Jumlah pesakit jalani rawatan psikiatri meningkat selepas COVID-19

Oleh Hazira Ahmad Zaidi - Oktober 13, 2022 @ 12:38pm

bhnews@bh.com.my
 
ffff
 

KOTA BHARU: Bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) meningkat sekali ganda selepas penularan COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Prof Madya Dr Mohd Azhar Mohd Yasin, berkata ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pasukan Bantuan Awal Psikologi (PFA) USM membabitkan pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal, kaunselor, pegawai psikologi hospital dan pegawai perubatan menyediakan khidmat kaunseling dan nasihat kepada orang awam yang terkesan susulan pandemik itu.

Beliau berkata, pada tahun 2020 dan 2021 seramai 2,482 orang termasuk penuntut mendapatkan rawatan awal psikologi dalam tempoh setahun melalui perkhidmatan Talian Sokongan Psikosocial COVID-19 yang ditubuhkan hospital itu bagi memberikan bantuan dan sokongan kesihatan mental.

"Bagaimanapun, selepas dua tahun berdepan COVID-19 ramai pesakit yang datang berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan untuk mengubati masalah dihidapi.

"Walaupun mungkin ada sesetengah individu boleh mengatasi kesan psikologi ini dengan yakin dan tenang, namun ada juga di antara mereka yang tidak berjaya serta memerlukan sokongan luar dan di sinilah khidmat nasihat dan kaunseling diperlukan," katanya.

Beliau berkata selepas Sambutan Hari Kesihatan Mental 2022 Peringkat Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kelantan Nora Yaacob.

Dr Mohd Azhar berkata, penyakit mental boleh dirawat dan terdapat dua kaedah rawatan iaitu perubatan dan pemulihan, namun ia bergantung kepada semangat serta sokongan orang di sekeliling untuk membantu proses pemulihan mereka.

"Justeru itu, stigma masyarakat yang menganggap pesakit mental tidak dapat dirawat adalah tidak benar.

"Dalam hal ini, masyarakat perlu memberi perhatian kepada semua ahli keluarga supaya tidak membiarkan mereka ini terus dibelenggu dengan masalah mental dan sekiranya terdapat sebarang kelainan daripada kebiasaan perlu segera dirujuk ke hospital khususnya Jabatan Psikiatri," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, lebih 10,000 pesakit menerima rawatan di klinik psikiatri sebagai pesakit luar dalam tempoh setahun, manakala lebih 2,000 pesakit memerlukan rawatan di dalam wad bagi tempoh sama.

Cetak