Together we stop the pandemic #COVID-19
Together we stop the pandemic #COVID-19

10 Orang Asli di Gua Musang dilatih jadi duta kesihatan, keselamatan

  • Keratan Akhbar
  • Jumlah paparan: 482

IMG 20221004 205159

KOTA BHARU – Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini melatih seramai 10 individu dalam kalangan Orang Asli di Pos Balar, Gua Musang untuk menjadi duta kesihatan dan keselamatan.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman berkata, kumpulan itu telah diberikan latihan bagi memastikan mereka dapat berkongsi segala ilmu yang dipelajari kepada penduduk setempat.

Menurutnya, mereka akan memberi tunjuk ajar kepada penduduk jika mereka berdepan kecemasan termasuk yang mengalami kecederaan.

“Kita sudah memberi pendedahan sebaik mungkin kepada mereka dan berharap ilmu yang diberikan itu akan memberi manfaat yang sewajarnya kepada masyarakat Orang Asli nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas Perasmian Penutupan Program Khidmat Masyarakat Bersama Orang Asli Pos Balar di Jabatan Kecemasan dan Trauma HUSM Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Hisamuddin berkata, pihaknya akan memantau dan sentiasa berhubung dengan kumpulan berkenaan bagi memastikan tahap kemahiran mereka dapat dipertingkatkan.

Katanya, kesemua mereka yang terlibat merupakan penduduk tetap dan tidak berpindah bagi memastikan mereka dapat memberikan bantuan jika berlaku kecemasan.

Tambahnya, program itu juga akan diperluaskan ke pos penempatan Orang Asli yang lain di negeri ini pada masa akan datang. – KOSMO! ONLINE

Cetak