Mata jadi juling kerana terlalu kerap guna gajet [METROTV]

EEEEEE

Kota Bharu: Penggunaan gajet untuk tujuan sosial secara berterusan boleh mengakibatkan bola mata tidak selari seterusnya menjadi juling.

Situasi itu banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dan bilangan kes terbabit meningkat mendadak selepas pandemik Covid-19 akibat penggunaan gajet secara berterusan dalam tempoh itu.

Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Shatriah Ismail berkata, sejak 2018 sehingga kini, Hospital USM sudah menerima 30 pesakit di negeri ini untuk menjalani pembedahan membetulkan semula bola mata.

"Seramai 30 pesakit berusia 10 hingga 15 tahun datang untuk mendapatkan rawatan sejak 2018 dengan 10 daripadanya sudah menjalani pembedahan.

"Pesakit yang dirujuk kebanyakannya datang dalam keadaan satu mata memandang lurus dan satu lagi masuk ke dalam atau menjadi juling.

"Walaupun kita sudah cuba secara konservatif tetapi mata tidak kembali ke kedudukan asal seterusnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan," katanya kepada media di sini, semalam.

EEEE

Beliau ditemui pada pelancaran Perkhidmatan Laser Refraktif disempurnakan oleh Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Dr Shatriah berkata, peningkatan jumlah pesakit yang mendadak agak membimbangkan dan kebimbangan yang sama dilihat apabila bukan sahaja kanak-kanak dan remaja berdepan isu itu, malah ia turut membabitkan bayi.

Pembelajaran dalam talian tanpa ada waktu senggang juga boleh mempengaruhi kepada masalah itu kerana ada dalam kalangan murid atau pelajar menggunakan telefon bimbit yang mempunyai skrin kecil.

"Situasi ini agak membimbangkan dan sebab itu perlu ditekankan kepada pelajar, murid, ibu bapa dan guru supaya kawal daripada segi penggunaan gajet.

"Ia termasuk untuk kanak-kanak yang belum bersekolah.

"Penggunaan gajet untuk tujuan sosial perlu dihadkan dan jangan menggunakan gajet secara berterusan, sebaliknya perlu ada waktu senggang," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2022 @ 1:20pm

 

Cetak