Kes juling kerana gajet naik mendadak, membimbangkan

WWWW

KOTA BHARU: Penggunaan gajet untuk tujuan sosial secara berterusan boleh mengakibatkan bola mata tidak selari dan menjadi juling.

Situasi itu banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan bilangan kes dilihat meningkat mendadak selepas pandemik COVID-19, dipercayai kerana penggunaan gajet secara berterusan dalam tempoh penularan virus itu serta perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Shatriah Ismail, berkata sejak 2018 hingga kini, Hospital USM menerima 30 pesakit di negeri ini untuk pembedahan membetulkan semula bola mata.

"Seramai 30 pesakit berusia 10 hingga 15 tahun yang sudah kita kumpul sejak 2018 dengan 10 daripada mereka sudah menjalani pembedahan. Pesakit yang dirujuk, kebanyakannya datang dalam keadaan satu bola mata memandang lurus dan satu lagi masuk ke dalam atau juling.

"Walaupun kita mencuba rawatan secara konservatif, kedudukan bola mata tidak balik ke kedudukan asal, seterusnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan," katanya yang ditemui media pada majlis pelancaran perkhidmatan laser refraktif, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

GGGGGG

Dr Shatriah berkata, peningkatan mendadak pesakit yang mengalami kes sedemikian agak membimbangkan, terutama apabila ia bukan sahaja membabitkan kanak-kanak dan remaja, malah bayi.

"Pembelajaran dalam talian tanpa ada waktu senggang juga boleh mempengaruhi kerana ada dalam kalangan murid menggunakan telefon bimbit dengan skrin kecil.

"Situasi ini agak membimbangkan dan sebab itu perlu ditekankan kepada pelajar, ibu bapa dan guru supaya kawal penggunaan gajet walau dalam kalangan kanak-kanak kecil yang belum bersekolah.

"Penggunaan gajet untuk tujuan sosial perlu dihadkan. Jangan guna gajet secara berterusan, sebaliknya perlu ada waktu senggang," katanya.

Cetak