terjadi selepas bayi baru lahir.

Katanya, ia juga boleh terjadi pada kanak-kanak berumur kurang dari lima tahun sewaktu otak mereka sedang berkembang namun kebanyakan penyebabnya tidak diketahui.

"Tanda-tanda gejala CP ini boleh dikesan sebelum anak berumur dua tahun dan bagi kes yang teruk, boleh dikesan seawal umur tiga bulan.

"Walau bagaimanapun, gejalanya berbeza-beza sama ada gejala ringan sehinggalah yang teruk menyebabkan ketidakupayaaan kognitif (keupayaan minda) dan boleh menyebabkan kanak-kanak itu terlantar atau memerlukan kerusi roda untuk bergerak," katanya.

Katanya, tanda-tanda awal CP adalah kelewatan dalam perkembangan awal kanak-kanak seperti tidak dapat mengangkat kepala pada umur tiga bulan, tidak mampu duduk sendiri pada umur sembilan bulan dan mempunyai refleks primitif yang kekal melewati umur yang sepatutnya hilang.

"Selain itu, antara tanda-tanda lain adalah seperti postur atau posisi tubuh badan yang luar biasa seperti ketegangan otot, badan membengkok ke belakang dan anggota kaki menyilang antara satu sama lain.

"Penyakit CP adalah penyakit yang tidak dapat disembuhkan, tetapi pemulihan fungsi masih dapat dilakukan agar kanak-kanak berkenaan boleh berdikari dan rawatan yang dijalankan bergantung kepada gejala CP antaranya rawatan fisioterapi, memakai cermin mata, memakai alat bantuan pendengaran dan latihan pertuturan," katanya.

Tambahnya lagi, jika gangguan fizikal minimum dan kecerdasan minda normal, kanak-kanak CP akan membesar secara normal dan mampu untuk ke sekolah aliran perdana.

"Namun, bagi kanak-kanak yang mengalami otot memendek sehingga menyebabkan kedudukan sendi terganggu, pembedahan memanjangkan otot akan dilakukan bagi meningkatkan fungsi kanak-kanak yang menghidap penyakit Cerebral Palsy," katanya.

Cetak